Photobucket

Sahabat Maya :

Saturday, May 21, 2011

Episod tragis pemimpin dunia




Episod tragis pemimpin dunia







PERISTIWA yang mengakhiri riwayat hidup pemimpin tertinggi rangkaian al-Qaeda, Osama bin Laden di Abbottabad, Pakistan adalah antara episod tragis yang sebenarnya mengulangi nasib yang sama pernah dilalui beberapa pemimpin terkenal dunia sebelum ini.



Nyawa yang diragut dengan senjata api atau ledakan bom adalah antara risiko dan nasib yang sering berlaku kepada pemimpin negara mahupun pertubuhan yang terdedah dengan ancaman kerana perbezaan ideologi, tindakan, serta dasar-dasar yang mencetuskan rasa dendam, kemarahan dan tidak puas hati pihak lain.



Justeru rakyat Amerika Syarikat (AS) yang melabelkan Osama sebagai pengganas menyambut berita pembunuhan pemimpin licik itu dengan penuh kegembiraan. Osama dibunuh dalam satu misi tentera AS dan Agensi Perisikan Pusat Amerika (CIA) di Pakistan.



Tentera AS yang mengetuai operasi memburu Osama telah sekian lama gagal menjejakinya dan banyak kali tertipu dengan kelicikan Osama. Bagaimanapun, jika benar riwayat Osama berjaya ditamatkan, apakah kematian tersebut dapat menghadiahkan keamanan kepada dunia?



Yang pasti, pembunuhan dianggap satu kemenangan atau kejayaan untuk menyudahkan segala bentuk keganasan yang sebenarnya menghalalkan satu lagi keganasan dan ia tidak membawa sebarang perubahan kepada keamanan sejagat.



Berikut episod tragis yang menimpa beberapa pemimpin dunia yang terkorban dihujani peluru dan bom.



ANWAR SADAT



Bekas Presiden Mesir, Anwar Sadat ialah antara pemimpin yang menemui ajalnya dengan dibunuh oleh pelampau Islam, rakyatnya sendiri. Penerima Hadiah Nobel Keamanan 1978 itu dibunuh pada 6 Oktober 1981 ketika perbarisan ketenteraan. Pembunuhan ini dikatakan sebahagian daripada jihad Islam Mesir yang menentang perjanjiannya dengan Israel.



Dalam acara lintas hormat berkenaan, Anwar dikawal oleh empat lapisan keselamatan. Bagaimanapun, semasa beliau berdiri menerima tabik hormat, pembunuhnya keluar dari deretan trak-trak tentera dan melontar bom serta melepaskan tembakan selama dua minit.



Seorang jurugambar, berjaya merakamkan detik-detik 'senyuman terakhir' pemimpin itu dan kedengaran jeritan "Matilah kamu Firaun!" sambil tembakan bertalu-talu dilepaskan.



ZIA UR RAHMAN



Presiden Bangladesh, Zia Ur Rahman pula terbunuh setelah wisma pemerintah tempat beliau menginap di kota Chittagong diserbu pada 30 Mei 1981. Serbuan berkenaan dilakukan oleh kelompok pemberontak.



Beliau dikatakan terbunuh setelah ditembak ketika membuka pintu bilik untuk melihat pergaduhan di luar.



RAJIV GANDHI



Pembunuhan Perdana Menteri India, Rajiv Gandhi pula berlaku di Sriperumbudur, Tamil Nadu, India pada 21 Mei 1991. Dalam kejadian tersebut, seramai 14 yang lain turut terbunuh akibat serangan berani mati itu.



Pembunuh yang bertanggungjawab melakukannya ialah seorang wanita yang merupakan ahli Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE). Rakaman kamera wartawan yang turut terbunuh dalam kejadian itu jelas menunjukkan wanita berkenaan, Thenmozhi Rajaratnam memegang kaki Rajiv, mengalung bunga malai dan memetik suis bom pada badannya.



INDRA GANDHI



Ibu Rajiv, Indra Gandhi turut menemui ajalnya dengan ditembak oleh dua pengawal keselamatannya. Wanita pertama yang menjadi Perdana Menteri India selama tiga penggal berturut-turut dari 1966 hingga 1977 itu serta penggal keempatnya mulai 1980, terbunuh pada 1984.



Indra dikenali kerana menubuhkan satu pemerintahan diktator dengan mengisytiharkan darurat setelah sebuah mahkamah membatalkan pemilihan beliau pada 1975, serta memenangi Operasi Bintang Biru menentang kumpulan militan Sikh yang akhirnya membawa kepada pembunuhan beliau.



RAFIK HARIRI



Bekas Perdana Menteri Lebanon, Rafik Hariri yang lahir pada 1 November 1944, ditembak mati pada 4 Februari 2005 apabila bom TNT seberat 1,000 kilogram meletupkan kenderaannya di Hotel St George , Beirut, tengah Lebanon.



Hariri ialah anak seorang peladang yang kemudiannya menjadi kaya-raya. Pada 1980-an, nama beliau disenarai dalam daftar 100 orang terkaya dunia dalam majalah Forbes.



Beliau menjadi Perdana Menteri Lebnon dari 1992 hingga 1998. Kemudian sekali lagi memegang jawatan berkenaan dari tahun 2000 hingga 20 Oktober 2004.



YITZHAK RABIN



Turut menerima nasib yang sama ialah Perdana Menteri Israel, Yitzhak Rabin yang ditembak sebanyak tiga kali pada jarak dekat ketika menghadiri perhimpunan Perjanjian Oslo di Tel Aviv, pada 4 November 1995.



Pembunuhnya, Yigal Amir merupakan seorang berfahaman radikal Yahudi yang menentang Perjanjian Oslo. Rabin mati 40 minit selepas serangan itu akibat kehilangan banyak darah.



BENAZIR BHUTTO



Sementara itu, Benazir Bhutto terbunuh dalam satu serangan bom berani mati di perhimpunan di Taman Liaquaf Bagh Rawalpindi, pada petang Khamis 27 Disember 2007. Benazir yang cedera di kepala dan leher dikejarkan ke Hospital Besar Rawalpindi dan di situ doktor mengesahkan kematiannya.



Kejadian berlaku semasa Benazir memasuki keretanya untuk meninggalkan perhimpunan kempen pilihan raya. Menurut saksi, seorang penunggang motosikal menembak ke arah kereta Benazir dan selepas itu meletupkan dirinya.



Percubaan untuk membunuh Benazir pernah berlaku di Karachi pada 18 Oktober 2007. Walaupun Benazir terselamat tetapi seorang pembunuh berani mati telah menyebabkan hampir 150 orang terbunuh dalam perarakan sambutan kepulangan beliau ke Pakistan selepas hidup dalam buangan selama lapan tahun di Dubai.



Beliau terpilih menjadi perdana menteri wanita pertama Pakistan pada 1988 sebelum dipecat pada 1990. Benazir sekali lagi berjaya memegang jawatan Perdana Menteri pada 1993 sebelum ditewaskan oleh Nawaz Sharif pada 1996.



Rentetan daripada pembunuhan demi pembunuhan itu, ia jelas memperlihatkan tiadanya harga nyawa manusia. Nyawa manusia melayang begitu sahaja dalam tempoh singkat angkara bom dan keganasan.



Perkara yang boleh disimpulkan daripada kesemua insiden hitam ini adalah betapa dunia masih belum selamat daripada keganasan dari dulu sehingga kini, walau bagaimana cara sekali pun keganasan diperangi.



Dan inilah menjadi sebab mengapa perdamaian dan keamanan yang dicari melalui meja rundingan tidak akan menemui titik penentu dan dianggap hanya ilusi.






http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0507&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_05.htm





Teruskan membaca..

Sabarlah Cikgu




Sabarlah cikgu


2011/05/21

TPM janji usul kenaikan gred guru akan diselesaikan BALING: Keluhan kira-kira 400,000 guru yang mendakwa tercicir daripada kenaikan gred atau pangkat bermula 1 Januari tahun depan seperti diumumkan Datuk Seri Najib Razak, Isnin lalu, sememangnya dalam perhatian Kementerian Pelajaran untuk diselesaikan.





Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta mereka bersabar kerana beliau akan membincangkan perkara itu dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, menerima aduan, SMS dan tuntutan beberapa kesatuan guru yang mahukan kerajaan memberi perhatian terhadap perkara itu.
“Saya akan teruskan usaha berbincang dengan Perdana Menteri dan Ketua Pengarah JPA yang akan memutuskan cara untuk me-menuhi tuntutan berkenaan. “Kita kena ambil kira keupayaan kerajaan kerana dalam keadaan sekarang kita nak jimat perbelanjaan, nak kurangkan defisit negara... dan kalau kita buat keputusan kena ambil kira keupayaan kerajaan menampung kos tambahan disebabkan kenaikan gaji dan elaun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan bangunan baru Pejabat Pelajaran Daerah Baling/Sik, di sini, semalam.





Beliau berkata, guru terbabit tidak perlu bimbang kerana kerajaan masih mempunyai masa enam bulan lagi untuk meneliti perkara itu sebelum ia berkuat kuasa Januari tahun depan.






Sebelum ini, beberapa kesatuan dalam perkhidmatan perguruan menyatakan kekecewaan mereka kerana enam tuntutan mereka tidak diberi perhatian, termasuk kenaikan gred guru besar di sekolah kurang murid (SKM). Selain itu, mereka menuntut kerajaan mewujudkan jawatan baru gred DG40 iaitu gred tertinggi dalam Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD), selain memperluaskan gred DGA38 kepada semua guru besar dan pengelola kementerian, Jabatan Pelajaran Negeri dan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) gagal dilaksanakan.





Mereka juga berharap tuntutan gred jawatan pegawai pelajaran daerah di 139 PPD membabitkan gred DG52 serta pelaksanaan nisbah seorang guru dengan tujuh murid, khususnya bagi Kurikulum Standard Sekolah Rendah diberi perhatian. Muhyiddin berkata: "Kita masih ada masa enam bulan dan dalam tempoh itu kita tidak tahu apa akan berlaku... apa ada dalam fikiran Perdana Menteri pun saya tidak tahu tetapi yakin beliau tahu situasi perkhidmatan awam dan kos hidup yang tinggi.




"Bersabarlah... kerana bila Perdana Menteri umum tarikh kuat kuasa 1 Januari 2012, kita ada masa dan saya harap bila sampai Januari nanti dia (Perdana Menteri) akan tokok sikitlah." Sementara itu, Muhyiddin berkata, Bahagian Sukan, Kementerian Pelajaran diarah mengkaji insentif dan pengiktirafan kepada guru yang menjadi pengurus pasukan dan pegawai kejohanan Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) bagi menghargai sumbangan mereka dalam meningkatkan prestasi serta pencapaian atlet dan sukan di sekolah.




Beliau berkata pengiktirafan kepada guru terbabit adalah sama seperti yang diberi kepada atlet yang cemerlang dalam bidang sukan. “Guru terbabit juga perlu diberi pendedahan supaya kewujudan mereka sebagai pegawai kejohanan diterima di persada antarabangsa. "Atlet yang berjaya dan mempunyai potensi tinggi dalam bidang sukan tertentu harus dilatih secara intensif sebelum menghadapi kejohanan peringkat antarabangsa.




“Begitu juga dengan pegawai kejohanan, pendedahan harus diberi kepada mereka supaya kewujudan pegawai kejohanan ini diterima di peringkat antarabangsa seperti atlet," katanya ketika merasmikan Kejohanan Balapan dan Padang MSSM Ke-53 2011 di Stadium Perak di sini, malam tadi.





Berita Harian Online






Teruskan membaca..

Friday, May 20, 2011

Dinilai panel berwibawa?PROSPEK!



Tiada lagi ujian


Oleh Johari Ibrahim dan Azrina Ahzan
bhnews@bharian.com.my
2011/05/20




pix_gal0

PROSPEK mulai 1 Julai dinilai panel berwibawa

PUTRAJAYA: Kaedah penilaian baru bagi kakitangan awam untuk menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan Januari lalu, tidak lagi berasaskan peperiksaan, tetapi ditentukan panel penilai berwibawa dianggotai oleh ketua jabatan dan kakitangan pelbagai peringkat.

Panel penilai itu akan bertukar setiap tahun bagi mengelakkan elemen berat sebelah dan unsur pilih kasih.
Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) menggantikan PTK yang dilaksanakan mulai 1 Julai depan, membabitkan lapan prinsip penilaian baru iaitu falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.
Bagaimanapun, falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan skopnya diperluaskan meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

Hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi cemerlang dan berpotensi tinggi; memenuhi kompetensi dan berpotensi atau memerlukan pembangunan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Seri Abu Bakar Abdullah, berkata selain dimensi asas seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, sistem baru itu juga mengambil kira dimensi tambahan, iaitu kreativiti dan inovasi selaras penekanan kerajaan pada masa ini.

“Pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya,” katanya pada majlis menandatangani persetujuan bersama sistem baru itu dengan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) di sini, malam tadi. CUEPACS diwakili Presidennya, Datuk Omar Osman.
Beliau berkata, penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru itu bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan awam.

Faedah pembangunan diri, termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang kakitangan serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Pingat Perkhidmatan Cemerlang.

Sementara itu, faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan dalam atau luar negara.

Pegawai yang berada dalam gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred berkenaan.

“Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan dan Latihan Berteraskan Kompetensi.

“Ketua perkhidmatan dan jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Pengumuman pemansuhan PTK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika membentangkan Bajet 2011 pada Oktober 2010 berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Ujian PTK diperkenalkan pada 2003 berikutan pelaksanaan Skim Saraan Malaysia (SSM) pada Oktober 2002 menggantikan Skim Saraan Baru (SSB) yang diguna pakai bagi menilai prestasi kakitangan awam sejak 1990.

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Konsep baru itu akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan PTK di bawah SSM.

Berita Harian Online








Teruskan membaca..

Thursday, May 19, 2011

Perjalanan Yang Singkat




https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhT-ol9lXRHcJG2AnLhMSeopH52yultUNCu8Xg68PY_uy5X_koRs4l_tzW66kEnmQow5LzXJLboV4gWKG2v2isPncgRT7d8DITu_js7Dhd7fdOfCppzSGHL8xa-4qHeo-OBR9IzgopdLL6c/s1600/Selamat+Hari+Guru.jpg




Menyampaikan kata-kata
dengan bahasa yang bijaksana
mengutip inti rasa getir
dengan lafaz di hujung bibirmu
mengasah akal menghayati ilmu

Kau daki tangga kebenaran
kau selami dasar kemanusiaan
kau kembangkan tafsiran maya
kau tembusi kabus khurafat
kau heningkan bisikan suci
memandu kebijaksanaan mengikis kejahilan
dengan harum sejarah mengukir setia
kau susun debat dan hujah
dengan watak yang bijak bermadah
memurnikan cinta manusia
menatang setia budaya bangsa

kau lukis warna kehidupan
yang pahit dengan penderitaan
kau buka pintu rahsia kebijaksanaan

di hujung bibir dan jarimu
kau jelmakan sebuah kehidupan
saat rebah kemiskinan mengalir dalam
nan deru kebodohan menggaung gema
kaulah pelita ilmu penyelamat bangsa

hadirmu memberikan cahaya ilmu dalam kehidupan
menerangi setiap pijakan langkah yang longlai
mengentaskan manusia dari jurang kebodohan
dan menyelamatkan mereka dari jerat kemiskinan

betapa mulia dedikasimu untuk manusia
keyakinan kuat akan suatu perubahan besar
mendorongmu untuk terus dan terus melangkah
untuk cuba serapkan ilmu dalam diri manusia

Percayalah…
Ketulusanmu takkan pernah terganti
Keyakinan dan harapanmu kan terwujud abadi
Sebab kita berjanji bukan sekadar bermimpi


Sabda Rasulullah S.A.W. "Sesungguhnya Allah dan seluruh Malaikat~Nya serta penghuni langit dan bumi, sehingga semut yang ada di dalam liangnya dan ikan yu, semuanya memohon kerahmatan ke atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia." (Hadis Riwayat Al Imam At Tirmizi)


Sesungguhnya ilmu tidak bisa diperoleh kecuali dengan sikap rendah diri dan mendengar baik-baik apa yang disampaikan. Sikap rendah diri, tunduk dan patuh dari seorang penuntut ilmu kepada gurunya merupakan kemuliaan dan kebanggaan.


Titipan Sumber : http://insaaniyyah.blogspot.com/


My Photo
Abd Razak





Teruskan membaca..

Nur Kasih The Movie


Nur Kasih The Movie Poster NUR KASIH THE MOVIE SYNOPSIS AND TRAILER PLUS THEME SONGS



Nur Kasih The Movie ini adalah kesinambungan daripada drama siri TV popular Nur Kasih. Filem ini adalah selepas lapan tahun kisah didalam drama Nur Kasih.


Filem ini dibuka dengan satu kejadian kemalangan yang ngeri berlatarbelakangkan pemandangan padang pasir Jordan yang indah. Kemalangan ngeri yang disaksikan oleh dua orang arab Badwi itu adalah satu permulaan kisah yang menyentuh hati didalam filem Nur Kasih The Movie ini. berakhir.



Filem ini kemudian membawa penonton ke Kuala Selangor dimana Nur Amina dan Adam sedang bernostalgia mengimbau kenangan lalu. Satu demi satu cerita terungkap dan dapat diketahui bahawa isteri Aidil, Aliyah telah meninggal dunia.



Anak Aidil, Ilyas dan Maryam mempunyai personaliti yang berbeza. Ilyas seperti ayahnya Aidil, lebih suka memendam perasaan dan meratapi pemergian ibunya dalam diam dan lebih mengambil berat tentang keadaan ayahnya. Manakala Maryam pula masih terlalu kecil untuk memahami situasi yang berlaku. Aidil melepaskan beban penderitaan batin yang ditanggungnya dalam satu peristiwa yang menyayat hati.



Adam dan Nur Amina kembali ke Kuala Lumpur dimana mereka menghabiskan masa menjadi sukarelawan di sebuah pusat jagaan kanak-kanak bermasalah. Tujuannya kerana untuk menghilangkan perasaan rindu terhadap anak-anak kerana telah lama mereka belum lagi dikurniakan cahaya mata. Di pusat jagaan ini, watak Mamat, Sara, dan Jamal akan mewarnai kisah mereka.



Apabila mengetahui Nur Amina mengandung, Adam bersyukur kepada Allah, namun takdir menentukan, bayi didalam kandungan Nur Amina keguguran. Kejadian ini membuatkan Adam hilang pertimbangan dan mula berpaling daripada ajaran Allah. Walaubagaimanapun, Aidil berjaya memimpin Adam kembali ke jalan yang benar.



Adam dan Nur Amina bercadang melawat Mekah dan kemudian menyusul ke Jordan pula. Di Jordan, pasangan ini menemui kedamaian yang dicari, namun Adam kembali dihantui oleh igauan ngeri. Adam sering terbayang Nur Amina akan mati. Adam merasakan bahawa ada satu petanda buruk yang akan berlaku. Keimanan dan kesabaran akan teruji lagi. Adam dan Nur Amina mengalami satu kemalangan dahsyat. Didalam serpihan kemalangan itu, Adam mendapati Nur Amina terbaring kaku..




Sinopsis :


Drama bersiri popular Nur Kasih pada tahun lalu disajikan penuh dengan cerita cinta antara Adam lakonan Remy Ishak dan Nur Amina (Tiz Zaqyah) serta pengorbanan Aidil (Fizz Fairuz) kepada adiknya, Adam.Jika dalam drama bersiri, Aidil terpaksa mengorbankan cintanya kepada Nur Amina demi Adam tetapi pengorbanan Aidil tidak terhenti dalam drama yang disiarkan sebanyak 26 episod itu.Ini kerana dia masih lagi menerima pelbagai dugaan dan ranjau dalam menempuhi kehidupan menerusi sekuel terbaru Nur Kasih yang disambungkan dalam bentuk filem.Untuk filem berjudul Nur Kasih The Movie itu, Aidil menjalani kehidupannya sebagai seorang bapa tunggal kepada dua cahaya mata iaitu Ilyas, 7, dan Maryam, 5, setelah isterinya, Alia (Ayu Raudhah) yang meninggal dunia.



NUR KASIH THE MOVIE INFO:

Producer : Rosihan Zain (Executive Producer)

Director : Kabir Bhatia

Producer (Company) : Primeworks Studios Sdn Bhd

(Formelly known as Grand Brilliance Sdn. Bhd.)

Language : Malay

Genre : Drama

Classification : U – General viewing for all ages

Release Date : 19 May 2011

Duration : 90 min

Audio : Stereo

Format : 35mm


Script : Kabir Bhatia (Screenplay), Mira Mustaffa

(Scriptwriter)

Cast : Remy Ishak, Fizz Fairuz, Tiz Zaqyah, Ayu Raudhah,

Liza Othman, Munif Isa, Sara Ali, Adik Mia Sara Nasuha,

Adik Ilyas Suhaimi












http://www.mmail.com.my/sites/default/files/Nurkasih.jpg






Teruskan membaca..

Wednesday, May 18, 2011

Yang Dinamakan Guru





YANG DINAMAKAN GURU



Dinamakan guru itu

tegur dan amarahnya memayungi jalan

menangkis hujan sesal hari kemudian

segala ilmu dimiliki, untuk dikongsi bersama

sebagai khazanah bangsa tercinta

tiup ayun langkahnya direnung arah tuju

jadi denai panduan yang akan dilorongi



Dinamakan guru itu

senyum serentak di bibir di hati

yang tak tercalit erti dendam

suram wajah terpotret kala hiba

tonton satu per satu pepohon semaian

rebah di lumpur hampa dan kebejatan




Tiadalah dia kikir akan waktu juga keringat

bersama di kamar didik, di makmal pencarian

atau di pentas ujian, di padang latihan

meskipun sering dicemburui anak sendiri

dan dikesali usia diri


Dinamakan guru itu

lelah tak perlu dirungut

perit tak payah dirintih

miskin tak minta dipercayai

lalu yang dinamakan guru itu

memang sukar dimengerti……




Adakala kita dicaci,
dimusuhi dan tak dihargai
TETAPI kita tetap tersenyum
walaupun dalam pilu,
tetap melangkah
walaupun hampir rebah
dan tetap tekun,
ikhlas dan sabar
walaupun hati tercalar



Teruskan membaca..

Monday, May 16, 2011

Obor Hemah




http://dc340.4shared.com/img/qe8-nH7n/s7/Pictures_-_Kad_Ucapan_Selamat_.png


Selamat Hari Guru.



Terima Kasih Cikgu.



Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.








OBOR HEMAH

Guru adalah awan indah terbang rendah,
melimpahkan hujan pada musim gersang,
menyegarkan benih ilmu, berbuah hikmah;
ia renjis embun pada tanah bakat,
suara ihsan ketika manusia kalah,
sepi yang syahdu dalam dunia resah.

Guru - atap ganti ketika pondok bocor,
ketika sejarah dalam bilik darjah,
senyum penyembuh bagi wabak sengsara,
ia - sungai rangsang sentiasa tenang,
menghantar bahtera ke segara dharma,
memesan angin menghikmahkannya.

Guru adalah penelaah yang tekun,
mewariskan dunia sebagai kutubkhanah,
menyediakan kutubkhanah sebagai dunia,
ia mengemudi biduk, melepaskannya,
atas lambungan laut, merangsangkan
manusia menyelami rahsia khazanahnya.

Guru - minda segar dan kukuh akar,
menghidupkan batin yang bersih
di daerah dunia cemar kasih,
dan pada ketika tak tersangkakan,
walau diambilnya kemball semua buku,
sempat ditinggalkan asas i1mu.

Guru adalah batin suci hatinurani,
penjunjung budi, manusia yang takwa,
obor hemah kehidupan bangsa.

A. SAMAD SAID
2 APRIL 1988






2011 Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara

2010 Guru Pembina Negara Bangsa
2009 Guru Pembina Negara Bangsa
2008 Guru Cemerlang Negara Terbilang
2007 Guru Penjana Modal Insan Gemilang
2006 Pendidikan Bestari Pemangkin Kegemilangan
2005 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2004 Guru Berkualiti Pemangkin Kegemilangan
2003 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2002 Guru Berkualiti Aspirasi Negara
2001 Memartabatkan Profesion Keguruan Tanggungjawab Bersama
2000 Bersatu Memartabatkan Profesion Keguruan
1999 Guru Berkesan Pendidikan Cemerlang
1998 Guru Penyemai Tanggungjawab Bersama
1997 Guru Bestari Sekolah Bestari
1996 Guru Malaysia Teras Pendidikan Bertaraf Dunia
1995 Permuafakatan dan Perpaduan Menjayakan Wawasan
1994 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1993 Guru Inovatif dan Kreatif Menjayakan Wawasan
1992 Guru Cemerlang Teras Kejayaan Wawasan
1991 Ke Arah Pendidikan Cemerlang
1990 Pendidikan Bermutu Masyarakat Sejahtera
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1989 Guru Pembina Budaya Ilmu
1988 Guru Pengasas Budaya Membaca
1987 Pendidikan Ke Arah Kesejahteraan Insan
1986 Pendidikan Teras Nasionalisme
1985 Guru dan Masyarakat Asas Kemajuan Pendidikan
1984 Kepimpinan Berteladan Kesempurnaan Pendidikan
1983 Kepimpinan Berteladan Teras Pendidikan
1982 Ke Arah Kecekapan Guru Dan Pendidikan Bermutu
1981 Pengorbanan Guru Kejayaan Rakyat
1980 Pendidikan Teras Perpaduan Negara
1979 Murid Sejahtera Negara Jaya
1978 Guru Pembentuk Generasi Akan Datang
1977 Dedikasi dan Disiplin Asas Kemajuan Pendidikan
1976 Pendidikan Moral Dalam Zaman Kemajuan Pendidikan
1975 Guru dan Pembangunan Negara
1974 Peranan Guru Dalam Zaman Sains dan Teknologi
1973 Kerjasama Ibu Bapa Untuk Kemajuan Pendidikan
1972 Peranan Guru Dalam Pembangunan Negara







Teruskan membaca..

Sunday, May 15, 2011

Peranan guru jana transformasi pendidikan negara.




Peranan guru jana transformasi pendidikan



PERANAN guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.

Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan.

Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" adalah amat bertepatan sekali.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.

"Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah.

"Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru.

"Peranan guru juga besar dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan Satu Murid Satu Sukan (1M1S).

"Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif," jelas beliau.

Terang beliau lagi, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 yang dilancarkan pada awal tahun lalu menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan negara.

"Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dan bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar.

"Namun demikian, tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua pelan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka," tambahnya.

Abd. Ghafar berkata, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku kerana ia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama.

"Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik.

"Justeru, saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah," ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.

"Keprihatinan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan wujudkan jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga peringkat JUSA C," terang beliau.

Abd. Ghafar berkata, cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa kerajaan.

"Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak kementerian bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan fahaman politik," jelasnya.

Katanya lagi, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir seperti penyediaan Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi pendidikan khas bagi kanak-kanak kelainan upaya

"Kementerian Pelajaran juga telah mengambil langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus pra perkhidmatan.

"Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat," terangnya.

Menurut Abd. Ghafar, usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian sahaja.

Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.

"Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif.

"Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah P&P terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu," jelasnya.



Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0514&pub=Utusan_Malaysia&sec=Rencana&pg=re_03.htm





Teruskan membaca..

Saturday, May 14, 2011

Selamat Pagi Cikgu






Sambutan


Hari Guru Kebangsaan Ke-40


16 Mei 2011


bertemakan


Guru Penjana Transformasi

Pendidikan Negara






























Teruskan membaca..

Tuesday, May 10, 2011

Kemurungan Dan Tekanan Emosi > Memberontak




Tekanan Emosi Dan Kemurungan Dikalangan Pelajar Sekolah Rendah


Bila anak memberontak


IBU BAPA perlu konsisten dalam membentuk tabiat dan tingkah laku anak-anak.

KITA sering beranggapan hanya orang dewasa mengalami tekanan, gangguan emosi atau emosi kurang stabil. Hakikatnya, kanak-kanak juga tidak terlepas daripada dibelenggu permasalahan psikiatri ini.

Mengikut kajian di negara lain, kekerapan kemurungan teruk dan sederhana adalah dua hingga empat peratus di kalangan kanak-kanak manakala 10 peratus di kalangan remaja dan 15 hingga 20 peratus di kalangan dewasa.

Kajian yang dilakukan Dr. Ramli Musa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang diterbitkan dalam Jurnal Psikiatri Hong Kong itu turut mendapati 10.5 peratus daripada pelajar sekolah rendah mengalami tekanan emosi dan kemurungan.

Tabiat

Bertanya kepada Profesor Psikiatri, Jabatan Perubatan, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Azhar Mohd. Zain, beliau menjelaskan, gangguan atau tekanan emosi di kalangan kanak-kanak tidak boleh dibiar berlarutan dan perlu diberi perhatian segera.

“Setiap kanak-kanak mungkin mempamerkan emosi yang berbeza ketika mereka mengalami tekanan. Ia juga sukar dikesan dalam masa singkat kerana simptomnya tidak jelas.

“Kebiasaannya kanak-kanak akan murung, menyendiri, tidak bercampur dengan keluarga atu rakan-rakan, tidak mahu makan dan hilang minat pada aktiviti yang biasa mereka lakukan.

“Walaupun begitu, boleh dikatakan jarang kanak-kanak boleh menerima tekanan emosi kerana pada peringkat umur tersebut, mereka tidak akan memendam perasaan sebaliknya melahirkan rasa tidak puas hati dengan cara memberontak atau menangis.

“Bagaimanapun, ibu bapa tidak boleh kalah dengan tangisan anak-anak kerana ia hanya akan menambah sifat ingin memberontak,” katanya.

Mengulas lebih lanjut, Azhar menjelaskan, tabiat kerap menangis atau memberontak untuk mendapatkan sesuatu memang sering digunakan kanak-kanak dalam menarik perhatian orang dewasa.

“Sebagai ibu bapa, kita adalah orang yang bertanggungjawab membentuk tabiat kanak-kanak dengan syarat mesti konsisten.

“Sebahagian besar ibu bapa berasa malu jika anak mereka meronta-meronta dan menangis di kedai kerana mahukan sesuatu.

“Tip paling baik, jangan beri apa yang dimahukan ketika mereka menangis atau memberontak, sebaliknya beri apabila mereka berkelakuan baik.

“Ibu bapa juga jangan kalah dengan tangisan kerana jika kita mengalah, itu hanya akan menambahkan galak mereka.

“Lama-kelamaan, mereka akan gunakan taktik air mata itu setiap kali permintaan mereka tidak dipenuhi.

“Sebaik-baiknya bersabarlah dengan kerenah mereka dan jangan berputus asa. Katakan kepada mereka, hajat mereka akan dipenuhi jika berkelakuan baik.

“Kerana itu, konsisten sangat penting supaya anak-anak tidak keliru,” jelasnya.

Wanita lebih murung

Kembali meneliti penyelidikan Ramli, antara kesimpulan daripada kajian tersebut ialah di antara lelaki dan perempuan, perempuan lebih berisiko mendapat kemurungan.

Golongan yang tidak terkecuali ialah kanak-kanak yang ibu bapanya berpendapatan rendah, di kalangan keturunan Cina dan mereka yang terlibat dalam masalah disiplin seperti mencuri dan mengambil alkohol.

“Kemurungan dalam kajian lain sememangnya berkait rapat di kalangan mereka dari sosioekonomi rendah.

“Disebabkan tekanan hidup menyebabkan mereka lebih cenderung mendapatnya.

“Mengapa di kalangan keturunan Cina lebih cenderung? Antara spekulasi mengapa kajian ini mendapat keputusan begini kerana masyarakat Cina lebih terbuka menzahirkan tanda-tanda dan perasaan mereka berbanding masyarakat lain,” ulas Ramli.

Menolak tanggapan bahawa semua kanak-kanak yang dilabelkan nakal atau memberontak sebagai memiliki masalah sikap, Ramli mempunyai pandangan tersendiri.

“Jika anak memberontak, jangan lekas menghukum, apalagi terus merotan mereka. Adalah penting ibu bapa dan guru cuba mendekati perasaan mereka mengapa mereka berkelakuan begitu,” katanya.






Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2011&dt=0327&pub=Kosmo&sec=Kesihatan&pg=ke_01.htm








Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...