15
KESILAPAN IBUBAPA DALAM MENDIDIK ANAK-ANAK
Anak-anak adalah amanah dari ALLAH s.w.t. dan ianya sebahagian dari ujian ALLAH
s.w.t. kepada kita hamba-hamba-Nya. Orang yang malang ialah orang yang
mempunyai ramai anak tetapi anak-anaknya tidak
membawa kebaikan kepadanya di akhirat.
Rasulullah SAW diberitakan telah bersabda :
"Tahukah engkau siapakah orang yang mandul."
Berkata para sahabat :
"Orang yang mandul ialah orang
yang tidak mempunyai
anak."
Lalu Rasulullah SAW
berkata :
"Orang yang mandul itu ialah
orang yang mempunyai
ramai anak
tetapi anak-anaknya itu
tidak memberi kemanfaatan
kepadanya
sesudah ia meninggal
dunia."
- (Maksud Al-Hadis )
1. Kesilapan pertama: Kurang berdoa
Kurang berdoa semasa mengandung.
Antara doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa
mengandung ialah Saidul (penghulu) Istighfar Doa memohon rahmat (Al-Quran Surah
Ali 'Imran, 3 : 8-9) Doa memohon zuriat yang baik (Al-Quran Surah Ali 'Imran, 3
: 38) Doa agar anak mengerjakan solat (Al-Quran Surah Ibrahim, 14 : 40-41)
Kurang berdoa semasa membesarkan anak.
Doa-doa yang digalakkan diamalkan semasa anak
membesar ialah Doa agar anak patuh kepada ALLAH s.w.t. (Al-Quran Surah
Al-Baqarah, 2 :128) Doa diberi zuriat yang menyejukkan hati (Al-Quran Surah
Al-Furqan, 25 :74) Doa supaya nama anak membawa kebaikan kepadanya.
2. Kesilapan kedua: Banyak memberi belaian Tarhib
(menakutkan) daripada Targhib (didikan atau motivasi) seperti: menakutkan
anak-anak dengan sekolah, menakutkan dengan tempat gelap, menakutkan dengan
hutan rimba atau bukit bukau, menggunakan kekerasan dan paksaan semasa menyuruh
anak tidur.
3. Kesilapan ketiga: Tidak tegas dalam mendidik
anak-anak, tidak menjadualkan kegiatan harian anak-anak, terlalu memfokuskan
anak-anak kepada sesuatu aktiviti sahaja tanpa mengambil kira perasaan mereka.
4. Kesilapan keempat: Menegur anak secara negatif
seperti mengeluarkan kata-kata kesat dan maki hamun kepada anak-anak (terutama
semasa marah). Membandingkan anak-anak dengan anak-anak lain atau anak orang
lain.
5. Kesilapan kelima: Memberi didikan yang tidak
seimbang antara jasmani (physical), rohani (spiritual) dan minda (intelektual).
Ramai yang lebih mementingkan pendidikan minda dari pendidikan rohani
6. Kesilapan keenam: Kurang memberi sentuhan kepada
semua anak-anak sedangkan Rasulullah kerap dilihat mendukung cucu-cucunya dan
mencium mereka. Diriwayatkan oleh Aisyah r.a. :
“ Pada suatu hari Rasulullah SAW
mencium Al-Hassan atau Al-Hussien bin Ali r.a.
Ketika itu Aqra' bin Habis At-Tamimiy
sedang berada di rumah baginda.
Berkata Aqra' : "Ya Rasulullah!
Aku mempunyai sepuluh orang anak,
tetapi aku belum pernah mencium
seorang pun dari mereka."
Rasulullah melihat kepada
Aqra'
kemudian berkata :
"Siapa yang tidak mengasihi
tidak akan dikasihi."
-(Maksud Al-Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
7. Kesilapan ketujuh: Penampilan diri yang kurang
anggun dan kurang kemas. Ibu bapa tidak menunjukkan cara berpakaian yang kemas
dan yang menepati kehendak syarak bila berada di rumah, iaitu berpakaian secara
selekeh atau berpakaian seksi dihadapan anak-anaknya.
8. Kesilapan kelapan: Susunan rumahtangga yang
tidak kemas. Ini mengakibatkan anak-anak terikut-ikut dengan cara itu dan
membesar menjadi pemalas dan selekeh.
9. Kesilapan kesembilan: Kurang menghidupkan sunnah
di rumah seperti memberi salam, makan berjemaah, beribadah bersama-sama, dan
sebagainya. Dalam menjawab salam, lazimkanlah menjawab salam dengan yang lebih
baik dari salam yang diberi.
10. Kesilapan kesepuluh: Tidak menggantungkan rotan
di tempat yang mudah dilihat oleh anak-anak. Dalam Islam, merotan anak dengan
tujuan mendidik adalah satu sunnah.
11. Kesilapan kesebelas: Kurang mendedahkan
anak-anak dengan model yang cemerlang seperti para ulama' dan orang-orang yang
berhemah tinggi dan berakhlak mulia. Anak-anak juga patut didedahkan dengan
sembahyang jemaah, kuliah agama dan aktiviti-aktiviti yang bersesuaian dengan
akhlak Islam.
12. Kesilapan keduabelas: Bertengkar di depan
anak-anak. Ini akan menyebabkan anak-anak rasa tertekan dan membenci salah
seorang dari ibubapanya.
13. Kesilapan ketigabelas: Membenarkan orang yang
tidak elok sahsiyahnya masuk ke dalam rumah kita, baik dari kalangan sahabat
sendiri ataupun sahabat anak-anak, kerana ini akan memberikan contoh yang tidak
baik kepada anak-anak yang masih membesar.
14. Kesilapan keempatbelas: Kurang mengawasi
rancangan-rancangan yang ditonton samada dari TV ataupun video[1]. Pengawasan
dalam hal ini adalah penting kerana kebanyakan rancangan dari media ini
menonjolkan akhlak yang kurang baik seperti pergaulan bebas lelaki dan perempuan,
pakaian yang tidak menepati syarak dan perbualan yang boleh merosakkan agama
anak-anak.
15. Kesilapan kelimabelas: Terlalu bergantung
kepada pembantu rumah untuk mendidik anak-anak. Sebagai ibubapa kitalah yang
akan disoal di akhirat kelak akan anak-anak ini. Oleh itu adalah menjadi satu
kepentingan kita untuk berusaha memastikan anak-anak terdidik dengan didikan
Islam.