Khutbah
Jumaat:
Mengekal jati diri ummah
Keamanan, kemakmuran negara
boleh lenyap jika terpukau
bayangan palsu
Satu perkara yang menjadi cabaran dalam sesebuah negara adalah memelihara
kedaulatannya serta mengekalkan jati diri sesebuah ummah yang menghuni negara
itu. Bagi Malaysia, terdapat beberapa cabaran harus bagi umat Islam hadapi dan
pikul secara bersama.
Pertama, mempertahankan Islam sebagai Agama Persekutuan. Perkara 3
Perlembagaan Persekutuan menegaskan bahawa Islam ialah agama Persekutuan,
tetapi agama lain boleh diamal dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian
Persekutuan.
“Wahai orang-orang
beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran)
kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu
terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah,
karena adil itu lebih dekat kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah,
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.” Surah Al-Maidah,
ayat 8
Perkara 3 Perlembagaan bertepatan dengan kedudukan Islam sebagai satu-satunya
agama diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam Surah Ali Imran, ayat 19
bermaksud: “Sesungguhnya agama (yang diredai) di sisi Allah hanyalah Islam.”
Pada masa sama, kita perlu menghormati rakyat bukan Islam yang hendak
mengamalkan ajaran agama mereka kerana hak mereka dijamin di bawah negara
Islam. Lihat saja bagaimana Rasulullah SAW mentadbir Madinah Al-Munawwarah dari
sudut praktis Islamnya dalam masyarakat majmuk.
Tidak guna kekerasan
Rasulullah SAW tidak sesekali menggunakan kekerasan, bahkan berlembut dengan
penduduk Madinah yang bukan beragama Islam. Sekiranya terdapat penentangan
secara jelas, barulah Rasulullah SAW bertindak tegas dalam mempertahankan
kedaulatan dan kesucian agama Islam.
Kedua, pelaksanaan sistem pendidikan negara. Cabaran kedua ini ialah
dari sudut pendidikan. Rasulullah SAW amat mengambil berat soal pendidikan
dalam pemerintahannya. Misalnya apabila seruan jihad dilaungkan, Rasulullah SAW
membahagikan umatnya kepada dua kelompok iaitu satu kelompok keluar berjihad di
medan perang dan satu kelompok lagi kekal di Madinah untuk terus menuntut ilmu
serta menjaga hal ehwal pentadbiran Madinah.
Ketiga, mengekalkan perpaduan rakyat. Perpaduan rakyat menjadi cabaran
utama dihadapi kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah satu daripada sembilan
cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020.
Untuk mengekalkan perpaduan, ia sangat mencabar dan memerlukan suatu tempoh
yang lama. Misalnya sekolah kebangsaan yang diilhamkan pemimpin negara sebagai
wahana untuk perpaduan rakyat pelbagai kaum. Ia dapat dijadikan tempat untuk
generasi muda hidup bermasyarakat, saling bekerjasama antara satu sama lain
serta melahirkan rakyat setia dan menyumbang kepada kesejahteraan negara.
Rasulullah SAW dan sahabat mengambil pengajaran daripada Surah Al-Maidah, ayat
8 yang bermaksud: “Wahai orang-orang beriman, hendaklah kamu menjadi
orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah, menjadi saksi
dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum,
mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, karena adil itu lebih dekat
kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui
apa yang kamu kerjakan.”
Keempat, peningkatan masalah sosial. Pembangunan pesat memberi impak
negatif kepada negara. Pembangunan fizikal yang sangat pesat seperti di Kuala
Lumpur menyebabkan penghijrahan beramai-ramai ke bandar. Natijahnya, kos sara
hidup di bandar meningkat dan ada sebilangan yang tidak mampu menghadapinya.
Kesannya, peratusan kemiskinan meningkat, gejala sosial semakin teruk malah
norma kehidupan bermasyarakat kian luntur khususnya dalam komuniti masyarakat
majmuk di Malaysia. Selain itu, faktor kerohanian yang nipis juga menyebabkan
berlaku kebejatan sosial ini.
Kelima, memastikan pembangunan negara seimbang duniawi dan ukhrawi. Hal
yang berkaitan dengan negara bukan terhenti sekadar di dunia, bahkan ia akan
dipersoalkan di hari akhirat. Kerana itu dalam membangunkan sesebuah negara
yang seimbang di antara duniawi dan ukhrawi, beberapa panduan atau kriteria
tertentu wajib menjadi keutamaan.
Kriteria imbangi duniawi, ukhrawi
Dr Yusuf Al-Qaradhawi menyenaraikan beberapa kriteria negara yang seimbang
antara duniawi dan ukhrawi iaitu Islam sebagai sumber rujukan, melindungi hak
dan kebebasan individu, negara yang berprinsip dan berakhlak.
Melihat kriteria ini dalam konteks negara kita, ada sudut yang boleh
dibanggakan kerana kita sudah memilikinya dan ada juga sudut yang kita perlu
insafi, bermuhasabah serta memperbaikinya secara bersama demi memastikan
Malaysia kekal menjadi negara Islam yang kuat dan kukuh.
Keamanan dan kemakmuran yang kita nikmati saat ini mungkin boleh lenyap serta
musnah jika kita terus terpukau dengan bayangan palsu dan imaginasi indah
disajikan musuh Islam hingga akhirnya mengabaikan tanggungjawab kita untuk
mempertahankan kesucian agama dan kedaulatan negara.
Adakah kita mahu mewariskan kepada anak cucu kita sebuah negara yang hilang
kedaulatannya? Sebuah negara yang agama Islam bukan lagi menjadi agama
Persekutuan? Satu bangsa yang ditindas dan hilang maruahnya?
Rasulullah SAW dalam hadis diriwayatkan Imam at-Tabrani Rahimahullah daripada
Abu Umamah RA berkata yang bermaksud: “Sesungguhnya akan ada selepas aku
pemerintah-pemerintah, maka hendaklah kamu taat kepada mereka, kerana
pemerintah umpama perisai yang kamu berlindung di sebaliknya. Jika mereka
memerintah dengan baik, maka kamu dan mereka akan beroleh kebaikan, tetapi jika
mereka memerintah dengan cara yang tidak baik, maka mereka akan menanggung
akibatnya, manakala kamu terselamat daripada menanggung akibat perbuatan
mereka.”
Rumusannya, kepatuhan dan kesetiaan kepada negara adalah satu tuntutan agama
setiap rakyat. Kedua, umat Islam bertanggungjawab memartabatkan kedaulatan
negara dengan memelihara keamanan dan kedamaian yang sedang dinikmati bersama
hari ini. Ketiga, umat Islam perlu bersama memperkukuhkan jati diri sebagai
rakyat dalam sebuah negara Islam bagi menyahut seruan kerajaan dalam
merealisasikan impian negara.
Firman Allah SWT dalam surah al-A’Raf ayat 3-5 bermaksud: “Ikutilah apa yang
diturunkan kepadamu dari Tuhanmu dan janganlah kamu mengikuti pemimpin-pemimpin
selain-Nya (iaitu pemimpin yang membawa kesesatan). Amat sedikitlah kamu
mengambil pelajaran (daripadanya). Betapa banyaknya negeri yang Kami binasakan,
maka datanglah seksaan Kami (menimpa penduduk) ketika mereka berada di malam
hari, atau di waktu mereka beristirahat di tengah hari. Maka tidak adalah
keluhan mereka di waktu datang kepada mereka seksaan Kami, kecuali mengatakan:
Sesungguhnya kami adalah orang-orang yang zalim.”
Khutbah dipetik dari laman web Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan
(JAWI)