Photobucket

Sahabat Maya :

Tuesday, November 29, 2011

Menuju Kecemerlangan





Konflik berterusan


boleh halang kecemerlangan kerja

Perselisihan faham cetus perdebatan perlu dikawal



KITA sering berdepan pelbagai cabaran serta konflik dalam usaha mencapai kepuasan dan kecemerlangan kerja. Ibarat menuju satu destinasi, jalan dilalui ada yang lebar dan sempit, ada yang lurus dan berliku, menaiki dan menuruni bukit serta curam, indah pemandangan dan sebaliknya.
Begitu persekitaran kerja dalam mencapai destinasi kecemerlangan. Malah, salah satu faktor yang boleh menghalang kecemerlangan organisasi adalah konflik berterusan yang tidak diurus atau ditangani dengan baik.
Konflik daripada bahasa Latin ‘confligere’, bermaksud perselisihan atau pertentangan antara individu. Ia berlaku disebabkan pelbagai faktor perbezaan sama ada pemikiran, peranan, tanggungjawab, akhlak atau cara bertindak dan hasrat yang ingin dicapai.






Termasuk perbezaan pandangan, persepsi, pemahaman, pengetahuan, pendirian, pengalaman, ideologi, keinginan, matlamat, sifat atau sikap yang membentuk perbezaan peribadi dan tabiat. Dalam organisasi, konflik boleh berlaku sesama staf, dengan subordinat atau pengurusan atasan.






Konflik berlaku disebabkan rasa tidak puas hati terhadap sesuatu keputusan, arahan kerja, gaya komunikasi, agihan tugas, sempadan tanggungjawab atau bidang kuasa, perubahan matlamat, peraturan, pertindihan tugas dan perebutan ganjaran yang terhad.






Kepelbagaian ini dengan mudah menjuruskan individu kepada konflik yang jika berlarutan mampu mengundang perbalahan, permusuhan dan mengakibatkan pelbagai salah laku pentadbiran seperti ketidakcekapan, ketidaktelusan yang merugikan seluruh organisasi.
Islam mengakui perbezaan suatu tabii dan mempunyai hikmah dari rahmat Allah.





Firman Allah yang bermaksud:




“Kalau Tuhanmu menghendaki, tentulah Dia menjadikan kamu umat yang satu. (Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itu mereka terus menerus berselisihan. Kecuali orang yang telah diberi rahmat oleh Tuhanmu, untuk itu Allah menjadikan manusia dan dengan demikian sempurna janji Tuhanmu.” (Surah Hud, ayat 118-119)






Menurut Dr Taha Jabir al-Alwani, perbezaan yang membawa kepada perselisihan terkandung dalam pelbagai istilah seperti al-khilaf (perbezaan pendapat), al-Khusumah (permusuhan atau perbalahan) dan al-Jidal (perdebatan).






Prinsip akhlak membenci perbezaan membawa kepada konflik permusuhan dan perbalahan berpanjangan yang melemahkan serta meragut kekuatan dinamakan Profesor Dr Yusof al-Qaradhawi sebagai perbezaan atau kepelbagaian pertentangan.






Khususnya dalam masalah kecil dan sampingan atau hukum furu’ kerana Islam menganjurkan sifat saling menghormati serta menghargai.






Firman Allah yang bermaksud:




“Dan taat kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan jangan kamu berbantah-bantah yang menyebabkan kamu menjadi lemah dan hilang kekuatan dan bersabar (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati).
Sesungguhnya Allah berserta orang yang sabar.” (Surah al-Anfal, ayat 46)






Apabila perbezaan dapat diurus dengan baik dan berkesan, ia akan memberi banyak manfaat. Menurut Profesor al-Qaradhawi, perselisihan memberi kesempatan dan ruang untuk memilih pandangan yang baik, tepat serta berijtihad.






Konflik sifatnya provokatif dan menarik tindak balas orang ramai untuk memberi pandangan. Kehangatan konflik merangsang individu berfikir dan mencari idea alternatif. Tetapi perlu dikawal dan dikendalikan dengan berhemah supaya tidak mencetuskan perdebatan tidak sihat serta menjejaskan integriti staf.






Menghadapi konflik, kita perlulah terlebih dulu mengesan puncanya. Dari situlah beberapa langkah penyelesaian diusahakan. Antara panduan menguruskan konflik di tempat kerja ialah menyemarakkan kesedaran dan sistem bekerja secara berpasukan berpandukan matlamat organisasi.






Kedua, bagi konflik yang dicetuskan faktor peribadi seperti ego, bangga diri, salah sangka terhadap staf lain, tuduhan atau kenyataan tanpa asas dan bukti, berfikiran sempit serta fanatik, maka perlu diingatkan untuk kembali kepada asas akhlak.






Langkah mengukuhkan penerapan nilai teras seperti ikhlas, jujur, amanah, toleransi, hormat menghormati, mengamalkan kesederhanaan, muafakat, keterbukaan dan positif minda dalam organisasi perlu diberi keutamaan.






Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:




“Jauhilah kamu dari prasangka kerana ia kata-kata dusta. Jangan saling mencurigai, menghasut, iri hati dan saling membenci. Dan jadi kamu hamba Allah yang bersaudara.” (Hadis riwayat Bukhari)





Ketiga, membina semangat setia kawan bertujuan mengeratkan silaturahim dalam organisasi.






Keempat, menyediakan ruang atau sistem maklum balas kualiti menyampaikan pandangan atau ketidakpuasan hati secara berhemah serta merapatkan jurang komunikasi.






Kelima, menyediakan khidmat pakar atau kaunseling dan keenam, tindakan disiplin bersesuaian dengan peraturan seperti memberi amaran, mengeluarkan surat peringatan, menggantung kenaikan dan sebagainya.






Tujuannya adalah menjaga kepentingan umum dan menolak kemudaratan supaya matlamat organisasi tercapai dalam suasana harmoni.






Kaedah masyhur Sheikh Muhammad Rasyid Ridha yang turut dipersetujui Imam Hassan al-Banna boleh dijadikan panduan berorganisasi iaitu, bekerjasama dalam masalah yang sudah disepakati dan saling bertolak ansur dalam masalah yang diperselisihkan.







Oleh Sharifah Hayaati



Penulis ialah pensyarah di



Jabatan Siasah Syar’iyyah,


Akademi Pengajian Islam,


Universiti Malaya










Teruskan membaca..

Monday, November 28, 2011

Ubat Penenang





Ubat Penenang






FAUZAN Sanip anak tunggal seorang jurutera di Bangi. Fauzan mempunyai kebolehan menghafaz al-Quran dan tubuh badan yang tegap. Dia biasa hidup penuh dengan kemewahan sehingga mampu memiliki apa sahaja yang dihajati.





Keghairahan bergembira telah menyebabkan dia telah beberapa kali dibuang sekolah kerana sering melawan guru dan melakukan pelbagai kesalahan bergaduh dengan murid yang lebih besar sehingga mengancam keselamatan murid lain di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Raja, Kajang, Selangor.





Kestabilan kewangan keluarganya mendorong Fauzan bebas, sering keluar rumah, merayau dan membelanjakan wang dengan jumlah yang sangat banyak melebihi RM120 sehari untuk makan dan membeli peralatan yang digemari. Mutakhir ini hampir pada setiap hari Fauzan keluar malam. Fauzan mulai terbabit dengan lumba haram di sekitar Sepang.





Fauzan sering ditahan polis kerana memandu laju, tiada lesen memandu dan di bawah umur. Tingkah laku Fauzan menjadi semakin ganas telah menimbulkan kebimbangan ibu bapanya.





Bapanya nekad bertindak membawa Fauzan untuk mendapatkan rawatan daripada Pakar Psikiatri Kanak-Kanak dan Remaja Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.





Sejak 2008 Fauzan menjalani rawatan itu kerana Fauzan mengalami emosi tidak stabil.





Tabiat Fauzan semakin buruk dan dia mula mengganggu guru-guru menjadikan suasana di sekolah kurang aman, Kelakuan Fauzan sering menyebabkan kebimbangan guru dan rakan-akan di sekolah. Mereka merasakan keselamatan mereka sentiasa terancam.





Malah penduduk Kampung Jumaat turut bimbang di atas kehadiran Fauzan. Akhirnya Pengetua SMK Kota Raja telah mengambil tindakan membuang Fauzan dari sekolah kerana sering ponteng dan mengganggu keselamatan murid lain, bergaduh dan membuli murid lain walaupun Fauzan akan menduduki peperiksaan PMR pada tahun ini.





Sepanjang rawatan itu Fauzan telah ditahan di Pusat Perubatan. Setelah menjalani rawatan, kini dia semakin pulih tetapi perlu mengambil ubat penenang yang menyebabkan dia mengantuk dan tidak dapat hadir ke sekolah seperti murid lain.





Tindakan:





Pengawai di Jabatan Pelajaran bertindak menasihati ibu bapa Fauzan kaedah yang boleh dilaksanakan untuk pertukaran sekolah Fauzan. Jabatan menasihati untuk memastikan persekolahan Fauzan tidak terganggu.





Jabatan menasihati berdasarkan keperluan undang-undang berikut:





Walau bagaimanapun guru besar atau pengetua hendaklah menerima masuk murid yang adalah warganegara ke sekolah untuk menerima pendidikan PU (A) 275/98 dipinda oleh PU (A) 445/07.





Ibu bapa murid perlu mengemukakan dokumen sokongan mengikut Seksyen 96 sepertiTulisan dan perbahasan berkenaan dengan tulisan adalah termasuk cetakan, litografi, tulisan taip, gambar, foto dan lain-lain cara menyatakan atau menurunkan perkataan, rajah dan angka dalam bentuk yang boleh dilihat.





Murid perlu menandatangani perjanjian berkelakuan baik di hadapan pengetua baru.





Semua murid adalah tertakluk kepada bahagian 2 (Perkara 5)(i) kebebasan Asas, tiada seseorang pun boleh diambil nyawanya atau dilucutkan kebebasan dirinya kecuali menurut undang-undang.





Permohonan Rayuan Bersekolah Semula Fauzan telah dirujuk ke Unit Hal Ehwal Murid. Unit Hal Ehwal Murid setelah menerima permohonan rayuan Bersekolah semula dan telah memanggil murid untuk menjalani sesi kaunseling.





Fauzan akhirnya ditempatkan semula di sekolah berhampiran berdasarkan kesesuaian serta kesediaan Fauzan belajar dan menyesuaikan persekitaran yang baru di sekolah baru. Diharapkan persekitaran baru ini mampu untuk memberikan pengalaman dan mengurangkan tekanan kepada Fauzan.





Pengajaran:





Ibu bapa mungkin boleh menyakinkan pengetua mengenai status penyakit anaknya namun kesan penyakit yang dihidapi Fauzan tidak dapat diterima oleh guru dan rakan-rakannya. Fauzan dianggap seorang yang berbahaya dan boleh mengancam keselamatan sesiapa sahaja pada bila-bila masa. Fauzan dan keluarganya perlu mnerima hakikat itu dengan hati yang terbuka. Fauzan perlu menyedari bukan semua yang dimiliki dikuasai sepenuhnya, semua yang dinikmati kekal selama-lamanya dan semua yang diidamkan diperolehi sempurna.





Persoalan:





Ibu bapanya mungkin terasa sampai bilakah Fauzan akan sembuh dan menjalani kehidupan seperti murid lain.





Mengapa pusat perubatan tidak menahan Fauzan seperti pesakit lain walaupun Fauzan ternyata menjadi ancaman kepada rakan, guru dan keselamatan orang lain.





Adakah apa yang menimpa Fauzan satu pembalasan dosa ibu bapanya yang lalu?





Akhirnya:




Walaupun ibu bapa Fauzan merupakan orang yang dihormati dan keluarga berada di Bangi tetapi mereka perlu mengambil perhatian keadaan kesihatan anaknya supaya tidak membahayakan atau mengancam orang awam lain. Dia memerlukan rawatan jiwa yang sistematik dan berterusan supaya tidak menimbulkan gangguan kepada rakan sebaya, masyarakat sekitar dan keluarganya. Setelah menerima rawatan yang betul dan berterusan Fauzan semakin sihat dan diterima oleh rakan serta guru di sekolahnya.




Nasihat:



Setiap ibu bapa berhak memberikan kemewahan kepada anak kesayangan mereka mengikut kemampuan masing-masing. Bagaimanapun mereka perlu memerhatikan segala perubahan tingkah laku anak-anak mereka. Mereka perlu mendapatkan pandangan daripada orang yang pakar dan mahir mengenai perubahan itu supaya tidak terlambat dan kronik.








Teruskan membaca..

Powerful Inspirational true story...Don't give up!


















Setiap jalan yang kita lalui
tidak pernah sama dengan orang lain.
Justeru itu,
untuk sampai tujuan ,
kita harus mempercayai
setiap langkah yang kita buat.





Kita tidak akan pernah gagal jika kita percaya
bahawa setiap kejadian yang tidak sesuai keinginan kita
adalah alternatif lain untuk mencapai tujuan
yang tidak terfikirkan oleh kita sebelumnya.





Jangan lupa membalik telur goreng anda
dan jangan pandangi satu sisi saja nescaya
bahagian bawah telur anda kosong.
Jangan lupa selalu melihat sesuatu peristiwa
dari dua sudut agar anda lebih memahami.





Teruskan membaca..

Tempe Malaya





Cerpen:



Tempe Malaya





Oleh


Mohd Haniff Mohammad Yusoff




pix_gal0



"MULAI hari ini, saya tidak mahu lagi penduduk kampung menggunakan tempe dalam masakan kita!"


“Tok, apa salahnya kita menggunakan tempe dalam masakan kita. Bukankah lebih sedap?”



“Saya tidak gemar kita menggunakan makanan dari negara seberang dalam masakan kita.”



“Tok, bukankah kita telah lama merasai kesedapan tempe dan di Malaysia mudah sekali untuk memperolehnya.”


Ketua Kampung meninggalkan dewan tanpa membalas kembali persoalan Seman, salah seorang ahli jawatankuasa penduduk kampung. Dia kebingungan apabila ketua kampung mengeluarkan kenyataan sebegitu. Padahal, perut seluruh penduduk kampung di situ sudah sebati dengan tempe. Seman pun mengangkat kaki meninggalkan dewan. Malam nanti, sesudah Isyak, dia perlu mengadakan perbincangan dengan ahli jawatankuasa masakan pula.


Sesudah Isyak.


“Mana boleh jika kita tidak masukkan tempe ke dalam masakan kita,” bantah Mak Minah.


“Benar, siapa yang mahu membayar ganti rugi? Kami sudah membeli berpaket-paket tempe,” tambah Kamal.


“Agaknya Tok Ketua sudah buang tabiat, bukankah selama ini dia yang beria-ria minta dimasukkan tempe dalam masakan kita,” luah Cik Tom, janda anak tiga.


Seman seakan-akan mati akal. Serba salah dibuatnya. Riuh bilik mesyuarat masjid Kampung Malaya. Masing-masing tidak setuju dengan arahan Tok Ketua. Bagaimana pula dengan penerimaan orang kampung terhadap masakan mereka tanpa tempe semasa kenduri perkahwinan anak Mak Minah nanti?



Apabila tibanya musim cuti sekolah sebegini, memang ramai yang akan mengadakan kenduri perkahwinan dan kali ini giliran anak Mak Minah pula untuk naik pelamin. Sudah menjadi kebiasaan, seluruh penduduk kampung akan bergotong-royang mengadakan kenduri dan tugas-tugas diagihkan kepada setiap penduduk kampung.



Keesokannya, apabila Sang Suria sudah memunculkan diri, Mak Minah menempek bedak sejuk di pipinya. Kain kepala dikenakannya di hadapan cermin. Kain batik diikat kemas di pinggang. Bersemangat Mak Minah pagi itu hendak ke rumah Tok Ketua dengan harapan agar menu majlis kendurinya pada minggu hadapan masih menggunakan tempe seperti majlis kenduri sebelum-sebelum ini. Berjalanlah Mak Minah seorang diri ke rumah Tok Ketua sambil disapa kokokan demi kokokan si jantan.


“Tok, saya tidak sebulu dengan Tok pasal menu kenduri saya minggu depan.”


“Minah, tempe tu berasal dari negara sebarang. Mengapalah perlu kita banggakan orang punya sedangkan kita pun ada makanan kita sendiri.”


“Tok, tempe tu memang asal dari seberang, tetapi bukankah kita pun sudah lama makan tempe ni. Dulu semasa rumah Leha kenduri, berkampit-kampit Tok bawa pulang tempe.”


“Itu dulu Minah. Sekarang aku dah sedar. Kita ni kena bangga dengan negara kita, bukan mencedok hasil negara orang. Aku mahu jadi ketua kampung yang ada wawasan buat contoh kepada penduduk kampung.”


“Eh, Tok ni, semangatnya tidak bertempat. Tempe tu takkan pengaruhi fikiran kita pun. Ramai saja orang Melayu yang makan tempe.”


“Itu orang Minah. Ini kan kampung aku, aku berhak bagi keputusan. Kau jangan buat aku naik angin, Minah.”


“Tok, saya minta izin dulu. Kopi Tok ni pun rasanya bukan dari Malaysia.” Mak Minah meneguk seteguk kopi yang dihidangkan kepadanya sebelum beransur pulang.”


Mak Minah dan orang kampung terpaksa akur dengan arahan Ketua Kampung. Kenduri di rumah Mak Minah kali ini tiada lagi tempe dihidangkan bersama. Sudah menjadi kelaziman sebenarnya di kampung Malaya, setiap acara kenduri keramaian yang diadakan, tempe akan dimasukkan dalam setiap hidangan. Penduduk kampung memang gemar makan tempe. Boleh dikatakan, setiap rumah di situ ada saja bekalan tempe setiap bulan seperti beras yang menjadi makanan ruji. Tradisi itu memang sudah diketahui masyarakat luar.


Mak Minah dan orang kampung sibuk menyiapkan persiapan untuk majlis kenduri perkahwinan anak Mak Minah yang berbaki lagi seminggu. Khemah, meja makan dan kerusi untuk tetamu telah pun ditempah oleh Seman dari kampung sebelah yang memang menyediakan perkhidmatan itu. Ros, Melur dan kawan-kawannya yang lain sibuk menyiapkan bunga telur dan cenderamata yang akan diberikan kepada tetamu yang hadir nanti.


Rumah Mak Minah dihiasi kain renda serba ungu. Seawal pagi lagi orang kampung telah datang ke rumah Mak Minah untuk bergotong-royong memasak juadah. Kayu api dinyalakan terlebih dulu sebelum memasak hidangan dan nasi minyak.


“Kamal, mana tempe yang sudah kau beli?” tanya Seman.


“Ada lagi di stor dewan kita. Rasanya membazir saja dibiar begitu.”


“Tidak mengapa, nanti agihkan pada penduduk kampung.”


“Nak agihkan pada Tok Ketua sekali ke? Dia masih makan tempe ke?”



Soalan Kamal mengundang gelak ketawa sekalian kaum lelaki di situ. Gelak tawa itu berhenti begitu saja apabila kelibat ketua kampung kelihatan ke arah mereka. Ketua kampung membuat pemantauan.


Juadah siap dimasak tatkala matahari menegak di kepala. Tetamu pun mula bertandang memeriahkan lagi majlis. Mak Minah sebagai tuan rumah menyambut tetamu dengan senyum lebarnya. Paluan kompang menarik perhatian tetamu yang hadir. Masing-masing mengalih tumpuan daripada menjamu selera ke arah datangnya bunyi paluan kompang. Persembahan pencak silat menambahkan seri lagi pada hari itu. Kelihatan Mak Minah tidak henti-henti bersalaman dengan tetamu yang hadir.


Seorang wanita yang hampir sebaya dengan Mak Minah merapati telinganya.


“Minah, kenapa lauk kenduri kali ni tiada tempe? Bukankah itu tradisi kampung Malaya?”


“Nab, ketua kampung kami tidak mahu lagi ada hidangan tempe. Katanya, tempe tu berasal dari negara seberang. Kami di sinikan berpakat mengada kenduri, jadi terpaksalah patuh pada arahannya.”


“Sudah, ke situ pula ketua kampung kau. Tempe tu pun makanan masyarakat kita juga. Bukannya benda baru. Kalau makanan barat tu, aku bolehlah terima alasannya tu.”


“Nab, kalau kau nak makan tempe, nanti datanglah lagi rumah aku. Aku masak istimewa untuk kau. Maaflah sebab tiada tempe kenduri kali ni. Terima kasih ya sebab sudi datang.”


“Sama-sama. Insya-Allah, kerana tempe, aku pasti datang.”


Seorang demi seorang meninggalkan majlis. Majlis menjamu selera untuk tetamu tamat sekitar pukul lima petang. Hari kian memanjat senja.


Mak Minah kembali ke belakang rumah melihat penduduk kampung yang bergotong-royong membersih segala perkakas. Riuh jadinya apabila suara bertemu suara tanpa lampu isyarat.


“Mak Minah, banyak betul lauk kenduri kali ini yang tidak habis jika dibandingkan dengan kenduri-kenduri sebelum ini,” jelas Seman. “Sisa makanan pun bertimbun. Membazir!” tambah Dolah.


“Ramai yang bertanyakan tempe. Mungkin sebab tempe tiada dalam hidangan kita kali ini menyebabkan ramai yang makan hanya memenuhi syarat. Mungkin juga kerana mereka menyimpan hasrat yang tinggi untuk makan tempe, tetapi berbalas dengan kehampaan. Ibarat orang putus cinta.” Mak Minah mematikan leterannya dan menuju ke dalam teratak peninggalan arwah suaminya. Penduduk kampung masih setia membantu Mak Minah. Sebahagian daripada wanita kampung itu mengemas di dalam rumah.


Keesokan harinya, orang kampung mula bercerita. Mereka kesal dengan sikap ketua kampung yang bersikap prejudis itu. Ketiadaan tempe telah menyebabkan majlis kenduri-kendara tidak semeriah dulu. Hubungan ketua kampung dan penduduk kampung juga tidak seakrab dulu. Jarang sekali penduduk kampung hendak ke rumah ketua kampung jika tiada perkara penting. Sampai begitu sekali penangan daripada dasar baharu ketua kampung itu.


“Tiada siapakah yang ingin datang melawat aku?” keluh Tok Ketua. “Siapalah yang mahu datang. Abang sudah mengguris perasaan mereka.” sahut isterinya.


“Hanya kerana tempe? Aku mendidik mereka supaya menyayangi nusa sendiri dan bukannya menyanjung negara seberang. Salahkah aku?”


“Tidak salah, tetapi cara abang itu tidak kena gayanya. Memang tempe itu asalnya dari negara seberang. Sejarah, memang tiada seorang pun dapat menafikannya.”


“Tahu pun.”


“Walau bagaimanapun, abang jangan lupa. Tempe itu pun sudah sebati dengan masyarakat kita di sini. Negara kita ni kan memang mewah dengan makanan. Rasanya tidak salah untuk menikmati tempe.”


“Awak pun sama saja seperti orang kampung yang lain. Sekarang kita berada dalam arus globalisasi. Pemikiran kita tidak boleh ke belakang lagi!”


“Aduh, penat saya lawan cakap dengan abang ni. Saya mahu ke kedai, beli air soya.”


Rokiah membetulkan ikatan kain batiknya dan keluar mengikut pintu hadapan rumahnya untuk ke kedai. Di kedai, dia disapa oleh Mak Minah yang kebetulan turut ke kedai membeli barang runcit.


“Kak Kiah, lama tak Nampak. Apa khabar? Beli air kotak soya untuk siapa, Kak?”


“Eh, Minah, aku sihat. Air kotak soya ni untuk Tok Ketua. Dia kurang sihat. Asyik demam sejak akhir-akhir ni. Doktor nasihatkan supaya minum air soya sebab kandungan protein air soya tinggi.”


“Oh, tidak tahu pula dia tidak sihat. Sejak kenduri hari tu, memang terkilan dan terasa dengan sikap Tok.”


“Aku faham, Minah. Jenuh juga aku nasihatkan dia. Dia tetap juga pertahankan pendirian dia tu. Nasihat aku, tidak dikunyahnya langsung.”



“Kak, saya ikut akak pulang sekali. Boleh jenguk Tok Ketua nanti.”“Baguslah kalau begitu. Kau pun sudah lama tak bertandang.”


Seusai meneguk secangkir kopi pekat, Mak Minah cuba berbicara dengan Tok Ketua walaupun sebenarnya amat sukar untuk mula mengeluarkan kata setelah sekian lama tidak bersua. Tambahan pula, ada hati yang terguris. Mak Minah beranikan diri, “Tok, Kak Kiah kata Tok tidak sihat.”


“Macam tulah, Minah. Doktor nasihatkan aku kena minum banyak air soya. Banyak khasiat katanya.”


“Tok, kalau Tok hendak tahu, tempe tu asalnya dari kacang soyalah. Agaknya, sejak Tok mulakan polisi Tok tu, Tok mula jatuh sakit.”


“Tidak mahulah aku menyentuh makanan negara orang lagi.”


“Tok, tempe yang ada dijual di negara kita ni, kebanyakkannya orang Melayu kita yang buat tau! Sekurang-kurangnya, kita juga membantu perniagaan orang kita. Hentikanlah prejudis Tok yang tidak bertempat tu. Tengok tu, Tok teguk juga kopi ni. Kopi ni bukan ke dari seberang juga? Cuma proses membungkus saja di negara kita.”


“Habis tu, kau nak suruh aku makan tempe?”


“Makanlah tempe tu, sama saja tempe dan kacang soya. Buanglah ego Tok tu jauh-jauh. Tiada gunanya mendabik dada tetapi menanggung sakit. Sampai bila Tok hendak jadi begini? Tok, ada tanggungjawab terhadap kampung kita ni.”


“Baiklah, aku angkat bendera putih kali ni.”


“Sepatutnya dari hari tu lagi, Tok.”


Mak Minah meminta diri untuk pulang.


Beberapa hari kemudian, Tok Ketua kembali sihat seperti sedia kala. Dia memohon maaf kepada penduduk kampung atas keegoannya. Tempe Malaya kembali dinikmati bersama-sama.


Biodata Penulis

MOHD Haniff Mohammad Yusoff
yang dilahirkan di Sandakan, Sabah,
pada 25 Januari 1988,
terbabit dalam penulisan puisi dan rencana.



Puisinya pernah disiarkan dalam majalah Kuntum,
Dewan Siswa, Fokus SPM dan Berita Harian,
Berita Minggu dan Mingguan Malaysia,
manakala rencananya mendapat tempat
dalam Dewan Masyarakat dan Dewan Siswa.
Cerpennya pernah disiarkan
dalam majalah e@siswa.




Penuntut Ijazah Sarjana Muda
Pengurusan Hal Ehwal Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia.
Peserta Minggu Penulis Remaja (MPR) 2009
anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini
pernah memenangi hadiah sagu hati
Anugerah Citra Majalah Sekolah Wilayah Utara 2007
(Kategori Puisi), sagu hati Anugerah Citra
Majalah Sekolah Wilayah Utara 2007 (Kategori Rencana),
sagu hati Pertandingan Menulis Puisi
Budi Bahasa Budaya Kita anjuran
Klasik Nasional dan KEKKWA.




Penulis boleh dihubungi di blog


www.mohdhaniffmohammadyusoff.blogspot.com







http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Cerpen_TempeMalaya/Article






Teruskan membaca..

Perlawanan yang menarik



‘Saya tak tahu nak cakap apa’



ANAK didik Kim Swee kecewa tumpas kepada Bahrain pada kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Yazit Razali
ANAK didik Kim Swee kecewa tumpas kepada Bahrain pada kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam tadi. - Foto Yazit Razali




Tiga mata yang digenggam sepanjang 80 minit pertama lenyap dalam lima minit: Kim Swee


SUKAR buat jurulatih skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee menelan kekalahan 3-2 di tangan Bahrain dalam saingan kelayakan Kumpulan C 2012 malam tadi apabila tiga mata yang digenggam sepanjang 80 minit pertama lenyap dalam tempoh lima minit.




"Saya tidak tahu nak cakap apa, dalam lima minit segalanya berubah," kata Kim Swee dalam sidang media selepas perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi. "Dua gol yang kita peroleh sia-sia selepas kehilangan Affize (Faisal) dan Nazmi (Faiz Mansor).






"Saya tidak punya banyak pilihan pada baki 20 minit terakhir selepas Affize cedera dan Nazmi kekejangan otot. Saya terpaksa meletakkan Shukor (Jusoh) dan penyerang, Ferris (Danial) di bahagian tengah dan ternyata kita gagal mengekang asakan Bahrain walaupun mereka bermain dengan 10 orang.





"Malah Irfan (Fazail) terpaksa menghabiskan permainan dengan buku lali yang tercedera dan ini menunjukkan betapa terdesaknya saya dalam minit-minit terakhir permainan. Walaupun sukar untuk layak, saya harap baki permainan ini digunakan pemain untuk belajar."



"Saya mahu pemain saya rehat secukupnya selepas perlawanan ini. "Bagi saya pemain sudah memberikan yang terbaik dan saya mahu mereka melupakan bola sepak seketika."



Sementara itu, jurulatih Bahrain, Salman Shareeda menganggap perlawanan malam tadi cukup menarik dengan lima gol dijaringkan dan dia menganggap, Malaysia dan Bahrain adalah pemenang selepas masing-masing beraksi cemerlang.


"Cuma di dalam bola sepak kita perlu bermain hingga 90 minit dan walaupun kami ketinggalan dua gol, semangat juang anak buah saya untuk memburu tiga mata selepas tewas di tangan Syria dan Jepun, membawa hasil lumayan," kata Salman.



Selepas mendahului 2-0 menerusi Nazmi (m-30) dan Mahali Jasuli (m-67), Malaysia dikejutkan tiga gol pelawat dalam tempoh lima minit hasil jaringan Saad Saiah Al-Amer (m-81) dan Isa Ahmed Muthanha (m-85, 86).




Berita Harian Online



LANGKAH ke Olimpik London yang bersinar pada awalnya secara tiba-tiba terpadam dalam tempoh 10 minit terakhir apabila skuad Olimpik negara kecundang buat kali ketiga berturut-turut di Stadium Nasional Bukit Jalil, semalam.

Rembatan pemain muda yang semakin meningkat, Mohamad Nazmi Faiz Mansor pada minit ke-30 serta jaringan Mahali Jasuli pada babak kedua cukup menceriakan penyokonng tempatan dan Bahrain yang dikendalikan Salman Shareeda kelihatan sudah bersedia untuk pulang hampa.



Berita penuh di sini myMetro



MURUNG...pemain  murung selepas tewas kepada Bahrain, malam tadi.
MURUNG...
pemain murung
selepas tewas kepada Bahrain,
malam tadi.





PENGENDALI skuad Olimpik negara, Ong Kim Swee jelas kecewa selepas menyaksikan anak-anak buahnya kecundang pada 10 minit terakhir Kelayakan Olimpik Zon Asia kepada Bahrain, semalam.




Tiga gol dilepaskan itu membolehkan pelawat yang beraksi dengan 10 pemain memenangi perlawanan dengan keputusan 3-2 walaupun mendahului dua jaringan pada awalnya.



Berita penuh di sini myMetro




Teruskan membaca..

Sunday, November 27, 2011

Tabik tanpa hadiah




Tabik Maal Hijrah buat Rumaizi


DALAM satu dokumentari TV melancong ke China, saluran Travel & Living Channel (TLC) telah memaparkan dua suasana membeli belah yang berbeza bagi pelancong di kota perniagaan Shanghai dan bandar raya Islam, Urumchi.



Hos dokumentari itu memberikan petua kepada pelancong yang hendak membeli belah di Shanghai, bandar raya kapitalis di negara komunis yang perniagaannya 100 peratus berasaskan pasaran bebas. Berdasarkan pengalamannya, anda kena menawar sehingga 70 peratus daripada harga yang disebut oleh penjual.



Sebaliknya di Urumchi yang terletak di wilayah Xinjiang yang majoriti penduduknya Muslim, hos itu berpesan bahawa pelancong tidak perlu tawar menawar kerana apa yang disebut adalah harga amat berpatutan yang telah ditetapkan oleh peniaga-peniaga yang jujur.



Secara tidak langsung dokumentari itu telah menggambarkan dua perwatakan peniaga yang berbeza. Watak pertama ialah peniaga Shanghai yang akan cuba memerah seberapa banyak keuntungan. Inilah perangai sebenar peniaga kapitalis.



Watak kedua menggambarkan sikap jujur peniaga Muslim di sebuah bandar raya Islam.



Sebagai orang Islam, hamba berasa tersentuh dengan paparan tulus dokumentari TLC yang ditonton melalui saluran ASTRO ini. Betapa umat Islam di China masih memiliki nilai keimanan yang sudah meluntur di kebanyakan bandar raya di negara-negara Islam.



Islam telah dikembangkan ke China sekitar awal 600 Masehi oleh beberapa orang sahabat Rasulullah SAW yang diketuai oleh Saad bin Waqqas. Betapa pula sikap kita orang Islam di Malaysia yang menerima agama ini jauh terkemudian daripada saudara-saudara seagama di China?



Ketika menulis, masih segar di benak cerita tiga orang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di mahkamah atas tuduhan merompak ketika menjalankan siasatan ke atas beberapa orang pengurup wang dari Singapura. Dua daripada pegawai itu mempunyai nama orang Islam, dan bolehlah diandaikan mereka ini beragama Islam.



Persepsi



Ketika kisah mereka masih jadi bahan perbualan, kita dikejutkan pula dengan berita duit bahan bukti kes berkenaan sebanyak RM11,700 telah hilang daripada tempat simpanannya di pejabat pegawai polis yang menyiasat kes SPRM itu.



Dalam kebanyakan kes 'pagar makan padi' di Malaysia, majoriti mereka yang ditangkap bersabit dengan jenayah tidak amanah adalah orang-orang yang dilahirkan dengan nama Islam. Dalam kes rasuah pula, penerima yang ditangkap adalah orang Islam. Sebaliknya kebanyakan mereka yang memberi rasuah adalah bukan Islam.



Apakah stigma dan persepsi yang dipalitkan oleh fenomena ini? Bahawa orang Islam tidak boleh dipercayai sangat; mereka tidak jujur dan tidak amanah? Segalanya boleh 'diselesaikan' hanya dengan menghulurkan sedikit wang ke dalam poket kakitangan penguatkuasa undang-undang.



Nampaknya stigma dan persepsi ini amat bertentangan dengan firman Allah mengenai sifat-sifat orang Islam.




Kamu (umat Muhammad) adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang makruf, dan mencegah daripada yang mungkar, dan beriman kepada Allah. Sekiranya ahli kitab beriman, tentulah itu lebih baik bagi mereka, di antara mereka ada yang beriman, dan kebanyakan mereka adalah orang-orang yang fasik. - Ali Imran 3: 110



Ternyata bahawa ramai umat Islam di Malaysia gagal memenuhi tuntutan yang Allah SWT tetapkan terhadap umat Muhammad. Barangkali mereka sekadar mempunyai nama yang mirip kepada Islam sahaja. Sekadar Islam pada keturunan dan nama, tetapi tidak dari segi keimanan dan akhlak.



Kita sepatutnya menjadi contoh kepada seluruh manusia. Tetapi ramai umat Islam pada abad ke-21 yang gagal memenuhi tuntutan Allah ini. Sebaliknya, selain mudah dilabel sebagai orang-orang yang kurang amanah, kita juga di peringkat antarabangsa sedang terkial-kial menepis gelaran pengganas.



Di Malaysia kita cuba meyakinkan semua orang bahawa umat Islam berfahaman sederhana, bukan pelampau apatah lagi pengganas. Namun hakikatnya darah akibat konflik bersenjata paling banyak mengalir di bumi Islam. Berdoalah supaya apa yang sedang berlaku hanya dilihat sebagai keburukan dari segi zahir, tetapi akhirnya ia akan memberi peluang dan ruang kepada umat Muhammad yang tulen untuk bangkit membetulkan keadaan. Semoga Allah memberikan pertolongan.



Natijah



Pada hari ini, kita merayakan kedatangan tahun baru hijrah 1433. Setiap tahun, kita jadikan sambutan Maal Hijrah satu natijah untuk mengubah keadaan daripada kurang baik kepada yang baik dan seterusnya kepada lebih baik.



Ayat 110, Ali Imran wajar dijadikan peringatan kepada setiap umat Nabi Muhammad. Sejauh manakah kita di Malaysia telah melengkapkan diri kita sebagai ''umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia? '' Secara jujur, jawapannya adalah masih jauh daripada apa yang dikehendaki-Nya.



Maka dalam kesibukan umat Islam berceramah, berforum, berseminar sempena Maal Hijrah, hamba ingin mengambil kesempatan untuk mengangkat tabik kepada seorang umat Muhammad yang bernama Rumaizi Mohd Amin.



Menurut laporan akhbar pada 22 November lalu, Rumaizi adalah salah seorang pengurus kanan bahagian penyiasatan Tenaga Nasional Berhad. Beliau telah ditawarkan rasuah RM4,000 supaya tidak mengambil tindakan terhadap seorang pengurus kilang perabot berhubung kesalahan berkaitan bekalan elektrik.



Rumaizi bukan sahaja menolak, tetapi mengambil tindakan selanjutnya sehingga pengurus itu dihukum penjara sehari dan denda RM20,000 atas kesalahan cuba memberi rasuah.



Dalam kes lain, Rumaizi juga menolak tawaran rasuah RM25,000 yang disogokkan oleh seorang pengurus pemasaran sebuah syarikat swasta juga bagi mengelakkan tindakannya berhubung kesalahan berkaitan bekalan elektrik. Kes pengurus pemasaran itu masih dalam proses perbicaraan.



Tidak ramai orang Islam yang bersikap amanah seperti Rumaizi pada zaman berlumba mengejar kesenangan dunia ini. Yang mengaji tinggi semakin ramai. Rumaizi wajar menjadi salah seorang umat Muhammad contoh. Sesungguhnya Nabi Muhammad sangat amanah. Jika lebih ramai orang Melayu seperti Rumaizi, sudah tentulah umat Islam di Malaysia akan lebih dihormati, disegani dan dicontohi.



Maka sempena sambutan Maal Hijrah 1433, marilah kita memberikan tabik tanpa hadiah kepada Rumaizi. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui jualah yang layak membalas sifat terpuji saudara Rumaizi Mohd Amin.






Teruskan membaca..

Dr Abdul Shukor HusinTokoh Maal Hijrah 1433H/2011





http://www.islam.gov.my/cms/upload/kpa/muzfatwa-10.gif



Dr Abdul Shukor Husin

dipilih Tokoh Maal Hijrah

1433H/2011


PUTRAJAYA: Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan bagi hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKA), Prof Emeritus Dr Abdul Shukor Husin, 69, dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah 1433H/2011.






Menteri Haji Arab Saudi, Dr Fuoad Abdul Salaam, 65, pula dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.





Selaku penerima anugerah, Abdul Shukor membawa pulang hadiah wang tunai RM110,000 iaitu RM100,000 sumbangan kerajaan dan RM10,000 lagi diberikan oleh Yayasan Ubaidi, pingat Tokoh Maal Hijrah, cenderahati serta sijil penghargaan bertulisan khat.





Majlis penyampaian anugerah dan hadiah disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin di Puat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, sebentar tadi.







Majlis berkenaan turut diserikan dengan kehadiran, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Seri Norainee Abdul Rahman.




Subur persefahaman



TOKOH Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1433H / 2011M, Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin bersama isteri, Puan Sri Ramah Abd Manan berkongsi kegembiraan bersama keluarga selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - Foto Afendi Mohamed
TOKOH Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1433H / 2011M,
Pengarah Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Malaysia, Profesor Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin
bersama isteri, Puan Sri Ramah Abd Manan berkongsi kegembiraan bersama keluarga selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, semalam. - Foto Afendi Mohamed




Seri Paduka mahu sikap tolak ansur jadi amalan pupuk perpaduan





PUTRAJAYA: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menasihatkan rakyat pelbagai kaum yang berbeza agama, adat, budaya dan cara hidup supaya saling memahami keperluan selain menghormati perbezaan antara satu sama lain.




Justeru, Seri Paduka mahukan umat Islam menjadi contoh terbaik dalam mengaplikasikan konsep sebenar persefahaman tanpa mengira kedudukan dan latar belakang.



Titah baginda, hanya dengan persefahaman dan menghormati antara satu sama lain, negara mampu membentuk masyarakat yang bersatu padu.
“Kita harus tahu dan sedar bahawa keamanan negara amat berkait rapat dengan perpaduan ummah. Tidak mungkin masyarakat yang kacau bilau mampu mengekalkan keamanan sesebuah negara,” titah baginda.




Baginda bertitah demikian pada Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan 1433H/2011M yang bertemakan Persefahaman Asas Perpaduan Ummah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.




Menurut baginda, apabila persefahaman subur di kalangan masyarakat, perselisihan faham akan diselesaikan dengan sikap tolak ansur, sekali gus menjadi titik tolak bagi membentuk perpaduan dalam masyarakat.




Turut hadir Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.



Pengerusi Jawatankuasa Fatwa, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Kebangsaan manakala Menteri Haji Arab Saudi, Dr Fouad Abdul Salaam Al-Farsy, pula dipilih sebagai Tokoh Maal Hijrah peringkat Antarabangsa.




Seri Paduka juga menasihatkan rakyat supaya sentiasa mengamalkan kesederhanaan dengan melaksanakan sesuatu perkara secara berhemah, tidak bertindak melulu dan tidak menzalimi orang lain.




“Rakyat tidak sepatutnya memperbesarkan perselisihan yang kecil sebaliknya menyelesaikannya dengan cara terbaik.




“Sifat mulia seperti sayang menyayangi dan saling hormat-menghormati perlu dipupuk dan diamalkan dari rumah bagi membentuk sebuah masyarakat penyayang, persefahaman yang tinggi, bersatu padu dan mementingkan sifat kekitaan. Kita dididik dan diasuh dengan amalan yang tua dihormati, yang muda dikasihi.




“Beta amat berharap semangat kejiranan dan sifat kekitaan subur semula dalam masyarakat supaya kita dapat menjalani kehidupan harian dengan lebih harmoni dan berkasih sayang.




“Amalan ini akan membentuk sebuah masyarakat penyayang dan mementingkan sifat kekitaan, kerana ia amat penting untuk membentuk persefahaman,” katanya.




Walaupun berpuas hati dengan pencapaian ekonomi negara yang berkembang pesat seiring negara membangun, Tuanku Mizan bimbang dengan keadaan sosialisasi masyarakat yang semakin individualistik.




Titah baginda, budaya bertegur sapa di negara ini mula ditinggalkan dan lebih malang manfaat hidup berjiran juga sudah tidak diendahkan lagi.




“Beta menyeru supaya kita dapat tanamkan dalam hati menyayangi negara seperti menyayangi keluarga sendiri. Konsep ‘Negaraku Rumahku, Rumahku Syurgaku’, perlu kita sematkan dalam diri kita semua sebagai rakyat Malaysia,” katanya









Teruskan membaca..

Janji persembahan terbaik


Kim Swee janji persembahan terbaik



  KIM Swee  (kanan) mengendalikan  sesi latihan persiapan  bertemu  Bahrain di Padang MSN Bukit Jalil, kelmarin.
KIM Swee (kanan) mengendalikan sesi latihan
persiapan bertemu Bahrain
di Padang MSN Bukit Jalil, kelmarin.





Harimau Muda mesti menang untuk hidupkan
impian beraksi di London tahun depan





PERKATAAN rehat bagaikan tidak wujud
dalam kamus Ong Kim Swee, baik ketika
mengendalikan skuad Bawah 23 mahupun Olimpik negara,
tetapi tempoh tiga hari selepas perlawanan
kelayakan Olimpik menentang Syria Rabu
lalu dirasakan cukup bermakna buat
jurulatih 40 tahun itu.





Berita penuh di sini Berita Harian Online



Pertarungan hidup mati


PEMAIN negara gigih berlatih di Stadium Nasional, Bukit Jalil
semalam dalam persiapan menentang Bahrain, hari ini. -
MINGGUAN/DJOHAN SHAHRIN SHAH


PETALING JAYA - Pertemuan menentang Bahrain malam ini ibarat misi 'hidup mati' buat skuad Harimau Muda, tegas jurulatih kebangsaan, Ong Kim Swee. Kita perlu menang jika masih memasang impian untuk beraksi di Sukan Olimpik London tahun depan atau peluang semakin tipis jika tewas buat kali ketiga berurut-turut.



Bagi memastikan tiga mata diraih di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Harimau Muda akan turun dengan menyerang habis-habisan, janji Kim Swee yang turut lega melihat kebanyakan pemain semakin cergas selepas tampak keletihan ketika tumpas 0-2 kepada Syria, Rabu lalu.




Berita penuh di sini Utusan Malaysia






Teruskan membaca..

Saturday, November 26, 2011

Seribu satu sebab untuk menundukkan Bahrain


Juang mati-matian




SKUAD Olimpik negara mempunyai seribu satu sebab untuk menundukkan Bahrain dalam perlawanan getir di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.



Skuad kendalian Ong Kim Swee itu memerlukan kemenangan bagi menghidupkan peluang untuk terus bersaing dalam Kumpulan C Kelayakan Olimpik 2012 Zon Asia.




Namun lebih penting, skuad negara bakal beraksi di laman sendiri untuk perlawanan play-off bagi tiga pasukan kedua terbaik yang dijadual berlangsung pada Mac tahun depan sekiranya berjaya menduduki tempat kedua Kumpulan C. “Saya serta pemain sudah mengetahuinya dan secara tidak langsung ia memberikan motivasi kepada kami untuk berjuang habis-habisan Ahad ini.



“Kami memerlukan tiga mata kerana pasukan yang tewas bakal tersingkir. Selain itu saya harap Jepun mampu menewaskan Syria bagi membolehkan jarak mata bagi pasukan di tempat kedua dan ketiga tidak terlalu jauh,” kata Kim Swee selepas sesi latihan di Bukit Jalil, semalam.




Sekiranya mampu menewaskan Bahrain, skuad negara akan meraih tiga mata selepas tewas pada dua perlawanan sebelum ini dengan Syria dan Jepun yang bertemu sesama sendiri kini mendahului Kumpulan C dengan mengumpul enam mata.




“Kami tidak mempunyai banyak pilihan dan perlu menekankan corak menyerang bagi mendapatkan keputusan yang positif namun pemain diingatkan supaya tidak terlalu ghairah dan ampuh bertahan.



“Strategi yang dirancang perlu betul kerana ini adalah perlawanan penentuan hidup mati dan saya percaya pemain mampu melaksanakannya,” katanya yang turut mengkaji corak permainan lawan semasa Bahrain tewas kepada Syria (1-3) dan Jepun (0-2) baru-baru ini.




Menurut Kim Swee lagi, barisan pemainnya kelihatan sudah pulih daripada kepenatan selepas mempertahankan pingat emas Sukan Sea pada Isnin lalu dan percaya mereka mampu mengulangi persembahan seperti dipamer sewaktu temasya dwi tahunan itu.



Namun pengendali kelahiran Melaka itu berdepan masalah baru apabila pertahanan tengah, Mohd Muslim Ahmad tidak cergas sepenuhnya kerana mengalami kecederaan hamstring dengan Mohammad Amer Saidin menjadi antara pilihan untuk diturunkan.




Dua tonggak utama, Syahrul Azwari Ibrahim dan Ifran Fazail masih belum menjalani latihan sepenuhnya petang semalam dan peluang mereka untuk beraksi Ahad ini juga masih belum pasti.




Tiga pasukan teratas setiap kumpulan layak secara automatik ke London 2012 manakala tiga pasukan di tempat ketiga akan merebut satu tempat untuk bertemu wakil dari Afrika sebelum layak ke temasya sukan terbesar dunia itu.






Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...