Venezuela
Sungai Tugela, Afrika Selatan.
merupakan air terjun glasier.
di sungai Mutarazi
Terletak di Taman Nasional Yosemite,
California, USA
Norwegia, di sungai Opo
di jeram Mardals
Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
BULAN SYA'BAN :
Persediaan Di Ambang Ramadhan
Setiap bulan dalam sepanjang tahun mengikut kiraan taqwim Hijriyyah mempunyai kelebihan tertentu dan keistimewaan beribadat di dalamnya. Sesungguhnya Allah Subhanahu wa Ta‘ala menciptakan hari atau bulan itu ada yang baik dan ada yang lebih baik. Sebagaimana yang disebutkan oleh hadis Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam mengenai kelebihan bulan Muharram, Rejab, Sya‘ban, Ramadhan, Syawal dan Zulhijjah sebagai bulan-bulan yang istimewa. Begitu juga dengan hari-hari tertentu seperti Juma‘at, Khamis dan Isnin mempunyai pelbagai fadhilat.
Bulan Sya‘ban Dan Galakkan Beribadat Di Dalamnya
Sekarang kita berada di bulan Sya‘ban. Bulan Sya‘ban juga mempunyai keistimewaan tersendiri di dalam Islam. Keadaan ini samalah juga dengan bulan-bulan yang lain yang mempunyai fadhilat tersendiri, sehingga menyebabkan kehadirannya sentiasa ditunggu-tunggu oleh mereka yang ahli ibadat sebagai masa mengaut pahala.
Bulan Sya‘ban adalah antara bulan yang paling dicintai oleh Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam di mana Baginda Shallallahu ‘alaihi wasallam akan lebih banyak berpuasa di bulan ini. Pernah diriwayatkan bahawa Baginda tidak pernah berpuasa sunat dalam sebulan, lebih banyak daripada puasanya di bulan Sya‘ban.
Dalam makna yang lain Baginda Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam memperbanyakkan puasa sunat di bulan Sya‘ban dibandingkan bulan-bulan yang lain. Oleh kerana itu amatlah dituntut bagi umat Islam mencontohi apa yang dilakukan oleh Baginda itu kerana selain memperbanyak amal kebajikan di bulan ini, ia juga merupakan suatu latihan rohani ke arah mempersiapkan diri menyambut kedatangan bulan Ramadhan.
Amalan-Amalan Sunat Pada Bulan Sya‘ban
Keistimewaan bulan ini bahawa amalan seluruh manusia diangkat untuk dihadapkan kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala, maka sewajarnyalah sepanjang bulan ini diisikan dengan amal ibadah dan kebajikan. Maka antara amalan yang digalakkan pada bulan Sya‘ban adalah:
1. Memperbanyak puasa sunat.
Bahawa Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam lebih gemar berpuasa sunat dalam bulan Sya‘ban berbanding dengan bulan-bulan yang lain.
2. Bertaubat dan beristiqhfar
Taubat ialah pembersihan rohani kerana taubat itu menjadi tuntutan dalam agama supaya setiap diri individu yang sememangnya tidak ma‘shum ini melakukan taubat pada setiap masa dan ketika. Tegasnya hukum taubat itu adalah wajib dari segi syara‘. Walau bagaimanapun sebenar-benar taubat itu ialah yang dikatakan taubat nasuha.
Taubat nasuha tidak akan tercapai tanpa mendatangkan terlebih dahulu syarat-syarat yang ditentukan. Umpamanya jika dosa itu antara hamba dengan Tuhan:
1. Hendaklah dia meninggalkan dosa atau maksiat itu.
2. Hendaklah dia benar-benar menyesali dan merasa dukacita atas perbuatan maksiatnya itu.
3. Hendaklah dia berjanji dan berazam untuk tidak akan kembali mengulangi melakukannya.
Manakala jika dosa itu bersangkut paut dengan hak orang lain, maka selain syarat-syarat sebagaimana yang disebutkan di atas, ditambah lagi satu syarat iaitu hendaklah membersihkan dirinya daripada hak orang itu atau orang yang melakukan dosa itu memohon maaf kepada orang berkenaan.
Selain daripada itu, peranan taubat itu sendiri tidak terhenti setakat membersihkan diri daripada segala dosa dan maksiat. Lebih daripada itu ia juga merupakan suatu cara untuk kita sentiasa berlindung diri kepada Allah subhanahu wa Ta‘ala memohon keberkatan ketika kita memulakan dan membuat sesuatu pekerjaan yang berfaedah dan mengharapkan kurnia, taufiq serta diselamatkan daripada ditimpa musibah, kesusahan, kesulitan dan sebagainya.
Adapun istighfar itu pula ialah pernyataan memohon ampun kepada Allah daripada semua dosa. Lafaz istighfar itu di antaranya ialah bererti:
“Aku memohon ampun kepada Allah yang Maha Agung”.
3. Memperbanyak zikir dan berdoa
Zikir ialah ucapan yang dilakukan dengan lidah atau mengingati Allah dengan hati, dengan ucapan atau ingatan yang mempersucikan Allah dan membersihkanNya dari sifat-sifat yang tidak layak untukNya.
Terdapat banyak ayat al-Qur'an dan hadis yang memerintahkan agar manusia mengambil berat tentang zikir. Banyak faedah yang diperolehi hasil daripada berzikir.
Antaranya ialah:
i. Menenangkan hati:
Ini bersesuaian dengan janji Allah Subhanahu wa Ta‘ala bahawa orang-orang yang beriman itu tenang hati mereka dengan zikrullah. Ini kerana berzikir (mengingati Allah) itu mententeramkan hati manusia.
ii. Kawalan Diri dan Perlindungan Malaikat:
Seseorang itu merasa terkawal kerana Allah sentiasa menyertainya di mana sahaja dia berada. Akibatnya paling minima dia takut hendak berbuat maksiat dan bersedia pula untuk melakukan ketaatan.
Bahkan dia juga mendapat kawalan sepenuhnya daripada malaikat. Bagi orang yang sekadar duduk di majlis zikir sekalipun tidak bersama berzikir akan mendapat juga rahmat Allah dan kawalan malaikat.
iii. Terpelihara Daripada Godaan dan Pujukan Syaitan.
iv. Meningkatkan Rasa Kecintaan Kepada Allah:
Untuk meningkatkan kecintaan kepada Allah, mestilah memahami dan menghayati bacaan tasbih, doa dan istighfar yang diucapkan itu.
اللهم بارك لنا في رجب وشعبان وبلغّنا رمضان
"Allahuma Bariklana
fi rajab wa syaaban wa ballighna Ramadan"
Maksudnya:
"Ya Allah Ya Tuhan kami,
anugerahkanlah keberkatan untuk kami
pada Rejab dan Syaaban,
dan sampaikanlah kami Ya Allah
hingga Ramadan
(yakni panjangkan umur kami Ya Allah
sehingga kami dapat
bertemu dengan Ramadan)."
1 MURID 1 SUKAN
SEMARAKKAN 1 MURID 1 SUKAN
BERSATU KITA WUJUDKAN PERPADUAN
TINGKATKAN KECEMERLANGAN
1 BANGSA MALAYSIA
BERDISPLIN BERSUKAN
MENINGKATKAN IMEJ NEGARA
MELAHIRKAN BANGSA SIHAT 1 MALAYSIA
DEMI MENCAPAI WAWASAN NEGARA
SEMARAKKAN 1 MURID 1 SUKAN
MENJADI CONTOH PELAJAR TERBILANG
PENINGKATAN ILMU DAN BERAMAL
1 MURID 1 SUKAN TERUS CEMERLANG
AMALKAN SEMANGAT KESUKANAN
TINGKATKAN MUTU SUKAN MALAYSIA
SEMANGAT SETIAKAWAN AMALAN KITA
SEMOGA RAKYAT MAKMUR SEJAHTERA MALAYSIA
BERDISPLIN BERSUKAN
MENINGKATKAN IMEJ NEGARA
MELAHIRKAN BANGSA SIHAT 1 MALAYSIA
DEMI MENCAPAI WAWASAN NEGARA
SEMARAKKAN 1 MURID 1 SUKAN
MENJADI CONTOH PELAJAR TERBILANG
PENINGKATAN ILMU DAN BERAMAL
1 MURID 1 SUKAN
TERUS CEMERLANG
KITA JAYAKAN
CIPTAAN: ABDUL RAZAK ABD RAHMAN
Nada : Bb MAJOR
Tempo : 120
Rentak March
Durasi : 2.06 saat
GANGGUAN HIPERAKTIVITI ATAU KURANG TUMPUAN
Memahami dan membantu kanak-kanak
yang mengalami masalah ADHD
Apakah itu "ADHD"?
Selalunya ibubapa dan guru-guru menggambarkan kanak-kanak yang mudah terangsang, lasak atau tidak mendengar cakap ini sebagai hiperaktif. Istilah gangguan hiperaktif atau kurang tumpuan (ADD) digunakan oleh profesional dalam bidang perubatan untuk menggambarkan masalah yang lebih serius dan berpanjangan pada kanak-kanak.
Gangguan kurang tumpuan (ADD) tanpa hiperaktiviti (terutama sekali jenis yang tidak memberi perhatian penuh) adalah subkategori kepada ADHD. Biasanya, kanak-kanak dalam golongan ini kurang memberi perhatian penuh dan tumpuan mudah terganggu. Adalah dikatakan bahawa ADD tanpa hiperaktiviti kerapkali tidak didiagnosa dengan tepat. Gangguan hiperkinetik merupakan satu lagi istilah yang digunakan untuk menggambarkan ADHD.
Dikatakan 1 daripada 25 kanak-kanak mengalami masalah ADHD dan diandaikan ADHD dialami oleh sekurang-kurangnya seorang kanak-kanak di setiap bilik darjah. ADHD lebih kerap didiagnosa pada kanak-kanak lelaki berbanding dengan kanak-kanak perempuan. Ini mungkin berlaku kerana ADD tanpa hiperaktiviti lebih berpengaruh dalam diri kanak-kanak perempuan dan tidak didiagnosa dengan tepat.
Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami gangguan ini hanya mendapat bantuan pada usia 6-9 tahun walaupun kebanyakan ibu bapa menegaskan masalah yang dihadapi anak mereka mula dikesan pada usia yang lebih muda. ADHD dianggap sebagai penyakit yang akan kekal sepanjang hayat dan sedikit sebanyak dibawa ke alam dewasa.
Apakah tanda-tanda ADHD?
Kanak-kanak ADHD haruslah menunjukkan tingkahlaku yang terdapat dalam tiga kategori utama yang sering berlaku dalam beberapa persekitaran seperti di rumah, di sekolah dan sebagainya :-
1. Hiperaktiviti
Kerap menggerak tangan atau kaki atau menggeliang-geliut di tempat duduk
Selalu meninggalkan tempat duduk ketika di kelas
Selalu berlari ke sana ke mari atau suka memanjat dan pada kebanyakan masa kelihatan kekok
Kerap menghadapi masalah untuk bermain atau melakukan aktiviti riadah secara senyap
Selalu banyak bercakap
Sering bergerak cergas atau kerap bertindak seolah-olah “digerakkan oleh motor”
2. Tempoh tumpuan yang singkat
Sering gagal memberi tumpuan yang teliti kepada butir-butir terperinci atau cuai serta membuat kesilapan semasa membuat kerja sekolah atau aktiviti-aktiviti lain
Selalu tidak mematuhi arahan dan gagal menyiapkan kerja sekolah, kerja harian atau tugas
Kerap mengalami masalah untuk mengatur tugas dan aktiviti-aktiviti
Kerap mengelak, tidak suka atau keberatan hendak melakukan sesuatu tugas yang memerlukan tumpuan yang lama (seperti kerja sekolah atau kerja rumah)
Selelu kehilangan barang (misalnya pensil, pemadam, buku atau tugasan sekolah, mainan dan sebagainya)
Tumpuan mudah bertukar dari satu aktiviti ke satu aktiviti lain
Mudah pelupa walaupun tidak sepaatutnya jika mengikut usia dan keupayaan.
3. Tingkah laku impulsif
Selalu memberi jawapan sebelum soalan lengkap diajukan
Kurang sabar dan hadapi masalah ketika menunggu giliran
Sering mengganggu atau mencelah perbualan atau aktiviti orang lain
Sering membuat pertimbangan yang salah dan mudah mengalami kemalangan
Apabila anak anda gagal mencapai kejayaan yang cemerlang di sekolah atau tidak pandai berinteraksi sesama rakannya, mungkin ini menandakan anak anda menghadapi masalah tingkahlaku hiperaktiviti.
Kerapkali kanak-kanak yang hiperaktif dianggap sebagai nakal atau jahat. Walaupun kanak-kanak ada kalanya menunjukkan tingkahlaku yang terlalu aktif atau lasak, ibubapa harus berhati-hati agar tidak tersilap membuat andaian dan menganggap anak mereka hiperaktif. Semangat berkobar-kobar, bertindak mengikut gerak hati dan suka bergurau dianggap normal. Tetapi semuanya bergantung kepada usia dan tahap pertumbuhan mereka. Jika anda ragu-ragu, rujuklah doktor anda untuk penilaian selanjutnya.
Bolehkah gangguan lain mengiringi ADHD?
ADHD sukar hendak didiagnosa kerana ADHD kerap disertai dengan masalah-masalah lain.
Gangguan perkembangan seperti kelewatan pertumbuhan global (misalnya kerencatan mental) atau gangguan spektrum autistik.
Kesukaran pembelajaran secara khusus iaitu kanak-kanak menghadapi masalah untuk menguasai bahasa atau kemahiran akademik yang tertentu misalnya membaca dan matematik.
Masalah emosional dan tingkah laku; orang lain mungkin akan menganggap kanak-kanak ini sebagai kanak-kanak yang terganggu emosinya. Pada hakikatnya, kanak-kanak itu sendiri sentiasa bergelumang dengan kekecewaan dan terpaksa meluahkan emosi mereka.
Masalah ADHD :
Masalah sosial. Mereka kerap disisihkan dan tidak dihiraukan oleh rakan-rakan sebaya. Mereka juga kerap berdepan dengan masalah akademik.
Masalah keluarga. Kanak-kanak ini kerap menimbulkan masalah kepada mereka yang tinggal serumah dengan mereka atau mereka yang berinteraksi dengannya sehingga menimbulkan kedaan tegang. Ibu bapa sering salahkan diri kerana tingkah laku anak-anak mereka. Beban rasa salah ini boleh menjadi ringan jika ibu bapa memahami keadaan sebenar yang dialami oleh anak mereka.
Apakah yang boleh disalah tafsir sebagai ADHD?
Pencapaian akademik rendah yang disebabkan masalah pembelajaran yang lain
Kurang daya tumpuan kerana epilepsi atau sawan jenis “petit mal”
Infeksi atau jangkitan telinga yang menjejaskan pendengaran sesekali
Suka memusnahkan barang atau tidak responsif akibat keresahan atau kemurungan
Menghadapi masalah di rumah.
Punca ADHD
Tiada siapa tahu apakah punca ADHD. Punca ADHD tidak dapat dikenal pasti dengan tepat kerana terdapat terlalu banyak kemungkinan. Yang pasti ADHD bukan disebabkan oleh perkara-perkara berikut:
Menonton televisyen
Alah pada makanan
Gula yang berlebihan
Keadaan hidup yang miskin
Sekolah bertaraf rendah
Ibu bapa tidak sepatutnya mencari alasan-alasan yang mungkin menjadi punca ADHD. Sebaliknya, setiap keluarga haruslah mengorak langkah ke hadapan sekali gus mengenal pasti cara-cara yang boleh membantu anak-anak mereka mendapatkan bantuan sewajarnya.
Diagnosis dan rawatan ADHD
Membuat diagnosis yang lengkap memerlukan penilaian daripada seorang pakar yang berpengalaman memandangkan terdapat beberapa punca lain yang boleh menyebabkan keresahan dan tingkah laku yang tidak dapat menumpukan perhatian. Tiada ujian mudah untuk ADHD. Diagnosis dibuat dengan mengenal pasti corak tertentu tingkah laku kanak-kanak serta membuat pemerhatian dan mendapatkan laporan tingkah laku mereka di rumah dan di sekolah daripada ibu bapa dan guru sekolah.
Kerapakali rawatan berkesan untuk ADHD melibatkan pendekatan multidisiplin yang melibatkan bidang perubatan, psikologi, sosial dan pendidikan. Kebanyakan kanak-kanak yang mengalami ADHD memerlukan rawatan.
Ubat stimulan turut digunakan untuk merawat ADHD, tetapi tidak bermakna akan pulih sepenuhnya. Ubat stimulan membantu kanak-kanak ADHD menjadi tenang, dapat menumpukan perhatian dan kurang bertindak mengikut gerak hati. Pada jangka masa berkesanan ubat stimulan, tumpuan perhatian kanak-kanak akan bertambah untuk belajar dan menjalani latihan-latihan kemahiran yang baru. Kanak-kanak juga dapat belajar menjalin hubungan yang baik dengan orang lain, berfikir dengan jelas, boleh memahami pelajaran dengan lebih baik dan mampu mengawal diri sendiri.
Ubat stimulan yang utama untuk merawat ADHD adalah methylphenidate yang dijual di bawah nama dagang Ritalin. Kesan ubat dijangka bermula dalam masa 30-60 minit dan keberkesanan ubat ini akan luput selepas 3-4 jam. Seorang kanak-kanak mungkin memerlukan antara dua hingga tiga dos pada setiap hari untuk mendapatkan hasil yang terbaik.
Kesan sampingan yang biasa berlaku bagi methyphenidate adalah tidak boleh tidur dan kurang selera makan. Kesan sampingan yang jarang berlaku adalah sakit kepala, pitam atau mengantuk, sakit perut dan biasanya semua ini dirasai apabila dos ubat semakin luput. Apabila kanak-kanak tersebut tidak aktif atau terlalu diam, ini menunjukkan dos yang diambil terlalu tinggi dan perlu dikurangkan.
Ubat stimulan adalah tidak memadai untuk merawat ADHD. Rawatan untuk ADHD perlu diselitkan dengan program psikologi, sosial dan pendidikan yang boleh membantu kanak-kanak mempelajari kemahiran baru, sikao dan tingkah laku yang seharusnya untuk mereka mengatasi tuntutan hidup.
Bolehkah ADHD sembuh?
Dengan bantuan yang sewajarnya dari ibu bapa, guru-guru, para doktor, kanak-kanak ADHD akan mampu menangani masalah kurang tumpuan atau hiperaktif mereka dengan lebih baik. Mereka juga dapat menyalurkan tingkah laku hiperaktif mereka dalam suasana yang sesuai seperti latihan fizikal atau senaman. Oleh itu, ramai yang memilih aktiviti atau pekerjaan yang memberi mereka kebebasan bergerak.
Walaupun sebahagian kanak-kanak ADHD akan terus menunjukkan tanda atau masalah sehingga dewasa namun dengan menjalani rawatan perubatan dan terapi yang diikuti semasa kanak-kanak dapat membantu mereka ketika dewasa.
UMURNYA baru 29 tahun tetapi pencapaian dalam bidang matematik sangat mengagumkan. Dengan penampilannya yang besederhana, pasti ramai yang tidak menyangka Mohd. Suhaimi Ramly ialah seorang pakar matematik bertaraf dunia.
Bermula sebagai wakil negara dalam Pertandingan Matematik Olimpiad Antarabangsa (IMO) di Romania ketika berusia 16 tahun, Suhaimi kini bergelar pakar matematik bertaraf dunia.
Walaupun penyertaan kali pertamanya pada tahun 1999 itu tidak membuahkan hasil, ia tetap dianggap pengalaman bernilai yang memacu minatnya untuk berusaha lebih gigih.
“Sebelum ke IMO, saya menyertai Olimpiad Matematik Kebangsaan (OMK) dan pernah meraih anugerah juara pada 1998 dan 2000.
“Ia keputusan yang tidak dijangka kerana saya memasuki OMK tanpa sebarang latihan. Selepas itu, barulah saya ditawarkan untuk berlatih bersama Prof. Abu Osman dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk mewakili negara,” ujar bekas penuntut Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Jasin, Melaka ini.
Pingat pertama negara
Kerja kerasnya berbaloi apabila terpilih sekali lagi untuk mewakili negara dalam pertandingan sama pada tahun berikutnya. Kali ini, dewan besar di Korea Selatan menjadi medan perjuangan Suhaimi.
“Alhamdulillah, saya berjaya membawa pulang pingat gangsa untuk negara. Ia adalah pingat pertama untuk Malaysia sejak menyertai pertandingan berprestij tersebut sejak tahun 1995,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini di pejabatnya di Setapak, Kuala Lumpur.
Tahun berikutnya, dia sekali lagi dipilih mewakili negara ke pertandingan sama. Kali ini, Suhaimi dan enam orang rakan terbang ke Amerika Syarikat (AS) untuk menduduki peperiksaan IMO. Dengan mendapat satu jawapan betul, dia layak menerima Sijil Sanjungan Terhormat.
“IMO adalah satu pertandingan matematik bertaraf dunia untuk pelajar sekolah menengah. Lebih 100 negara mengambil bahagian dengan setiap negara menghantar enam orang wakil.
“Pertandingan ini tiada kategori. Lebih 500 pelajar pintar matematik dari seluruh dunia akan duduk dalam satu dewan besar untuk menjawab peperiksaan. Had umur yang ditetapkan ialah bawah 20 tahun dan belum memasuki universiti.
“Semua peserta tidak kira yang berusia 13 tahun hingga 20 tahun akan duduk dalam satu dewan dan menjawab soalan yang sama.
“Ia berlangsung selama dua hari. Untuk hari pertama, peserta akan diberikan tiga soalan dan perlu menyelesaikannya dalam tempoh empat jam setengah. Rutin yang sama juga ditempuh untuk hari kedua.
“Mungkin ramai yang pelik, kenapa hanya tiga soalan dan mengapa ia perlu mengambil masa hingga empat jam setengah.
“Berdasarkan pengalaman terdahulu, masa yang diberikan itu tidak cukup kerana soalan-soalan yang diberikan amat sukar.
“Soalan itu sebenarnya direka oleh pakar-pakar matematik dan profesor dalam bidang ini dari seluruh dunia,” ujar graduan matematik dari Massachusetts Institute Of Technology (MIT) ini.
Gugup
Mengimbau pengalamannya bertanding di peringkat dunia, Suhaimi akui dia tidak dapat lari daripada perasaan gugup dan gementar terutamanya ketika kali pertama dia mewakili negara.
“Saya masih ingat lagi bila saya mendapat kertas soalan, saya hanya pandang soalan berjam-jam lamanya. Soalannya terlalu sukar sehinggakan saya tidak tahu dari mana saya harus mula menjawab.
“Sedar-sedar masa sudah tinggal setengah jam dan dalam masa yang terlalu singkat itu tidak banyak yang mampu saya lakukan,” kenangnya yang suka mengisi masa lapang dengan menyelesaikan soalan matematik.
Katanya lagi, minat terhadap subjek kira-kira itu bercambah ketika belajar di tingkatan tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Gombak, Suhaimi sangat berterima kasih kepada guru matematiknya ketika itu, Cikgu Chiu Kam Choon.
“Beliau adalah insan yang membuatkan saya jatuh cinta pada matematik. Bagi saya, pengajarannya sangat berkesan dan sejak itu saya tidak lagi menganggap subjek mengira ini susah,” ujarnya yang kini menjadi Ketua Jurulatih Negara untuk IMO.
Julai depan, Suhaimi akan mengetuai pasukan negara bersama enam orang peserta untuk mengikuti IMO di Amsterdam, Belanda. Kali ini, dua peserta berusia 15 tahun turut terpilih mewakili negara ke pertandingan tersebut.
Selain dibiayai oleh Kementerian Pelajaran, badan korporat ExxonMobil turut sama menaja kumpulan Malaysia ke IMO.
“Para peserta perlu menjalani latihan intensif selama sekurang-kurangnya 250 jam sebelum layak memasuki IMO. Walaupun yang mendaftar itu semunya sering mendapat markah tertinggi dalam subjek ini, mereka perlu kuat berusaha dan berlatih sekurang-kurangnya empat jam sehari.
“Di bawah Persatuan Sains Matematik Malaysia (Persama), kami juga mempunyai sekumpulan jurulatih yang terdiri daripada pensyarah dan profesor matematik tempatan, diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa IMO Malaysia yang juga Timbalan Presiden Persama, Prof. Dr. Arsmah Ibrahim dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).
“Daripada sesi latihan dan ujian berperingkat yang dijalankan selama setahun, baru kita dapat kenal pasti enam peserta terbaik untuk mewakili negara.
“Asas pemilihan juga tidak bergantung sepenuhnya kepada kebijakan mereka menjawab soalan tetapi turut meliputi pemikiran kritis dan kreativiti mereka menyelesaikan masalah yang diberikan,” katanya yang turut menulis buku khas mengenai asas matematik bagi pertandingan Olimpiad bertujuan memudahkan guru dan pelajar membuat rujukan. Antara topik yang telah diterbitkan ialah Algebra, Kombinatoriks, Teori Nombor dan Geometri.
Selain bertanggungjawab menjadi ketua kontinjen negara, Suhaimi juga merupakan juri antarabangsa termuda yang turut serta menyediakan soalan dan menanda kertas peperiksaan pada pertandingan matematik bertaraf dunia itu.
“Tahun lepas Malaysia telah memenangi pingat perak di IMO. Kalau boleh, tahun ini kita mahu pingat emas,” ungkapnya.
Strok
Jika bakat Suhaimi digilap menerusi pertandingan IMO, lain pula ceritanya dengan Jaludin Meran, 67.
Minat yang mendalam terhadap mata pelajaran Matematik sejak di bangku sekolah telah mendorong pesara ini mencipta cara mudah untuk menguasai matematik.
Menariknya, dia mencipta kejayaan itu semasa menderita penyakit angin ahmar pada 2008.
“Semasa sakit, saya cuba mencari jalan bagaimana untuk menyelesaikan masalah pengiraan dan menguasai asas nombor kerana saya percaya ia dapat membantu saya pulih," katanya yang pernah berkhidmat sebagai Pengawal Trafik Udara, Tentera Udara Diraja Malaysia selama 12 tahun.
Mengambil masa setahun setengah untuk mencipta cara mudah menguasai matematik, Jaludin banyak menggunakan kiraan dari sebelah kiri selain menghafal menggunakan kod abjad.
“Jika kaedah ini dipraktikkan, saya boleh jamin, pelajar tingkatan lima boleh mendapat A dalam subjek Matematik. Selain pengiraan lebih mudah, pelajar hanya perlu mengunakan jalan mudah untuk menyelesaikan soalan walaupun melibatkan angka yang besar,” katanya yang turut merangkumkan kaedah mudah tersebut menerusi penulisannya dalam buku setebal 110 halaman yang bertajuk Be A Math Genius In 10 Days.
Jaludin juga mencipta kaedah unik untuk mengingati kalendar.
“Dengan kaedah ini saya boleh ingat tarikh dan hari dengan tepat untuk tempoh 300 tahun,” katanya.
PERTANDINGAN MENULIS SURAT 1MALAYSIA
"Bayangkan anda
seorang pejuang kemerdekaan Malaysia.
Tulis sepucuk surat yang menceritakan
pengalaman dan harapan anda
kepada rakyat malaysia."
Tarikh tutup penyertaan : 30 JUN 2011
![]() |
TEKS BERPAUTAN AKTIF KE LAMAN WEB RESMI, MASING-MASING ● Kementerian Penerangan Komunikasi & Kebudayaan ● Kementerian Pendidikan Malaysia ● ● Suruhanjaya Komunikasi & Multimedia ● Pos Malaysia ● |