
Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Sunday, August 28, 2011
Saturday, August 27, 2011
Warisan
Kemerdekaan negara
bukan sekadar mengibar dan melaungkan slogan merdeka
tetapi perlu dihayati sejarah dan perjuangan golongan silam.
- Gambar hiasan (Utusan Malaysia Online)
:Kemerdekaan dalam semangat Ramadan:
RAMADAN tahun ini melakarkan sejarah yang tersendiri apabila umat Islam di Malaysia menyambutnya serentak bersama dengan bulan kemerdekaan negara.
Walaupun jarang berlaku, ia sangat signifikan kepada umat Islam di Malaysia dalam menilai dan menghayati erti kemerdekaan negara dalam semangat ibadah Ramadan.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (al-Baqarah: 183)
Nilai ketakwaan yang ditawarkan oleh Allah SWT adalah manifestasi daripada kehambaan yang jitu kepada-Nya dalam melaksanakan ibadah puasa Ramadan.
Namun apakah kaitannya dengan nilai dan erti kemerdekaan negara Malaysia? Apakah semangat Ramadan itu mampu diterjemahkan seiring dengan semangat kemerdekaan negara kali ini?
Pastinya Ramadan mempunyai kaitan yang sangat rapat dengan kemerdekaan dalam pelbagai konteks. Ia bermula dengan bagaimana kita sebagai manusia membebaskan diri daripada belenggu penjajahan nafsu dan keinginan diri selama 11 bulan sebelum datangnya bulan Ramadan.
Kemerdekaan dicapai sebaik melangkah ke bulan Ramadan apabila nafsu tersebut dapat ditahan dan dijinakkan dengan amalan dan ibadah yang berterusan.
Segala runtunan nafsu yang selama ini dituruti berjaya dikawal sepanjang Ramadan. Bahkan ditambah dengan amalan-amalan sunat yang berlipat ganda dilakukan demi meraih ganjaran hebat sepanjang bulan berkat ini.
Segalanya dilakukan bagi meraih darjat takwa yang disebutkan oleh Allah SWT.
Kemerdekaan juga diraih dengan kejayaan mengekang sifat bakhil yang ada dalam diri dengan pensyariatan ibadah zakat dan juga galakan bersedekah di sepanjang bulan Ramadan.
Zakat fitrah yang diwajibkan kepada setiap umat Islam tanpa mengira usia menunjukkan betapa perlunya kita sebagai umat Islam menginfaqkan harta yang dimiliki bagi membantu golongan yang memerlukan.
Ini kerana harta adalah milik Allah SWT yang dipinjamkan kepada kita dan sebahagiannya merupakan hak golongan yang memerlukan.
Kewajipan zakat fitrah yang disyariatkan tersebut secara tidak langsung menghapuskan sifat cintakan harta dan mementingkan diri sendiri yang selama ini membelenggu hati manusia.
Sifat bakhil dan kikir di kalangan orang kaya ditundukkan oleh Allah SWT di samping jaminan bantuan kepada golongan yang memerlukan melalui pensyariatan zakat fitrah ini.
Ganjaran yang berlipat ganda juga dijanjikan oleh Allah SWT secara khusus di dalam Ramadan bagi sesiapa yang bersedekah. Ia diterjemahkan sendiri oleh baginda SAW apabila para sahabat mendapati bahawa baginda menjadi seorang yang sangat pemurah di bulan Ramadan berbanding bulan selainnya.
Kemerdekaan yang hakiki sebenarnya tercapai melalui keimanan yang jitu kepada Allah SWT. Keimanan tersebut diterjemahkan dengan pegangan akidah yang mantap yang meyakini bahawa tiada perhambaan sesama manusia.
Perhambaan hanya layak kepada Allah SWT, tuhan yang menciptakan manusia dan Maha Mengetahui apa yang terbaik bagi manusia.
Bertitik tolak dari keyakinan dan keimanan inilah yang menjadi pemangkin kepada gerakan kemerdekaan negara dan akhirnya berjaya mendaulatkan kembali bangsa yang telah dijajah.
Sejarah membuktikan bahawa gerakan awal menentang penjajahan dipelopori oleh golongan agamawan yang meniupkan semangat membebaskan diri dari penjajah.
Tokoh-tokoh pejuang menentang penjajah seperti Datuk Bahaman, Tok Janggut, Dol Said, Mat Kilau dan lain-lain merupakan tokoh agamawan tempatan yang berani menyatakan kebenaran dan berjuang menentang penjajahan berpaksikan ajaran Islam.
Mereka berpegang kepada paksi agama yang tegas menentang penghambaan dan penjajahan sesama manusia kerana jelas menzalimi golongan yang dijajah.
Intipati ayat kelima surah al-Fatihah difahami dengan sebaiknya oleh para pejuang kemerdekaan. Ayat tersebut menegaskan bahawa: Engkaulah sahaja (Ya Allah) yang kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan, dan bukan selain-Nya.
Pastinya Ramadan yang dilalui sepanjang proses menentang penjajahan tersebut menjadi pemangkin kepada penambahan kekuatan dan semangat mereka.
Ia dijadikan bulan mempersiapkan kekuatan dengan bermunajat kepada Allah, merintih dan memohon pertolongan daripada-Nya serta menjadi medan latihan bagi menghadapi dugaan dan cabaran sepanjang menempuhi perjuangan menentang penjajahan.
Lantaran daripada kesedaran agama tersebut, gerakan menentang penjajah diatur agar keadilan yang diwajibkan oleh Islam dapat dilaksanakan serta ditegakkan.
Rentetan daripada siri-siri penentangan penjajahan yang dimulakan oleh golongan agamawan ini diteruskan sehingga akhirnya negara kita berjaya memperoleh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.
Kini, setelah hampir 54 tahun kita mencapai kemerdekaan, ia seolah-olah tidak dihargai lagi. Kemerdekaan yang dikecapi suatu ketika dahulu hasil pembebasan daripada penjajahan nafsu yang membelenggu diri, pembebasan diri dari semangat pentingkan diri kepada rela berkorban dan akhirnya memangkin kepada penentangan penjajahan sesama manusia, dilihat tidak wujud lagi.
Pengorbanan, kesusahan dan penat lelah para pejuang kemerdekaan seakan tidak dihargai apabila kita gagal menyelami dan memahami perjuangan mereka. Ucapan kemerdekaan hanya meniti di bibir namun gagal dihayati hikmah dan pengajaran di sebaliknya.
Ramadan kali ini seharusnya menjadi pemangkin kepada umat Islam di Malaysia menghayati kembali semangat kemerdekaan negara dalam konteks ibadah Ramadan.
Ini bermaksud, umat Islam di Malaysia harus bersemangat menghargai dan menyambut kemerdekaan negara di dalam suasana keghairahan melaksanakan ibadah kepada Allah SWT di bulan yang penuh berkat ini.
Ia seiring dengan arahan Allah SWT supaya membebaskan diri daripada segala bentuk penjajahan sama ada secara fizikal mahupun spiritual yang negatif. Malahan sangat bertepatan dengan perjalanan sirah baginda SAW.
Baginda dan para sahabat sentiasa cuba membebaskan diri daripada belenggu penjajahan sama ada secara fizikal iaitu melalui peperangan dan juga spiritual iaitu melalui solat, puasa dan juga pelbagai amal ibadah yang lain yang dilaksanakan dengan berterusan dan bersungguh-sungguh.
Marilah kita bersama menghargai kemerdekaan yang dikecapi dengan mengambil pengajaran dan iktibar di sebalik perjuangan menentang penjajahan tersebut.
Ditambah dengan semangat ibadah Ramadan yang penuh berkat, mudah-mudahan seluruh umat Islam di Malaysia sentiasa istiqamah dalam perjuangan membebaskan diri daripada penjajahan nafsu dan syaitan serta memahami serta mendalami makna dan hikmah di sebalik kemerdekaan negara.
Monday, August 22, 2011
Merdeka Negaraku

NEGARAKU TERBILANG
Tatkala aku menggagahi diri membelah kotaraya,
Aku mendongak melihat tiang-tiang seri mencecah awan,
Rasa bangga bangsa menyala-nyala di dada,
jauh sudah rupanya negaraku mengembara.
Fikiran menggugah zaman remajaku,
Zaman tiada gerbang, tiada simbol pencakar langit,
Yang ada hanya siulan burung di bendang,
Tapi disana kaya kemanusiaan,
Kaya keampunan dan kasih sayang,
Kaya tangan menghulur bantuan,
Di tengah ribuan wira tak didendang.
Di luar sempadan ada cabaran,
Dunia semakin deras bergelora,
Yang cepat mendapat habuan luar biasa,
Yang lambat mendapat sisa-sisa,
Kita memilih sederhana daripada yang mutlak,
Pelbagai daripada yang menyendiri,
Percaya daripada mencurigai,
Bersama daripada menguasai,
Ke hadapan dengan acuan kita sendiri,
Yang diwarisi tidak berkurang,
Yang dijaga tidak susut.
Di sini di bumi ini,
Kita sulam pencakar langit dengan jernih susu kemanusiaan,
Anyamkan cita-cita Alfred Nobel dengan puisi Jalaludin Rumi
Bajai kembang kemboja keamanan pada kubur rakusnya perang,
Tiupkan serunai budaya cinta merentas sempadan,
Sambil memacak panji-panji di puncak khairuummah
Cemerlang, gemilang dan terbilang.
Oleh:-
DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI
(Sajak ini dideklamasikan pada
Pesta Puisi Patriotik Ke-5,
29 Ogos 2004
Sunken Garden, Putrajaya.)
Iklan Merdeka Petronas
Sunday, August 21, 2011
Runtuhnya Ramadan dilanda tsunami Aidilfitri
Runtuhnya Ramadan dilanda
tsunami Aidilfitri

HARI ini 21 Ramadan 1432 Hijrah. Sudah masuk 10 hari terakhir umat Islam di Malaysia berpuasa. Jika diibaratkan berlumba lari, kita kena memecut lebih laju untuk sampai dulu ke garisan penamat dan muncul juara.
Laju yang dimaksudkan ialah meningkatkan amal ibadat tambahan sama ada memperbanyakkan membaca dan menghafal al- Quran, bersedekah, solat sunat malam (tarawih, tahajud, tasbih). Rasulullah SAW beriktikaf di masjid pada 10 hari terakhir Ramadan dan menjauhkan diri daripada menggauli isteri-isteri baginda.
Di Malaysia, adakah kita umat Islam meningkatkan ibadat pada 10 akhir berpuasa sebagaimana Rasulullah? Atau sudah masuk ke gear rendah dan memperlahankan amal pengabdian kepada Allah SWT?
Semua orang tahu jawapannya. Inilah masanya persiapan untuk menyambut Aidilfitri bertambah ligat. Gedung membeli-belah semakin penuh sendat. Jalan-jalan raya di pusat bandar besar semakin sesak. Bunyi mercun dan bunga api semakin gempita. Kerap kali ledakan mercun bola berhampiran surau memusnahkan kekhusyukkan jemaah yang sedang bersolat tarawih.
Sesungguhnya keghairahan mengimarahkan Ramadan yang amat ketara pada dua minggu pertama mulai lesu apabila Syawal semakin hampir. Lagu-lagu Aidilfitri yang berkumandang di radio dan di pusat-pusat beli-belah turut melonjakkan nafsu untuk beraya dan mengendurkan semangat beribadat yang begitu kental pada awal Ramadan.
Tambahan pula gaji awal dan bonus baru diperoleh. Makin ligatlah otak dan nafsu mencongak jumlah barang yang hendak dibeli. Bukan sekadar kuih-muih, pakaian dan gajet baru, malah ramai juga yang mengintai iklan-iklan kereta untuk pulang ke kampung dengan mobil baru yang mempamerkan peningkatan karier dan kejayaan hidup di kota.
Masing-masing juga telah lama meneliti kalendar, menghitung hari cuti yang layak dipohon. Kerani-kerani yang menjaga rekod cuti juga semakin sibuk melayani permohonan yang bertambah. Bos-bos yang tidak mengatur jadual cuti raya kakitangan mengikut giliran akan pening berhadapan dengan kerenah orang-orang bawah berebut cuti. Yang rambut beruban pun boleh bertukar perangai bagaikan kanak-kanak, sanggup bergaduh kerana berebut cuti.
Berapa orangkah yang memohon cuti untuk memberikan lebih tumpuan kepada ibadat pada 10 hari terakhir Ramadan?
Tahap kesabaran juga mulai menurun bersama kehampiran Syawal. Bukan sahaja di jalan raya dan gedung beli-belah, malah di masjid juga terserlah perangai sebenar kebanyakan anak Adam.
Barisan saf jemaah solat tarawih mulai menipis. Imam-imam yang memimpin solat juga semakin kerap terlupa ayat al-Quran yang dibaca. Ramai juga yang mempercepatkan bacaan dan pergerakan solat tanpa mengambil kira kecergasan orang-orang tua yang menjadi jemaah setia.
Bersahutan
Makcik-makcik yang bertadarus juga mulai menggesa rakan-rakan mempercepatkan bacaan al-Quran supaya lebih lekas khatam. Ada juga yang mengingatkan rakan-rakan tadarus tentang kumpulan-kumpulan lain yang telah jauh meninggalkan mereka dengan menghabiskan lebih banyak juz. Ketergesaan mengambil tempat kesabaran.
Suasana syahdu menjelang subuh dengan suara-suara merdu bacaan Quran dan tahmid saling bersahutan melalui pembesar suara juga turut lesu bersama tsunami menjelang Aidilfitri. Ada kalanya kita terpaksa menengok jam untuk mendapatkan kepastian tentang waktu subuh kerana mikrofon di masjid dan surau masih membisu walaupun waktu imsak semakin hampir.
Aneh sungguh perangai manusia. Hendak dikatakan pengaruh syaitan, Rasulullah telah menegaskan bahawa syaitan-syaitan dirantai pada bulan Ramadan.
Bukan sahaja syaitan-syaitan di rantai, malah Allah SWT telah menyediakan insentif paling istimewa pada 10 akhir Ramadan, iaitu Lailatul Qadar atau malam penuh kemuliaan.
Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan. - Al Qadr 97: 1,2 dan 3
Diriwayatkan oleh Ibn Khuzaimah dari Salman bahawa Rasulullah SAW pada hari terakhir bulan Syaaban berkhutbah di hadapan para sahabat yang bermaksud:
Wahai manusia, sesungguhnya kmu akan dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasaNya suatu fardu dan qiyam di malam harinya suatu tathauwu'. Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa menunaikan suatu fardu di bulan Ramadan, samalah dia dengan orang yang mengerjakan 70 fardu di bulan yang lain.
Ramadan itu adalah bulan sabar sedangkan sabar itu, pahalanya adalah syurga. Ramadan itu adalah bulan memberikan pertolongan dan bulan Allah menambah rezeki para mukmin. Sesiapa memberi makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, adalah yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya daripada neraka. Orang yang memberikan makanan berbuka puasa, baginya pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa, tanpa sedikitpun berkurang (pahala yang berpuasa).
Betapa keghairahan persiapan untuk menyambut Aidilfitri telah mengenepikan 'bonus besar' yang sepatutnya diperoleh setiap jiwa yang beriman di bulan Ramadan.
Aidilfitri pertama yang berlangsung pada 1 Syawal tahun 2 Hijrah bergema dengan takbir di seluruh Madinah bagi merayakan kemenangan tentera Islam pimpinan Rasulullah di Perang Badar. Pada hari-hari Aidilfitri seterusnya, takbir dilaungkan tanda kesyukuran atas kemenangan dalam jihad melawan hawa nafsu pada bulan Ramadan.
Malangnya pada hari ini, ramai umat Islam terlebih tumpu kepada persiapan untuk menyambut Aidilfitri. Anehnya peperangan melawan hawa nafsu belum habis, kita lebih sibuk dengan persiapan untuk kononnya merayakan hari kemenangan.
Kemenangan apa jika jihad perjuangan sudah kendur pada hari-hari terakhir Ramadan? Ibarat berlumba lari, kita memperlahankan langkah ketika hendak sampai ke garisan penamat setelah begitu pantas memecut pada awal perlumbaan.
Inilah fenomena umat Islam di Malaysia pada hari ini. Puasa sebulan, beraya pun sebulan. Hadiah kemenangan yang hakiki berupa rahmat dan keampunan daripada Allah belum tentu dapat, tetapi yang bertambah subur ialah nafsu yang dibajai untuk menyambut Aidilfitri.
Dan turut memeriahkan sambutan ialah budaya yang tidak kena mengena dengan syariat agama. Lagu-lagu raya berkumandang lebih lantang daripada bacaan ayat-ayat suci al-Quran. Bunyi mercun menjelang Aidilfitri lebih hebat daripada gema takbir. Pemberian 'angpau' seolah-olah jadi suatu perkara yang wajib.
Astaghfirullah! Marilah kita kembali kepada landasan yang betul. Berlari kencanglah dari awal hingga ke garisan penamat Ramadan. Pasti kita akan merasai betapa syahdunya takbir di ambang Aidilfitri. Hancur luluh jiwa dan perasaan melaungkan takbir mengagungkan nama Allah Yang Maha Agung. Itulah tanda kemenangan sejati.
Wednesday, August 10, 2011
DOKUMEN STANDARD KURIKULUM KSSR TAHUN 2 KEGUNAAN 2012
- Bahasa Arab
- Pendidikan Islam
- Bahasa Malaysia
- Bahasa Inggeris
- Matematik
- Pendidikan Jasmani
- Pendidikan Kesihatan
- Pendidikan Moral
- Dunia Seni Visual
- Dunia Seni Muzik
- Dunia Sains & Teknologi
- Elemen Merentas Kurikulum (Edisi Kemaskini)
- Bahan Taklimat KSSR Tahun 2 Kegunaan 2012

Tuesday, August 9, 2011
Berhati-hati Turun Naik Kenderaan
Seorang gadis bernama Anhui mengalami nasib malang apabila kepalanya tersepit pada pintu bas ketika mahu turun di satu perhentian bas di bandar Maanshan, wilayah Anhui, China.
Wanita ini betul-betul malang gara-gara pemandu bas. Apa tidaknya…belum pun sempat gadis ini turun pemandu telah menutup pintu bas tersebut. Akibatnya kepala perempuan itu tersepit pintu, sementara badannya masih di dalam bas.
Namun nasibnya sedikit beruntung bila ada seorang penumpang yang menyedari hal itu dan meminta pemandu berhenti dan membuka pintu.
Berhenti saja dan pintu terbuka, perempuan itu turun sambil memicit lehernya yang sakit.
Ia berlalu begitu saja tanpa memprotes kepada pemandu yang mungkin disebabkan malu atau mungkin ada urat marah yang tak berfungsi disebabkan sepitan pintu bas itu.
Justeru itu , berhati-hati selalu!
Sunday, August 7, 2011
Saturday, July 30, 2011
Khutbah Rasulullah S.A.W. Menyambut Ramadhan
Khutbah Rasulullah S.A.W. Menyambut Ramadhan
Berikut ini wasiat Baginda Rasulullah saw. pada malam terakhir bulan Sya'ban, dalam khutbah Beliau saat menyambut datangnya bulan Ramadhan:
"Wahai manusia!
Sungguh telah datang kepada kalian bulan Allah yang membawa berkah, rahmat dan maghfirah. Bulan yang paling mulia di sisi Allah. Hari-harinya paling utama. Malam-malamnya paling utama. Detik demi detiknya paling utama. Inilah bulan di mana kalian diundang menjadi tetamu Allah dan dimuliakan oleh-Nya.
Pada bulan ini nafas-nafas kalian menjadi tasbih, tidur kalian ibadah, amal-amal kalian diterima dan doa-doa kalian dikabulkan. Mohonlah kepada Allah, Tuhan kalian, dengan niat yang tulus dan hati yang suci agar Dia membimbing kalian untuk melakukan puasa dan membaca Kitab-Nya. Celakalah orang yang tidak mendapat ampunan Allah pada bulan agung ini.
Bersedekahlah kepada kaum fakir dan miskin. Muliakanlah orang tua. Sayangilah yang muda. Sambungkanlah tali persaudaraan. Jagalah lidah. Tahanlah pandangan dari apa yang tidak halal untuk kalian pandang. Peliharalah pendengaran dari apa yang tidak halal untuk kalian dengar.
Bertaubatlah kepada Allah dari dosa-dosa. Angkatlah tangan-tangan kalian untuk berdoa pada waktu solat. Itulah saat-saat yang paling utama ketika Allah 'Azza wa Jalla memandang hamba-hamba-Nya dengan penuh kasih. Dia menyahut mereka ketika mereka menyeru-Nya, menyahut mereka ketika mereka memanggil-Nya dan mengabulkan doa-doa mereka ketika mereka berdoa kepada-Nya.
Wahai manusia!
Sesungguhnya diri kalian tergadai kerana amal-amal kalian. Oleh kerana itu, bebaskanlah dengan beristighfar. Belakang-belakang kalian berat kerana beban (dosa). Maka dari itu, ringankanlah dengan memperpanjangkan sujud.
Ketahuilah! Allah SWT bersumpah dengan segala kebesaran-Nya, bahawa Dia tidak akan mengazab orang-orang yang solat dan sujud, dan tidak akan mengancam mereka dengan neraka pada hari manusia berdiri di hadapan-Nya.
Wahai manusia!
Siapa saja di antara kalian memberi makan (untuk berbuka puasa) kepada orang-orang Mukmin yang berpuasa pada bulan ini, maka di sisi Allah nilainya sama dengan membebaskan seorang hamba dan diberi ampunan atas dosa-dosa yang lalu.
Jagalah diri kalian dari api neraka walaupun hanya dengan sebiji kurma. Jagalah diri kalian dari api neraka walaupun hanya dengan seteguk air.
Wahai manusia!
Siapa yang memperbaiki akhlaknya pada bulan ini, ia akan berhasil melalui sirath al-mustaqim pada hari ketika kaki-kaki tergelincir. Siapa yang meringankan pekerjaan orang-orang yang dimiliki tangan kanannya (pegawai atau pembantu) pada bulan ini, Allah akan meringankan persoalan-Nya pada Hari Kiamat. Siapa saja yang menahan keburukannya pada bulan ini, Allah akan menahan murka-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.
Siapa sahaja yang memuliakan anak yatim pada bulan ini, Allah akan memuliakannya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa saja yang menyambungkan tali silaturahmi pada bulan ini, Allah akan menghubungkannya dengan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya. Siapa saja yang memutuskan kekeluargaan di bulan ini, Allah akan memutuskan rahmat-Nya pada hari ia berjumpa dengan-Nya.
Siapa saja yang melakukan solat sunat pada bulan ini, Allah akan mencatatkan baginya kebebasan dari api neraka. Siapa saja yang melakukan solat fardhu, baginya pahala seperti melakukan 70 solat fardhu pada bulan lain. Siapa saja yang memperbanyak selawat kepadaku pada bulan ini, Allah akan memberatkan timbangannya pada hari ketika timbangannya ringan. Siapa saja pada bulan ini membaca satu ayat al-Quran, pahalanya sama seperti mengkhatamkan al-Quran pada bulan-bulan yang lain.
Wahai manusia!
Sesungguhnya pintu-pintu syurga dibukakan bagi kalian. Kerana itu, mintalah kepada Tuhan kalian agar tidak pernah menutupkannya bagi kalian. Sesungguhnya pintu-pintu neraka tertutup. Kerana itu, mohonlah kepada Tuhan kalian untuk tidak akan pernah membukakannya bagi kalian. Sesungguhnya syaitan-syaitan terbelenggu. Kerana itu, mintalah agar mereka tak lagi pernah menguasai kalian.
Wahai manusia!
Sesungguhnya kalian akan dinaungi oleh bulan yang senantiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Bulan yang mana Allah telah menjadikan puasanya suatu kefardhuan, dan qiyam pada malam harinya suatu tathawwu'.
Siapa saja yang mendekatkan diri kepada Allah dengan suatu amal kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan satu kefardhuan di dalam bulan yang lain.
Ramadhan itu adalah bulan sabar, sedangkan sabar itu adalah pahalanya syurga. Ramadhan itu adalah bulan memberi pertolongan dan bulan Allah memberikan rezeki kepada Mukmin di dalamnya.
Siapa saja yang memberikan makanan berbuka kepada seseorang yang berpuasa, yang demikian itu merupakan pengampunan bagi dosanya dan kemerdekaan dirinya dari neraka. Orang yang memberikan makanan itu memperoleh pahala seperti orang yang berpuasa tanpa sedikit pun berkurang.
Inilah bulan yang permulaannya rahmat, pertengahannya ampunan dan akhirnya pembebasan dari neraka. Siapa saja yang meringankan beban dari hamba sahaya, nescaya Allah mengampuni dosanya dan memerdekakannya dari neraka.
Kerana itu, perbanyakkanlah empat perkara pada bulan Ramadhan: dua perkara untuk mendatangkan keredhaan Tuhan kalian, dua perkara lagi yang sangat kalian perlukan. Dua perkara yang pertama ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tidak ada Tuhan selain Allah dan mohon ampunan kepada-Nya. Dua perkara yang sangat kalian perlukan ialah memohon syurga dan perlindungan dari neraka.
Siapa saja yang memberi minum kepada orang yang berbuka puasa, nescaya Allah memberi minum kepadanya dari air kolam-Nya, dengan suatu minuman yang dia tidak merasakan haus lagi sesudahnya, sehingga dia masuk ke dalam syurga."
[HR Ibnu Khuzaimah]
p/s : Selamat Menyambut Ramadhan.
Semoga kita sentiasa mendapat keberkatanNya.
Amin Ya Rabbal Alamin.
Sunday, July 10, 2011
Jom make-up!

KAU BERSIHKANLAH..
KAU SUCIKANLAH......HATIKU
DARIPADA KEMUNAFIKAN
DAN SUCIKANLAH AMALKU
DARIPADA RIYA'.
SUCIKANLAH LIDAHKU
DARIPADA BERDUSTA
DAN MATAKU
DARIPADA KHIANAT
KERANA SESUNGGUHNYA
ENGKAU YANG MAHA MENGETAHUI
(PANDANGAN) MATA YANG KHIANAT
DAN..
APA YANG DISEMBUNYIKAN
OLEH HATI.

Jadikanlah Ghadhul Bashar
( menundukkan pandangan )sebagai
"hiasan mata" ,
nescaya akan semakin
bening dan jernih.
Sapulah "lipstik kejujuran" pada bibir ,
nescaya akan
semakin manis.
Gunakanlah "pemerah pipi"
dengan kosmetik yang diperbuat
dari rasa malu dari bahan iman.
Pakailah "sabun istighfar"
yang menghilangkan
semua dosa dan kesalahan
yang telah dilakukan.
Rawatlah rambut
dengan "jilbab Islami"
yang akan
menghilangkan pandangan lelaki
yang membahayakan.
Hiasilah kedua tangan
dengan gelang "tawadhuk"
dan jari-jari
dengan cincin "ukhwah".
Sebaik-baik kalung
adalah kalung "kesucian".
Bedakilah wajah
dengan "air wuduk" ,
nescaya..
akan bercahaya
di akhirat.