Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, August 13, 2012

Najib, rombongan tunai umrah


valentinesday






Najib, rombongan tunai umrah

MAKKAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang tiba di tanah suci Makkah awal hari ini bagi menghadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa kali ke-4 Persidangan Kerjasama Islam (OIC) esok, memulakan aturcara beliau dengan menunaikan ibadah umrah.




Najib dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta anggota rombongannya termasuk Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi, Datuk Syed Omar Mohamad Al-Saggaf memulakan ibadah umrah dengan tawaf mengelilingi Kaabah kira-kira 7 pagi waktu tempatan.




Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC itu bertujuan membincangkan situasi terkini di negara dan dunia Islam dengan hasrat mengembalikan dan mengukuhkan perpaduan umat Islam serata dunia serta memerangi unsur yang membawa kepada perbalahan dan kekacauan.





Sidang kemuncak anjuran Raja Arab Saudi Raja Abdullah Abdul Aziz itu berlangsung di As-Safa Palace yang terletak bersebelahan Masjidil Haram dan ia bermula selepas solat tarawih kira-kira 11 malam sehingga waktu bersahur kira-kira 4 pagi mulai malam esok dan lusa.





Semua 57 pemimpin dan wakil negara anggota OIC telah mengesahkan akan menghadiri sidang kemuncak luar biasa berkenaan.





Najib dijangka menyampaikan kenyataan pendirian Malaysia terhadap isu yang bakal dibangkitkan dalam sidang kemuncak itu. - BERNAMA













Teruskan membaca..

Najib hadiri Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC di Mekah


valentinesday


Najib hadiri

Sidang Kemuncak Luar Biasa OIC

di Mekah




JEDDAH 12 Ogos - Keberkatan Ramadan terutama pada hari-hari terakhir umat Islam menunggu kemunculan Lailatul Qadar menjadi pilihan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengadakan Sidang Kemuncak Luar Biasa Ke-4 pada 14 dan 15 Ogos ini di kota suci Mekah.




Inilah kali pertama, persidangan itu diadakan pada bulan Ramadan dan pemilihan tempat pula di As-Saffa Palace, Mekah.




Walaupun sibuk dengan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan tetapi komitmen yang ditunjukkan oleh ketua-ketua kerajaan amat menggalakkan di mana setakat ini 25 ketua kerajaan dijangka menyertainya.




Malaysia akan diwakili oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang dijangka tiba awal pagi esok (Isnin).




Duta Besar Malaysia di Arab Saudi Prof. Datuk Syed Omar Syed Mohamad Al Saggaf berkata, sesi luar biasa pada 14 dan 15 Ogos itu dijangka mengeluarkan satu kenyataan bersama pada akhir persidangan yang akan berlangsung di As-Saffa Palace, Mekah.




Ditanya isu yang akan dibincangkan, beliau berkata, pelbagai isu mengenai perpaduan ummah terutama di negara seperti Palestin dan Syria akan dibincangkan.




Difahamkan setakat ini 56 negara dijangka menyertai sidang itu.




Menurut Syed Omar, kehadiran Perdana Menteri atas undangan Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdul Aziz Al-Saud pada bulan Ramadan ini menunjukkan komitmen tinggi Malaysia terhadap OIC.

‘‘



Kita faham kesibukan umat Islam pada malam-malam terakhir Ramadan tetapi Perdana Menteri sedia meluangkan masa untuk memenuhi undangan ini yang dianggap penting," katanya.




Pada masa yang sama ia juga menunjukkan peranan Malaysia amat penting dalam pertubuhan kerjasama negara-negara Islam itu.




Bercakap kepada kumpulan wartawan Malaysia di sini petang ini, antara kelainan persidangan kali ini adalah kerana ia berlangsung pada bulan Ramadan, iaitu hari-hari terakhir umat Islam menjalani ibadah puasa.




Menurut program setakat ini, mesyuarat tersebut akan bermula pukul 11 malam selepas solat tarawih dan ketua-ketua negara dijangka bersahur bersama Raja Arab Saudi.




Inilah kali ke empat sidang luar biasa itu diadakan selepas penubuhan OIC dan kali terakhir berlangsung pada 2005.




Difahamkan ketua-ketua negara yang dijangka hadir ialah dari Bahrain, Kuwait, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Yemen, Libya, Mesir, Turki, Lebanon, Senegal dan Brunei. - UTUSAN






Sumber







Teruskan membaca..

Sunday, August 12, 2012

Kota disinari cahaya matahari 24 jam


valentinesday


Berbuka ketika siang



pix_gal0




Kota Murmansk disinari cahaya matahari 24 jam sepanjang Ramadan




Dubai: Buat pertama kalinya dalam masa beberapa puluh tahun, Ramadan tahun ini berlangsung ketika musim panas yang dianggap paling sukar hingga ada tempat penduduk Islam hanya berbuka selepas 20 jam.





Selain musim panas kali ini disifatkan sebagai paling panas, ia juga menyebabkan tempoh berpuasa lebih panjang setiap hari.






Di bandaraya pelabuhan barat laut Russia, Murmansk, penduduk Islam di sana berpuasa dan berbuka pada waktu siang sepanjang Ramadan.







Murmansk ketika ini disinari cahaya matahari selama 24 jam, bermakna tidak ada waktu yang jelas bagi penduduk Islam di negara itu untuk mula berpuasa dan berbuka.







Imam Besar Dubai, Dr Ali Mashael berkata, penduduk di wilayah berkenaan perlu berpuasa mengikut waktu yang sama dengan negara paling hampir kepada mereka yang mempunyai waktu siang dan malam yang jelas.





Ikut negara paling hampir





Beliau menjelaskan bahawa dalam situasi seperti ini penduduk kawasan terbabit perlu mengikut waktu Imsak, Subuh dan Maghrib di negara yang paling hampir kepada mereka sebagai sumber rujukan.







Di bahagian lain di dunia turut menyaksikan umat Islam berpuasa 20 jam sehari terutama mereka yang tinggal di Reykjavik, Iceland. Sama dengan ibu negara Denmark, Copenhagen di mana penduduk Islam yang menjadi masyarakat minoriti berpuasa selama lebih 19 jam.







Di bandaraya berjiran Scandinavia, Helsinki, Finland tempoh berpuasa di sana juga hampir 19 jam manakala Holland dan London masing-masing adalah 18 dan 17 jam.







Dr Mashael berkata, walaupun puasa selama 17 hingga 20 jam disifatkan sebagai terlalu lama tetapi umat Islam tiada pilihan selain mengikut waktu matahari terbit dan terbenam di tempat masing-masing untuk berbuka atau bersahur.






Pendapat cara berbuka






Katanya perkara itu dijelaskan dalam Firman Allah dalam Surah Al Baqarah ayat 187 yang bermaksud:






“Dan

makanlah serta minumlah

sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang)

dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar.

Kemudian sempurnakanlah puasa itu

sehingga maghrib.”






Bagi negara atau bandaraya di mana waktu siang atau malam mereka adalah 24 jam, Dr Mashael berkata, ada dua pendapat mengenainya. Pertama seperti yang diterangkan dalam ayat suci itu manakala kedua mengikut waktu berpuasa Tanah Suci Makkah dan Madinah.







Ia berbeza dengan penduduk di Buenos Aires, Sydney dan Cape Town yang paling pendek tempoh berpuasa iaitu 12 jam manakala di Comodoro Rivadavi, Argentina, tempoh berpuasa adalah 11 jam. - Agensi






Teruskan membaca..

Diskaun tol Aidilfitri 37 peratus



pix_gal0




Diskaun tol Aidilfitri 37 peratus


valentinesday



Kadar potongan, rebat tertinggi pernah ditawarkan





Kuala Selangor: Sempena Aidilfitri, pengguna 24 lebuh raya akan menikmati diskaun dan rebat tol 10 hingga 37.5 peratus, iaitu kadar tertinggi pernah ditawarkan.




Pengguna kenderaan Kelas 1 yang menggunakan bayaran tol secara elektronik (ETC) di lebuh raya kendalian PLUS Berhad, bakal memperoleh rebat 30 peratus sepanjang hari pada 15,16, 22 dan 23 Ogos.





Bagi lebuh raya lain, pengguna diberi diskaun empat hari mulai 18 hingga 21 Ogos ini, termasuk Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) yang memberikan potongan 37.5 peratus dengan mengenakan kadar rata 60 sen bagi semua kelas kenderaan, tunai dan ETC.





Kecuali Lebuhraya Pintas Selat Kelang Utara Baru (NNKSB) yang memberikan diskaun untuk tempoh sembilan jam bermula 11 malam 18 Ogos hingga 8 pagi keesokannya, lebuh raya lain memberikan diskaun sepanjang hari tarikh berkenaan.





Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, berkata insentif tol itu bagi menyokong usaha kerajaan meringankan beban pengguna, terutama pada musim perayaan.





Beliau juga berkata jumlah pengguna lebuh raya dan jalan persekutuan dijangka meningkat hampir dua kali ganda ketika Aidilfitri berbanding hari biasa.




Bagi Lebuh Raya Utara-Selatan, jumlah kenderaan pada hari biasa ialah 1.2 juta sehari. Bagaimanapun pada minggu depan dan minggu seterusnya, ia meningkat 500,000 kepada 1.7 juta kenderaan sehari.





Beliau berkata demikian selepas lawatan ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuh Raya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR) ke Jalan B149 Kundang, dekat sini semalam.





Shaziman berkata, diskaun dan rebat tol itu secara tidak langsung memberi kesempatan kepada syarikat konsesi, terutama yang membabitkan jarak jauh menyusun jadual perjalanan pengguna supaya pergerakan lalu lintas lebih lancar.





Dalam pada itu, had laju di semua jalan persekutuan akan diturunkan daripada 90 kilometer(km)/jam kepada 80 km/jam mulai 12 Ogos hingga 26 Ogos sebagai langkah membantu kelancaran trafik dan mengurangkan kejadian tidak diingini.





Selain itu, kerja penyelenggaraan di semua lebuh raya dan jalan persekutuan dibekukan dalam tempoh seminggu sebelum Aidilfitri dan seminggu selepas itu, bermula Isnin ini.





Sementara itu, sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos, LDP dan Lebuhraya Maju Expressway (MEX) menawarkan tol percuma bagi semua kelas kenderaan, tunai dan ETC, manakala 22 lebuh raya memberi diskaun dan rebat 10 hingga 30 peratus.



















Teruskan membaca..

Lailatul Qadar The Night Of Power









Rasulullah
pernah mengkhabarkan kita

dalam beberapa sabda beliau tentang

tanda-tanda malam Lailatul Qadar, iaitu :





1. Udara dan suasana pagi yang tenang



Ibnu Abbas radliyallahu’anhu berkata:


Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam bersabda:



“Lailatul qadar adalah malam tenteram dan tenang,

tidak terlalu panas dan tidak pula terlalu dingin,

esok paginya sang surya terbit dengan

sinar lemah berwarna merah”

(Hadis hasan)






2. Cahaya mentari lemah, cerah tidak bersinar kuat keesokannya



Dari Ubay bin Ka’ab radliyallahu’anhu,

bahwasanya Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam

bersabda:




“Keesokan hari malam lailatul qadar

matahari terbit hingga tinggi

tanpa sinar bak nampan”

(HR Muslim)





3. Terkadang terbawa dalam mimpi




Seperti yang terkadang dialami

oleh sebahagian sahabat Nabi radliyallahu’anhum




4. Bulan nampak separuh bulatan




Abu Hurairoh radliyallahu’anhu pernah bersabda:



" Kami pernah berdiskusi tentang lailatul qadar

di sisi Rasulullah shallahu’alaihi wa sallam, beliau berkata,

“Siapakah dari kalian yang masih ingat

tatkala bulan muncul,

yang berukuran separuh nampan.”

(HR. Muslim)





5. Malam yang terang, tidak panas, tidak dingin,

tidak ada awan, tidak hujan, tidak ada angin kencang

dan tidak ada yang dilempar pada malam itu

dengan bintang (lemparan meteor bagi setan)

Sebagaimana sebuah hadits,

dari Watsilah bin al-Asqo’ dari

Rasulullah shallallahu’alaihi wa sallam:





“Lailatul qadar adalah malam yang terang, tidak panas,

tidak dingin, tidak ada awan, tidak hujan,

tidak ada angin kencang dan tidak ada yang dilempar

pada malam itu dengan bintang (lemparan meteor bagi setan)”


(HR. at-Thobroni

dalam al-Mu’jam al-Kabir 22/59

dengan sanad hasan)





6. Orang yang beribadah pada malam tersebut

merasakan lazatnya ibadah, ketenangan hati

dan kenikmatan bermunajat kepada Rabb-nya

tidak seperti malam-malam lainnya.







Wallahualam



Waktu atau bilakah berlakunya al-Qadar?




Imam Ahmad dan Muslim meriwayatkan yang bermaksud:


"Rasulullah SAW berusaha sedaya upaya

dalam malam-malam sepuluh akhir Ramadan

melebihi usahanya daripada malam-malam lain."



Lailatul Qadar berlaku pada 10 malam terakhir

daripada malam ganjil di bulan Ramadan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:




" Carilah Lailatul Qadar pada

sepuluh akhir bulan-bulan Ramadan

dalam malam ganjil."




Pendapat yang terkuat mengikut para ulama bahawa

Lailatul Qadar berlaku pada malam 27 Ramadan.

Hujah mereka amat banyak antaranya:




  • Mengikut Abu Ka'ab katanya: " Demi Allah sesungguhnya Ibn Mas'ud telah menyakinkan bahawa malam Lailatul Qadar jatuh dalam bulan Ramadan, manakala Lailatul Qadar pula jatuh pada malam ke 27. Akan tetapi, dia enggan memberitahu kepada kami (malam yang tepat) kerana bimbang kamu tidak lagi berusaha mencarinya.




  • Daripada riwayat Muawiyah yang bermaksud: " Bahawa Nabi SAW telah bersabda bahawa Lailatul Qadar berlaku pada malam ke-27."



  • Riwayat ini disokong oleh pendapat Ibn Abbas yang mengatakan bahawa surah al-Qadar mempunyai 30 perkataan. Perkataan ke-27 bagi surah itu terjatuh kepada dhamir (hia) yang kembalinya kepada Lailatul Qadar.



  • Imam Ahmad telah meriwayatkan sebuah hadis daripada Ibn Umar r.a yang bermaksud: "Sesiapa yang mencari Lailatul Qadar, dia hendaklah mencarinya pada malam ke-27, carilah kamu Lailatul Qadar pada malam yang ke-27."



Pada malam ke-23 Ramadan.
Inilah pendapat Imam Syafie. Inilah juga pendapat Malik, Ibn Khuzaimah, Abu Awanah dan al-Tahawi berdasarkan hadis riwayat Abdullah bin Unais bahawa Rasulullah SAW bersabda:


" Carilah malam Qadar pada 23 Ramadan."





Pada malam 21 Ramadan.
Inilah juga pendapat yang dipilih oleh Imam Syafie. Dia berdalilkan pada hadis riwayat Abu Daud dan al-Baihaqi daripada Ibn Mas'ud bahawa Rasulullah SAW bersabda: "




" Tuntutlah malam 17,21 dan 23 Ramadan."




Pada malam 24 Ramadan.
Ini berdasarkan hadis Ibn Abbas bahawa Baginda SAW bersabda:



" Carilah malam Lailatul Qadar

pada malam 24 Ramadan."

-(Riwayat Muhammad bin Nasr Ahmad daripada Bilal dan al-Tayalisi)





Pada malam akhir Ramadan.
Hal ini berdasarkan hadis Muawiyah r.a bahawa Nabi SAW bersabda:



" Carilah malam Qadar pada

akhir malam Ramadan."

-(Riwayat Ibn Nasr)






Petikan daripada:
Ramadan Pelbagai Hukum dan Fatwa Puasa
Dr. Zulkifli bin Mohamad al-Bakri













Teruskan membaca..

Thursday, August 9, 2012

Tanggungjawab pekerja laksana hak Tuhan, muamalah sesama insan













Tanggungjawab pekerja

laksana hak Tuhan,

muamalah sesama insan

AL-QURAN menerangkan kepada kita bahawa Allah SWT menciptakan manusia dan jin untuk beribadah serta menjadi hamba Allah menguruskan dunia ini dengan sebaik mungkin mengikut standard peraturan ditetapkan-Nya.






Selepas itu manusia akan dikembalikan ke akhirat untuk menghadapi penilaian dan pengadilan sejauh mana prestasi melaksanakan perintah Allah SWT. Inilah matlamat utama dan hala tuju kehidupan manusia di dunia ini.





Sebagai pekerja Allah di dunia ini sama ada bekerja dengan kerajaan, swasta dan bekerja sendiri , mereka mempunyai tugas serta tanggungjawab tertentu. Pada dasarnya umat Islam yang bekerja mempunyai dua sasaran utama iaitu melaksanakan hak Allah SWT dan melaksanakan muamalah sesama manusia.






Muamalah itu merangkumi pelbagai aspek kehidupan termasuk politik, undang-undang, pendidikan, ekonomi, pertanian, kesihatan dan sebagainya. Umat Islam yang dapat melaksanakan dua sasaran itu dengan cemerlang akan memperoleh kejayaan hidup di dunia serta akhirat.






Bagaimanapun isu yang sering menjadi perbahasan mengenai pekerja ialah kualiti pekerjaan dan kecemerlangan memberi perkhidmatan berinovatif yang dapat memuaskan dua pelanggan iaitu Allah SWT dan manusia.







Islam telah memberi peringatan kepada umatnya supaya sentiasa berbuat baik, cemerlang dan menjaga kualiti atau bersifat ihsan dalam melakukan setiap pekerjaan.







Firman Allah SWT yang bermaksud:








“Dan

berbuat baiklah kepada orang lain

seperti mana Allah berbuat baik kepadamu;

dan janganlah engkau melakukan kerosakan di muka bumi;

sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang

yang berbuat kerosakan.”

(Surah al-Qasas, ayat 77)






Mengulas mengenai kecemerlangan melaksanakan sesuatu pekerjaan, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:







“Sesungguhnya Allah sangat suka (bahkan cinta)

jika seseorang daripada kamu,

apabila melakukan kerja,

maka dia bekerja dengan tekun.”

(Hadis riwayat Baihaqi)








Memahami dan menghayati sifat ihsanakan membantu umat Islam mewujudkan pekerjaan cemerlang, berkualiti tinggi serta berinovatif. Sifat ihsan ialah melaksanakan pekerjaan untuk mengabdikan diri kepada Allah SWT dengan perasaan yakin seolah-olah pekerjaan itu dilihat serta dipantau Allah SWT.









Sabda Rasulullah SAW ketika ditanya Jibril mengenai ihsan:




“Apakah ihsan itu?

Sesungguhnya kamu menyembah Allah

seolah-olah kamu melihat-Nya, tetapi jika kamu tidak melihat-Nya,

maka sesungguhnya Dia melihat kamu.”

(Hadis riwayat al-Bukhari)








Unsur penting sifat ihsan ialah bekerja secara profesional, menguasai bidang kerja, kreatif dan inovatif untuk menghasilkan kualiti kerja yang tinggi. Penghasilan yang baik sudah tentu menjadi hak pekerja dan memberi kepuasan kepada pelanggan.








Persoalan besar timbul ialah bagaimana cara untuk melahirkan ihsan atau sebaik-baik pekerjaan yang amat dituntut dalam Islam. Prinsip ihsan termasuk berakhlak mulia, mempunyai keterampilan dan kemahiran tinggi dalam sesuatu bidang tugas.









Mempunyai ilmu pengetahuan dan pengalaman serta kecerdasan dalam menganalisis sesuatu maslahat selain peka keperluan masyarakat semasa. Mempunyai wawasan dan dapat membuat jangkaan keperluan masa depan.








Mempunyai keyakinan diri yang tinggi dalam menghasilkan kecemerlangan sesuatu aktiviti dan bekerja untuk menghasilkan sesuatu kualiti terbaik yang memenuhi kehendak pelanggan.








Prinsip ihsan tidak berhasil jika semata-mata kuat beragama tetapi tidak menguasai ilmu dan kemahiran pekerjaan. Prinsip ihsan juga akan cacat jika hebat menguasai ilmu tetapi lemah dalam penghayatan agama.









Berdasarkan pengertian sebenar sifat ihsan ini, akan melahirkan pekerja bertanggungjawab, beristiqamah dengan suruhan Allah SWT dan mengutamakan kepentingan pelanggan dalam melakukan tugasannya, sama ada dilihat orang atau tidak, ketika bersama majikan atau ketiadaan majikan.









Bekerja atas dasar ihsan untuk memenuhi hak Allah SWT dan keperluan manusia sejagat akan memperkasa jati diri serta meningkatkan harga diri pekerja. Seseorang itu akan takut melakukan perbuatan keji seperti melakukan kerosakan, penipuan, rasuah, mencuri tulang dan ponteng kerja.









Ingatlah, wang kekayaan yang didapati dengan cara haram apalagi dengan menganiaya pihak lain adalah wang dan kekayaan yang tidak berkat. Kekayaan secara haram tidak membawa kesenangan dan kebahagiaan sebaliknya menyebabkan kesengsaraan di dunia serta akhirat.































Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...