Photobucket

Sahabat Maya :

Monday, December 6, 2010

Semoga lebih baik dan baik lagi..1432H.







~ Salam MaalHijrah 1432H ~


Selamat Menyambut Maal Hijrah 1432H




Tema : " 1 Malaysia 1 Ummah "



Huraian Peristiwa Hijrah



Muharram (محرّم) adalah bulan pertama dalam Sistem Takwim Hijrah (Hijriah). Pada asasnya, Muharram membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Mekah (Al Baqarah: 91).



Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan. Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi).


Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk - makhlukNya.


Daripada Al-Hassan Al-Basri rahimahumullah; “Sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam di sisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.”


Khalifah Umar Al-Khattab menetapkan adalah hari pertama bagi setiap tahun baru Islam (Kalendar Hijriah).


Kelebihan Hari Assyura'



Abul-Laits Asssamarqandi meriwayatkan dengan sanadnya dari Ibnu Abbas r.a berkata: Nabi SAW. bersabda yang bermaksud;


Barangsiapa yang berpuasa pada hari Assyuuraa' yakni 10 Muharram, maka Allah akan memberikan kepadanya pahala 10,000 malaikat; dan barangsiapa yang puasa pada hari Assyuuraa', maka akan diberikan pahala 10,000 orang Haji dan Umrah, dan 10,000 orang mati syahid; dan siapa yang mengusap kepala anak yatim pada hari Assyuuraa', maka Allah akan menaikkan dengan rambut satu darjat. Dan barangsiapa yang memberi buka puasa orang mukmin yang berpuasa pada hari Assyuuraa', maka seolah-olah memberi buka puasa semua umat Muhammad SAW. dan mengenyangkan perut mereka.


Sahabat bertanya; Ya, Rasulullah, Allah telah melebihkan hari Assyuuraa' dari lain-lain hari.


Jawab Rasulullah: Benar!.


Allah telah menjadikan langit dan bumi pada hari Assyuuraa',

dan menjadikan Adam juga Hawa pada hari Assyuuraa';

dan menjadikan Syurga serta memasukkan Adam di syurga pada hari Assyuuraa';

dan Allah menyelamatkan dari api neraka pada hari Assyuuraa';

dan menenggelamkan Fir'aun pada hari Assyuuraa';

dan menyembuhkan bala Nabi Ayyub pada hari Assyuuraa'

dan Allah memberi taubat kepada Adam pada hari Assyuuraa';

dan diampunkan dosa Nabi Daud pada hari Assyuuraa';

dan juga kembalinya kerajaan Nabi Sulaiman pada hari Assyuuraa';

dan akan terjadi Qiyamat pada hari Assyuuraa'




Peristiwa 10 Muharram


10 Muharram - Dinamakan juga Hari Asyura. Pada hari itu banyak terjadi peristiwa penting yang mencerminkan kegemilangan bagi perjuangan yang gigih dan tabah bagi menegakkan keadilah dan kebenaran.


Bertanya para sahabat : "Wahai Rasulullah ! Apakah kelebihan 10 Muharram berbanding dengan hari-hari yang lain ?" Sabdanya :


1.ALLAH menciptakan alam, langit, bintang dan sebagainya


2.ALLAH menciptakan gunung-ganang pada 10 Muharram


3.Diciptakan lautan pada 10 Muharram


4.Diciptakan Qalam (pena untuk menulis amal manusia) pada 10 Muharram


5.Diciptakan Arasy, Luh Mahfuz pada 10 Muharram


6.Diciptakan Nabi Adam a.s. pada 10 Muharram


7.Dimasukkan Nabi Adam a.s. ke dalam syurga pada 10 Muharram


8.Dilahirkan Nabi Ibrahim a.s. pada 10 Muharram


9.Diselamatkan Nabi Ibrahim a.s. dari api Namrud pada 10 Muharram


10.Diselamatkan anaknya Nabi Ismail a.s. dari sembelihan pada 10 Muharram


11.Ditenggelamkan Fir'aun pada 10 Muharram


12.Diampunkan kesilapan Nabi Daud a.s. pada 10 Muharram


13.Dilahirkan Nabi Isa a.s. pada 10 Muharram


14.Dikeluarkan Nabi Yunus a.s. daripada perut ikan Nun setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam pada 10 Muharram


15.Disembuhkan penyakit Nabi Ayub a.s. pada 10 Muharram


16.Diangkat Nabi Isa a.s. ke langit pada 10 Muharram


17.Diterima taubat Nabi Adam a.s. pada 10 Muharram


18.Dianugerahkan tahta kerajaan kepada Nabi Sulaiman a.s.


19.Diciptakan Arasy pada 10 Muharram


20.Awal-awal hujan yang turun dari langit pada 10 Muharram


21.Awal-awal rahmat diturunkan pada 10 Muharram


22.Diselamatkan bahtera Nuh a.s. daripada tenggelam sesudah bumi ditenggelamkan selama enam bulan.pada 10 Muharram





Peristiwa Lain


Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa.

Diangkat Nabi Idris a.s. ke langit pada 10 Muharram

Nabi Yusuf dibebaskan dari penjara.

Penglihatan Nabi Yaakob yang kabur dipulihkan oleh Allah.

Laut Merah terbelah dua untuk menyelamatkan Nabi Musa dan pengikutnya dari tentera Firaun.

Allah menjadikan 'Arasy.

Allah menjadikan alam.

Allah menjadikan Malaikat Jibril.

Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Ikrimah berkata; Hari Assyuuraa' ialah hari diterimanya taubatnya Nabi Adam. Dan ia pula hari turunnya Nabi Nuh dari perahunya. Maka ia berpuasa syukur; dan ia pula hari tenggelamnya Fir'aun dan terbelahnya laut bagi Nabi Musa a.s. dan Bani Israil. Maka mereka berpuasa; kerana itu jika dapat; engkau berpuasalah pada hari Assyuuraa'.


Abul-Laits meriwayatkan dengan sanadnya dari Muhammad bin Maisarah berkata; Bahawa siapa yang melapangkan pada keluarganya pada hari Assyuuraa', maka Allah akan meluaskan rezekinya sepanjang tahun itu.


Sufyan berkata; Telah kami cuba, maka rasakan kebenarannya.


Said bin Jubair dari Ibn Abbas r.a. berkata; Ketika Nabi SAW. baru hijrah ke Madinah, mendapatkan kaum Yahudi puasa pada hari Assyuuraa'; maka tanya kepada mereka tentang itu. Jawab mereka; "Hari itu Allah memenangkan Nabi Musa a.s. dari Bani Israil terhadap Fir'aun dan kaumnya. Maka kami puasa kerana mengagungkan hari ini". Maka sabda Nabi SAW.; "Kami lebih layak mengikuti jejak Musa dari kamu". maka Nabi SAW. menyuruh sahabat supaya berpuasa.


Abul Laits berkata; Dinamakan Assyuuraa' kerana ia jatuh pada sepuluh bulan Muharram. Ada lain pendapat yang mengatakan hari Assyuuraa' kerana Allah telah memuliakan pada Nabi-nabi dengan sepuluh kehormatan;


1.Allah telah menerima taubat Nabi Adam a.s.


2.Allah menaikkan darjat Nabi Idris a.s.


3.Hari berlabuhnya perahu Nabi Nuh a.s.


4.Nabi Ibrahim a.s dilahirkan pada hari Assyuuraa' dan diangkatkan sebagai kholilulLah juga diselamatkan dari api.


5.Allah menerima taubat Nabi Daud a.s.


6.Allah mengangkat Nabi Isa a.s. ke langit


7.Allah menyelamatkan Nabi Musa a.s.


8.Allah menenggelamkan Fir'aun


9.Allah mengeluarkan Nabi Yunus dari perut ikan


10.Allah mengembalikan kerajaan Nabi Sulaiman a.s.



Semua ini terjadi pada hari Assyuuraa'. Sebahagian lain berpendapat, dinamakan hari Assyuuraa' kerana ia kesepuluh dari kemulian-kemulian yang diberikan Allah pada umat ini. Bulan Rejab. Allah menjadikannya sebagai kemuliaan nagi umat ini dan melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan umat-umat ini atas lain-lain umat.



Bulan Sya'baan Allah melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Nabi Muhammad SAW. atas semua Nabi.


Bulan Ramadhan Allah melebihkannya dari lain-lain bulan bagaikan kelebihan Allah terhadap semua makhluk.

Lailatul qadr yang terlebih baik dari seribu bulan yang lain.

Hari Idul Fitri sebagai hari pembalasan(penerimaan upah)

Hari-hari sepuluh (1 hingga 10 Zulhijjah) iaitu hari-hari untuk berzikir kepada Allah.

Hari Arafah yang dosanya dapat menebuskan dosa dua tahun.

Hari Idul Adha iaitu hari berqurban.

Hari Jumaat yang termulia dari semua hari.

Hari Assyuuraa' yang puasanya dapat menebus satu tahun dosa.

Dan masing-masing waktu yang tersebut itu ada kemuliaan dari Allah diberikan kepada umat ini untuk membersihkan dan menebus dosa-dosa mereka. Di bawah ini ada beberapa terjemahan hadith untuk panduan kita bersama;



Dari Abu Hurairah r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, "Seutama-utama puasa sesudah puasa bulan Ramadan ialah puasa bulan Muharram dan seutama-utama solat sesudah solat fardu ialah solat malam". (Sahih Muslim)



Abu Musa Al Madani meriwayatkan dari Ibnu Umar r.a.; "Barangsiapa yang berpuasa pada hari Asyura adalah seperti berpuasa setahun dan siapa yang bersedekah pada hari Asyura adalah bagiku bersedekah setahun." (Riwayat Albazzar)


Dari Abu Qatadah Al-Anshari r.a. katanya Rasulullah s.a.w. ditanya orang tentang puasa hari arafah. Jawab baginda, "Semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu dan yang akan datang". Kemudian Nabi ditanya pula tentang puasa hari asyura. Jawab baginda, "semoga dapat menghapus dosa tahun yang lalu".(Sahih Muslim)


Dari Aisyah r.a. katanya "Biasanya orang Quraisy pada masa jahiliah berpuasa pada hari asyura dan Nabi s.a.w. pun berpuasa. Ketika Baginda tiba di Madinah, Baginda juga berpuasa pada hari asyura dan menyuruh orang lain berpuasa juga". (SahihMuslim)


Dari Ibnu Abbas r.a. katanya, ketika Nabi s.a.w. tiba di Madinah, Baginda melihat orang yahudi berpuasa pada hari asyura. Nabi pun bertanya, "Hari apa ini ?". Jawab mereka, "Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini Allah melepaskan Bani Israil dari musuh mereka, kerana itu Nabi Musa berpuasa kerananya". Sabda Nabi, "Aku lebih berhak daripada kamu dengan Musa". Oleh itu Nabi berpuasa dan menyuruh orang lain berpuasa pada hari asyura.(Sahih Bukhari)


Rasulullah s.a.w. bersabda; "Berpuasa kamu pada hari ke sembilan dan sepuluh Muharam dan jangan meniru cara orang-orang Yahudi." - Riwayat Al Baihaqi

(Dipetik dari ummu-fatimah.blogspot.com)






p/s : Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan “Salam Maalhijrah 1432H dan Selamat Tahun Baru 2011M” kepada semua pengunjung blog. Semoga tahun baru ini memberikan lebih keberkatan dan seterusnya berjaya mencapai kejayaan. Semoga 1432H lebih bermakna…



Teruskan membaca..

Sunday, December 5, 2010

Doa Akhir Tahun dan Awal Tahun.





https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEhesc9Yhd1Pwft9A94yD2cpDsLErSEa3ha6ns61jDLr6WtMY1zkwULzwpiUtmZPVQgChcMWGW27KEOBRtlV9cIDfbEr8JST0L139qQKM7oHI-2sDeWrNWOL00T7hZN_2-aQVYH9XLBNZ4gM/s400/aster1.jpg



Doa Akhir Tahun

( Dibaca selepas solat Asar )


Maksudnya :

Dengan menyebut nama

Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Semoga Allah melimpahkan rahmat dan keselamatan

kepada junjungan kami Nabi Muhammad SAW,

beserta para keluarga dan sahabatnya.

Ya Allah,

segala yang telah kukerjakan

selama tahun ini dari apa

yang menjadi larangan-Mu,

sedang kami belum bertaubat,

padahal Engkau tidak melupakannya

dan Engkau bersabar (dengan kasih sayang-Mu),

yang sesungguhnya Engkau berkuasa

memberikan siksa untukku,

dan Engkau telah mengajakku

untuk bertaubat sesudah melakukan maksiat.

Kerana itu Ya Allah,

kumohon ampunan-Mu dan berilah ampunan kepadaku

dengan kemurahan-Mu.

Segala apa yang telah ku kerjakan,

selama tahun ini,

berupa amal perbuatan

yang Engkau redhai

dan Engkau janjikan

akan membalasnya dengan pahala,

kumohon kepada-Mu,

Wahai Dzat Yang Maha Pemurah,

Wahai Dzat Yang Mempunyai Kebesaran dan Kemuliaan,

semoga berkenan menerima amal kami

dan semoga Engkau tidak memutuskan harapan kami

kepada-Mu, Wahai Dzat Yang Maha Pemurah.

Dan semoga Allah

memberikan rahmat dan kesejahteraan

ke atas penghulu kami Muhammad,

keluarga dan sahabatnya.

Amin yaa rabbal ‘alamin.


p/s : Doa akhir tahun dibaca sesudah solat Asar.




https://blogger.googleusercontent.com/img/b/R29vZ2xl/AVvXsEgxcXhcvh5_5wS05SWVo-GSXUPOyQEcDjS0lr7V09Dse0I7w1bT49Rl5PX5M8_N24XN1FUIJdANCOieCNFoRqglBnAS6c1sOGdJ7Gg4Ixj0C587SIMYAqpn4yL7OcSNHZOXfQCMQmAnoLxf/s400/aster-pink-flower-amellus4656.jpg



Doa Awal Tahun


( Dibaca selepas solat Maghrib )


Maksudnya :

Dengan menyebut nama

Allah Yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Semoga Allah senantiasa melimpahkan

rahmat dan keselamatan kepada

junjungan kami Nabi Muhammad SAW,

beserta keluarga dan sahabatnya.

Ya Allah

Engkaulah Yang Abadi, Dahulu, lagi Awal.

Dan hanya kepada anugerah-Mu yang Agung

dan Kedermawanan-Mu tempat bergantung.

Dan ini tahun baru benar-benar telah datang.

Kami memohon kepada-Mu

perlindungan dalam tahun ini

dari (godaan) syaitan,

kekasih-kekasihnya dan bala tenteranya.

Dan kami memohon pertolongan

untuk mengalahkan hawa nafsu amarah

yang mengajak pada kejahatan,

agar kami sibuk melakukan amal

yang dapat mendekatkan diri kami

kepada-Mu Wahai Dzat

yang memiliki Keagungan dan Kemuliaan.

Semoga Allah

senantiasa melimpahkan

rahmat dan keselamatan

kepada junjungan kami

Nabi Muhammad SAW,

beserta para keluarganya dan sahabatnya.

Amin yaa rabbal ‘alamin


p/s : Doa ini dibaca setelah solat Maghrib











Teruskan membaca..

Sampah


http://1.bp.blogspot.com/_M79IizPQA0Q/SwlD-NTVKOI/AAAAAAAAB78/AXfr3RBzP2E/s1600/nature+flower.jpg

Cerpen: Sampah




Oleh: Shapiai Muhammad Ramly



TIBA-TIBA seluruh kawasan persampahan itu dikejutkan oleh suatu keajaiban. Lori-lori sampah yang datang untuk menghantar sampah bagai kehilangan tempat untuk mereka membuang segala kekotoran dunia ini. Kalau semalam mereka masih tidak lupa pada tempat itu, yang baunya juga sudah menjadi sebahagian hidup mereka. Kini sampah-sampah itu hilang.



Ke mana perginya sampah?
Mereka telah kehilangan sampah. Bermakna mereka akan kehilangan pekerjaan. Sampah adalah hidup mati mereka. Mereka perlukan sampah untuk hidup. Selama ini sampahlah yang menghidupkan mereka, yang menghidupkan isteri dan membesarkan anak-anak mereka. Tanpa sampah, bayangkanlah bagaimana hidup mereka akan datang. Sampahlah mata pencarian mereka.
Lori-lori sampah pulang kosong. Berduyun-duyun mereka kembali sambil membunyikan hon tanda tidak puas hati kerana sampah-sampah di bandar itu sudah lenyap begitu sahaja.



Ke manakah perginya sampah? Apa saja yang dibuang biasanya dinamakan sampah. Daripada barangan plastik, kayu, akhbar lama, pakaian lama hatta bayi yang dibuang pun biasanya diberi nama sampah. Biasanya penduduk kota paling gemar membuat sampah. Mereka sewenang-wenangnya membuang apa saja. Malah apabila tong yang disediakan penuh, mereka membiarkan sampah melempah berterabur hingga mengembangkan bau busuk yang menyengitkan.




Ketika itulah mereka akan merungut dan menyalahkan majlis perbandaran yang bertanggungjawab membuang sampah. Pihak majlis biasanya menghadapi masalah kerana sampah yang terlalu banyak. Seolah-olah penduduk bandar berak sampah setiap hari.





Tuan Pegawai Daerah (TPD) memanggil mesyuarat tergempar. Mereka cuba memecah persoalan ke manakah hilang sampah. Apakah rakyat sudah tidak lagi menghasilkan sampah. Ke manakah mereka membuang segala sampah yang selama ini menjadi sebahagian kehidupan mereka.





Keputusan telah dibuat. Cari dan siasat ke mana perginya sampah? Ke mana orang-orang kampung dan bandar membuang sampah mereka? Begitu arahan dari Tuan Pegawai Daerah.

Di mana sampah-sampah itu sekarang?




Sampah-sampah itu telah menjadi sebuah gunung yang tinggi. Boleh nampak dari bangunan Majlis Bandaran ini. Tuan Pegawai Daerah segera menarik langsir yang selama ini menutup pandangan luarnya. Memang benarlah, dari jendela pejabatnya itu jelas kini muncul sebuah gunung sampah yang begitu tinggi, hingga menyamai Gunung Kebendaan yang selama ini menjadi latar belakang Bandar Sampah Terbiar yang permai ini.





Bagaimana dia sebagai Pegawai Daerah boleh terlepas pandang tentang hal-hal penting begini. Mengapa dia tidak diberi tahu?





“Kami sendiri berpendapat tuan tidak akan percaya ....” Begitu kata-kata orang bawahannya.





“Sebuah gunung tiba-tiba wujud dari buangan sampah, kamu kata saya tidak akan percaya?” Dia meluahkan rasa sebal dan kesalnya.





“Habis, bagaimana dengan buruh-buruh sampah yang bekerja dengan syarikat anak saudara saya tu?” Sebenarnya dia ingin berkata tentang syarikat pelupusan sampah yang dikendalikan oleh anak saudaranya itu tentu kerugian besar, kerana sampah-sampah tidak ada lagi untuk dilupuskan.





“Apakah syarikat pelupusan sampah yang membina gunung itu ada lesen?” Tiba-tiba dia baru tersedar. Mungkin syarikat yang wujud itu tidak didaftarkan. ‘Kalau benar mereka tidak ada lesen, kita boleh ambil tindakan menyaman mereka.’





Tuan Pegawai Daerah ingin menyiasat sendiri perkara itu. Dia memanggil Salman, pemandu setianya yang lebih banyak tidur dari memandu.

“Salman ada dalam stor tuan!” seseorang memberitahunya.




“Kejutkan dia, katakan ada perkara penting, jangan asyik tidur saja!”





Salman terpaksa bangun dari mimpinya yang indah. Dia juga mimpikan untuk mendapatkan hadiah satu juta dengan bungkusan-bungkusan sampah di rumahnya. Kepada Tuan Pegawai Daerah dia menyatakan bahawa tempat pelupusan sampah yang baru itu menjadi tumpuan penduduk BP.





Tuan Pegawai Daerah bergegas ke pergunungan sampah yang baru muncul itu. Apa yang menghairankannya, bagaimana gunung sampah tiba-tiba muncul begitu saja?





Perjalanan ke tempat itu tidak begitu sukar. Salman sudah banyak kali ke sana menghantar sampah. Lagipun sepanjang perjalanan ramai orang menuju ke sana. Masing-masing membawa bungkusan sampah mereka. Kerana kenderaan agak perlahan dia sempat menjengah dari jendela kereta dan bertanya kepada beberapa orang dari mereka.





“Mengapa kamu sanggup menghantar sendiri sampah-sampah itu ke sana, sedangkan selama ini Majlis Perbandaran sedia mengambil sampah di hadapan rumah mereka sendiri?”





“Malah kami dikenakan RM5 untuk membuang sampah di sana!”





“Habis kenapa kamu suka, sedangkan kami tidak mengenakan sebarang caj atau bayaran.”





“Tapi kami diberi semacam kupon atau tiket yang membolehkan kami dipilih menjadi jutawan kalau nombor pada kupon kami itu bertuah!”





“Tidak masuk akal, sebenarnya kamu semua sudah ditipu.”





“Tapi pak, ada yang sudah kena ...” jelas mereka lagi.





“Yang jelas mereka tidak ada lesen dari Kementerian Kewangan, mereka bergiat secara haram. Mereka akan didakwa.”





“Tapi lebih baik daripada apa tu, SCK atau skim cepat kaya.”

“Tidak ada lagi masalah sampah ... itu yang pasti.” Jawab yang lain pula.




Tapi Tuan Pegawai Daerah tidak puas hati dengan jawapan itu. Dia masih berpendapat bahawa cara pelupusan sampah ini haram kerana tidak mendapat restu kerajaan tempatan. Semasa kereta bergerak perlahan-lahan dia mendapati ramai juga yang datang bukan kerana membuang sampah. Malah ada yang datang untuk berkelah.





“Tempat buang sampah jadi tempat berkelah?” Tuan Pegawai Daerah semacam tidak percaya.





“Tuan, selama ini kita mengaitkan sampah dengan kekotoran, tetapi nampaknya syarikat yang mengendalikan pelupusan sampah ini telah mengubah pemikiran masyarakat kita, hingga mereka sendiri percaya bahawa sampah itu indah.”





“Mereka membina gunung dari sampah … kalau dulu kita meruntuhkan gunung. Meratakan gunung. Mencuri tanah dari gunung. Mencuri pohon-pohonnya, mencuri flora-faunanya.”





Lagi sekali Tuan Pegawai Daerah macam tidak percaya dengan kenyataan itu.

“Ya, kini mereka menternak kehidupan di gunung yang mereka cipta. Menakjubkan bukan?”




Memang benarlah, setelah mereka sampai di kaki gunung sampah itu mereka amat terkejut melihat begitu ramainya manusia dengan pelbagai aktiviti. Ada yang berkampung di situ. Gerai-gerai juga telah didirikan. Ada taman permainan yang agak luas bagi pengunjung. Jalan menuju puncak gunung itu juga kelihatan dibuat dalam bentuk tangga-tangga yang begitu selesa untuk didaki.





Gunung sampah itu kelihatan begitu kukuh. Tentu arkitek yang menciptanya tahu bagaimana membangun sebuah gunung yang selama ini serba tidak mungkin.





TPD turun dari kenderaan dengan perasaan berbaur hairan dan marah. Dia menuju ke tempat orang-orang berkumpul menghantar sampah. Sampah-sampah itu ditimbang, untuk itu mereka terpaksa membayar. Kemudian mereka diberi semacam kartu yang tertulis nombor-nombor bertuah. Nombor-nombor ini akan diadakan cabutan seperti cabutan nombor loteri suatu ketika dulu. Pemenangnya boleh mendapat hadiah lumayan, sehingga jutaan ringgit. Ini satu penganiayaan dan penipuan yang jelas.





TPD juga turut melawat lokasi kaki gunung sampah. Ada beberapa pekerja sedang memperindah kawasan tersebut. Memang tidak seperti yang difikirkan, tidak seperti tempat pembuangan sampah majlis. Bau sampah telah berubah menjadi bau yang biasa, tidak menjijikkan lagi.





Tuan Pegawai Daerah mengajak Salman memeriksa kawasan pergunungan sampah itu. Sambil berjalan Salman menerangkan kepada TPD bahawa dia sudah banyak kali datang berkunjung. Kadang-kadang pada hujung minggu membawa isteri dan anak-anak datang berkelah. Memang ada aliran air seperti kali yang mengalir dari celah-celah gunung sampah itu. Nampaknya pengusaha gunung sampah ini telah berjaya mengubah persepsi masyarakat terhadap sampah. Siapa kata sampah kotor? Siapa kata sampah menyebabkan alam tercemar? TPD mengakui memang dia sendiri kagum terhadap inovasi baru ini.





Cuma?





Cuma dia tidak puas hati kenapa hal-hal begini di luar pengetahuannya. “Salman, kamu kenal siapakah Pengarah Syarikat ini? Saya ingin bertemu dengannya!”





Salman dengan tersengeh-sengeh, menyatakan bahawa dia memang kenal betul dengan Pengarah Syarikat Gunung Sampah itu. Malah, tidak susah untuk menemuinya..





“Itupun dia, yang berbadan tegap dan berbaju kelabu tu!’ Salman menunjukkan ke arah seorang pemuda dalam lingkungan empat puluhan, yang kelihatan masih cergas.





TPD lekas-lekas meminta Salman agar pemuda itu datang bertemu dengannya. Nampaknya pemuda itu pun tidak keberatan. Datang kepadanya sambil memberikan salam.





“Tuan TPD, gembira saya dapat bertemu dengan tuan!” ujarnya.





“Saya dapat tahu awak menjalankan operasi ini tanpa lesen?” Dia terus bertanya tanpa ingin menyambut salam pemuda itu.





“Bukan tanpa lesen tapi tanpa dikeluarkan lesen!”





“Samalah tu!”





“Saya ada memohon lesen. Saya rasa sudah banyak kali. Tapi tak pernah diluluskan, sedangkan semua syarat telah saya patuhi. Jawapan yang saya terima ‘permohonan tuan dalam proses. Tiap-tiap tahun saya mendapat jawapan yang sama ....”





“Kenapa tidak terus jumpa saya?”





“Bila saya minta untuk jumpa tuan, PA tuan selalu tanya ada appointment tak? Bila saya buat temu janji nak jumpa, PA tuan selalu nyatakan tarikh-tarikh semuanya sudah penuh.”





“Kamu mengutip wang tanpa kebenaran. Tidak adil untuk rakyat. Kamu menipu mereka.”





“Tuan, keadilan hanya ada di negara dongeng, bukan di sini. Kami sendiri tidak pernah melihat keadilan.”





“Walau bagaimanapun aktiviti kamu tidak sah, kamu menjalankan perniagaan haram. Jadi saya arahkan sekarang juga perniagaan kamu ditutup!”






“Saya boleh tutup perniagaan, tapi gunung itu! Gunung itu harus diurus, kalau tidak gunung itu akan tercemar.”






“Itu bukan masalah saya!’





“Tapi masalah penduduk di bandar ini.”





“Kamu yang mencipta masalah, kamulah yang menyelesaikannya.”





“Tuan, masalah sampah adalah masalah kita bersama. Selama ini pun bandar kita lebih terkenal dengan nama Bandar Sampah Terbiar. Sampah adalah kehidupan kita. Kita ada sungai sampah, ada bayi sampah, ada rumah sampah, pekerja sampah dan kini gunung sampah. Tuan! Tuan! ... Tuan!”





TPD terkapai-kapai bila disergah begitu rupa. “Oh, siapa yang menang Jerman? Argentina? Brazil? ....”





Malam tadi dia bersengkang mata melihat siaran secara langsung pertandingan bola sepak piala dunia.





“Tuan, kita masih berbincang tentang sampah. Sampah yang telah beberapa bulan tidak diurus. Tentang penduduk kota yang semakin galak membuang sampah sesuka hati.”





TPD memandang si empunya tubuh yang bersuara itu. Padanya semua mereka, termasuk yang bercakap adalah sampah-sampah yang cuma pandai bercakap, tetapi kurang bekerja.





“Ya, tentang sampah-sampah di pejabat, yang tidak tahu buat kerja, makan gaji buta ….” Dia sendiri tidak percaya kata-kata itu mengalir lancar dari mulutnya.





“Bukankah masalah sampah telah selesai, kita telah berjaya membina sebuah gunung sampah yang hebat. Boleh jadi tarikan pelancong!”





Kesemua Ahli Majlis Mesyuarat tercengang-cengang.




Biodata Penulis




SHAPIAI Muhammad Ramly yang dilahirkan di Gunung Semanggol, Perak. pada 26 Ogos 1950 dan menetap di Johor sejak 1971 hingga sekarang. Pernah menjadi guru di Sek Keb Felda Sungai Sayong, Kulai dan Sek Men Sultan Ibrahim, Kulai. Berkhidmat sebagai pensyarah di Maktab Perguruan Mohd. Khalid, Johor Bahru (1984 – 1998), Institut Perguruan Batu Pahat, Johor( 1999-2006). Selepas bersara bertugas sebagai Editor Kanan di YWJ Citra Holdings Sdn Bhd. Pernah memenangi Hadiah Ketiga Peraduan Mengarang Cerpen Esso-GAPENA (1983) lewat Pak Su, Hadiah Kedua Peraduan Mengarang Cerpen Esso – GAPENA ke-V1 (1984 - Terasing), Hadiah Sagu Hati Peraduan Mengarang cerpen Esso-GAPENA ke-V11 dan V111. Kumpulan cerpennya, Perjalanan ke Z (DBP, 1992), novel Gerimis Perkahwinan (Marwilis Publisher, 1992), kumpulan puisi Melihat Kesunyataan (Persatuan penulis Johor, 2000) dan Kumpulan puisi Keris Sebilah Itu (Citra Karya, 2008). Bergiat cergas dalam Persatuan Penulis Johor (PPJ) sejak 1974 lagi dan Setiausaha Satu, Persatuan Penulis Johor (PPJ) hingga 2001. Kini sebagai Ahli Jawatankuasa PPJ Negeri.




http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Cerpen_Sampah/Article/index_html



http://1.bp.blogspot.com/_M79IizPQA0Q/SwlDDbfwgHI/AAAAAAAAB70/S4FmBz6qfEE/s1600/Beautiful+Red+Flower.jpg


Teruskan membaca..

Saturday, December 4, 2010

Terowong mercu tanda.






Foto

Foto


Terowong mercu tanda


Binaan Terowong Berkembar Berapit, Perak terpanjang di Asia Tenggara dan setaraf negara maju

SEJARAH penciptaan terowong bermula sejak permulaan peradaban di mana manusia menyediakannya sebagai akses atau laluan ke makam, kuari bawah tanah atau lencongan aliran air di permukaan berbatu.

Definisi kamus menyatakan terowong adalah laluan yang dibina menembusi bukit, gunung dan terusan. Sesebuah terowong boleh menjadi laluan pejalan kaki, laluan kenderaan, jalan raya atau lebuh raya, kereta api mahupun laluan air.


Terowong boleh dikorek menembusi pelbagai jenis tanah atau batuan dan cara pembinaan terowong bergantung kepada struktur tanah serta batuan di sesuatu kawasan.

Masyarakat Rom satu ketika dulu dikatakan mahir dalam mencipta terowong sehingga mampu membina sebuah terowong sepanjang kira-kira 5.6 kilometer bagi tujuan menyalur keluar air dari Tasik Fucino yang terletak di Timur Rom, bagi mengelak masalah banjir.

Ketika itu, kira-kira 30,000 pekerja dikerah bagi membina terowong itu yang memakan tempoh masa sehingga 10 tahun untuk disiapkan.

Kini, berbekalkan kepakaran manusia dibantu kecanggihan teknologi terbukti banyak membantu dalam pembinaan lebih banyak terowong moden.

Malah, Malaysia sendiri melakar sejarah apabila membina terowong lebuh raya pertama iaitu Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter yang menghubungkan kawasan Gombak di Selangor dengan Genting Sempah di Pahang, yang dibuka secara rasmi pada 1979.

Malaysia turut membina terowong jalan raya terpanjang di negara ini iaitu Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) sepanjang empat kilometer (km) yang mula beroperasi pada 2007.

Terbaru, Malaysia mencipta nama dengan pembinaan terowong lebih canggih iaitu Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak, sepanjang 3.3 km yang diiktiraf sebagai sebagai terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara.

Terowong itu sebahagian komponen projek infrastruktur terbesar negara setakat ini bernilai RM12.5 bilion iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar. Terowong berkenaan kini siap 70 peratus sejak dimulakan pada awal 2008.

Tanggal 1 November lalu menjadi
detik awal sejarah terowong itu apabila bahagian terakhir terowong itu dipecahkan dan majlis itu disempurnakan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.


Apa yang menarik, terowong berkenaan
berkonsepkan berkembar dengan satu landasan yang setiap satu mempunyai sembilan laluan silang antara terowong kiri dan kanan bagi tujuan keselamatan dan penyelenggaraan. Ia dibina dalam bentuk seperti ladam kuda berukuran tinggi 9 meter x 9 meter lebar.


Lebih membanggakan, ilham reka bentuk
dan binaan struktur itu
dibuat sepenuhnya hasil kerjasama pakar, jurutera dan pekerja mahir anak tempatan di bawah syarikat penerajunya, MMC-GAMUDA Joint Venture (MMC-GAMUDA JV).


Pembinaan terowong itu menggunakan kaedah
pembinaan seperti gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit, memotong dan menimbus di kawasan terbuka serta pengorekan mikro di bawah laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.


Pengarah MMC-GAMUDA JV, Datuk Azmi Mat Nor, berkata pembinaan Terowong Berkembar Berapit berhadapan banyak cabaran seperti pengorekan dibuat di bawah PLUS dan Jalan Persekutuan 1 (Taiping ke Kuala Kangsar) ketika kedua-dua laluan itu tidak ditutup kepada lalu lintas.

“Keadaan geoteknikal dengan beberapa faktor seperti struktur tanah, aliran air dan kecerunan bukit diambil kira bagi kaedah pengorekan-mikro di bawah lebuh raya. Selain itu, pengurusan trafik dan lencongan sejauh 1.5 km juga dilakukan bagi memastikan faktor keselamatan serta kesempurnaan binaan.

“Faktor penyumbang kepada kelancaran kemajuan projek dan pembinaan terowong dibantu dengan semangat dedikasi pasukan pengorekan terowong di kalangan rakyat Malaysia terlatih. Mereka mengaplikasikan pengalaman sebelum ini iaitu ketika terbabit dalam beberapa projek pengorekan terowong lain terutama Terowong SMART," katanya.

Sementara itu, Pengarah Projek PLBE, Yeoh Hin Kok, berkata kerja pembangunan Terowong Berkembar Berapit kini siap sekitar 70 peratus dan dijangka siap sepenuhnya menjelang akhir 2011.

“Baki 30 peratus kerja pembinaan terowong itu masing-masing hanya membabitkan 15 peratus pembinaan infrustruktur dan 15 peratus pemasangan sistem dalam terowong.

"Pembinaan terowong itu juga memenuhi segala aspek keselamatan antarabangsa termasuk infrustruktur bertaraf dunia. Malah, sehingga kini kita mampu mencapai '19 Juta Jam Tenaga Manusia Tanpa Kehilangan Masa Akibat Kemalangan' untuk rekod keselamatan dan kesihatan PLBE," katanya.

Hin Kok berkata, dengan terbinanya terowong berkenaan, Malaysia kini mampu dilihat setanding dengan kemajuan sistem pengangkutan di negara maju lain kerana ia membolehkan kereta api elektrik memecut pada kelajuan 140 km/sejam, walaupun melalui terowong.

"Selain Terowong Berkembar Berapit, beberapa lagi mercu tanda PLBE Ipoh-Padang Besar yang bakal menjadi antara struktur menarik di negara ini ialah Jambatan Marin Bukit Merah di Bukit Merah, Taiping sepanjang 3.5 km yang kini 95 peratus siap, Terowong Larut yang berukuran 342 meter (m) bersaiz 13 m lebar dan 10 m tinggi (85 peratus siap) dan Jambatan Berbuai Prai di Pulau Pinang iaitu sepanjang 282 m," katanya.

INFO: Terowong di Malaysia
Terowong di Malaysia
  • Terowong lebuh raya pertama negara
    - Terowong Genting Sempah berukuran 900 meter yang dibuka secara rasmi pada 1979.



  • Terowong jalan raya terpanjang di negara ini
    - Terowong Pengurusan Air Banjir dan Jalan Raya (SMART) yang beroperasi pada
  • Terowong Berkembar Berapit di Taiping, Perak

  • Diiktiraf terowong kereta api terpanjang di Asia Tenggara.

  • Sebahagian komponen projek infrastruktur negara iaitu Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBE) Ipoh-Padang Besar.

  • Projek di bawah syarikat peneraju MMC-GAMUDA Joint Venture (MMC-GAMUDA JV), kini 70 peratus siap sejak dimulakan awal 2008.

  • Setaraf negara maju kerana membolehkan kereta api pecut pada kelajuan 140 km/sejam.

  • Dibina dalam bentuk ladam kuda, berukuran 9 m (tinggi) x 9 m (lebar).

  • Pembinaan menggunakan kaedah gerudi dan letupan terkawal di bawah bukit, memotong dan menimbus di kawasan terbuka serta pengorekan mikro di bawah laluan Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dan Jalan Persekutuan.





    http://www.bharian.com.my/bharian/articles/Terowongmercutanda/Article/index





    Teruskan membaca..

    Konflik sekolah, ibu bapa dan PIBG.




    KONGSI...penubuhan PIBG memberi peluang kepada ahli untuk menangani sesuatu isu.

    KONGSI...
    penubuhan PIBG memberi peluang kepada ahli
    untuk menangani sesuatu isu.


    DEWASA ini pembabitan ibu bapa dalam menyokong pendidikan anak agak mengecewakan kerana hanya mengharapkan bantuan sekolah dan guru bagi merencanakan kecemerlangan pelajar.

    Sebahagian besar ibu bapa bersikap lepas tangan dan menggunakan alasan sibuk setiap kali ada aktiviti membabitkan pendidikan anak mereka di sekolah.

    Bagaimanapun, mereka marah dan melenting jika anak tidak mendapat keputusan cemerlang atau terbabit dalam masalah sosial.

    Akibatnya, masing-masing menyalahkan antara satu sama lain, malah Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) turut menerima tempias

    Apakah hubungan tidak harmoni ini menggambarkan kepincangan perhubungan antara masyarakat luar dengan institusi pendidikan serta PIBG?


    Pengerusi PIBG SMK Datuk Syed Omar, Alor Setar, Kedah, Fuad Razali, berkata sikap ibu bapa sentiasa lepas tangan dalam mengelolakan pendidikan anak menyebabkan wujud konflik.

    Beliau berkata, memang sekolah sebagai institusi untuk semua, tetapi ia turut memerlukan sokongan pihak lain termasuk ibu bapa dalam memastikan kecemerlangan pendidikan.

    “Malangnya ini tidak berlaku kerana kebanyakan ibu bapa lepas tangan dan enggan memikul tanggung jawab bersama.

    “Sikap ini akan merosak dan membantutkan usaha merencanakan kecemerlangan pelajar pada masa depan.

    “Ia juga tidak adil kerana hanya satu pihak bertungkus-lumus merealisasikan misi kecemerlangan sedangkan yang lain bersenang lenang dan gemar ‘mengarah.’

    “Perbalahan tidak menyelesaikan masalah sebaliknya menyebabkan keadaan lebih kusut,” katanya.

    Katanya, dalam kemelut sekolah dan ibu bapa, PIBG sepatutnya memainkan peranan sebagai orang tengah, tetapi keberkesanan fungsi persatuan itu kurang menyerlah kerana ibu bapa tiada prihatin.

    “Ibu bapa menganggap PIBG persatuan ‘tempelan’ yang mempunyai fungsi terhad.
    “Tanggapan salah merosakkan nama PIBG sebagai sebuah persatuan paling penting
    di sekolah.

    “Fungsi PIBG menyeluruh, tetapi bukan bermaksud mencampuri urusan pentadbiran sebaliknya bersikap proaktif bagi melancarkan urusan ibu bapa, pelajar, guru dan sekolah,” katanya.

    Tafsiran kurang tepat PIBG turut mencetuskan konflik dingin antara ibu bapa, pelajar serta guru hingga menerbit rasa tidak puas hati antara satu sama lain.

    Ada ibu bapa langsung tidak memberi sokongan apabila diadakan perjumpaan, tetapi menuding jari jika timbul masalah.

    “Ada pula asyik membangkang meskipun program bakal diadakan memberi kebaikan kepada pelajar.

    “Inilah dilema PIBG dan sekolah sehingga membantut segala perancangan untuk kebaikan pelajar dan sekolah.

    “Apabila tiada hubungan baik, pelajar menjadi mangsa manakala guru sukar berkomunikasi atau berkongsi pendapat mengenai pencapaian anak.

    “Bukankah ini satu kerugian,” katanya yang mengakui sikap culas sebahagian besar ibu bapa menimbulkan rasa rendah diri terhadap pelajar.

    Menurutnya, apabila timbul konflik, PIBG boleh bertindak sebagai orang tengah, tetapi ibu bapa jarang memberi sokongan.

    “Saya berharap ibu bapa lebih proaktif dalam PIBG supaya penyebaran maklumat mengenai perkembangan diri pelajar boleh dikongsi,” katanya.

    Presiden Majlis Pengetua Sekolah Malaysia, Datuk Azam Md Atan, berkata fenomena PIBG tidak mendapat sambutan bukan luar biasa bukan perkara baru.

    Beliau berkata, meskipun sekolah melakukan pelbagai cara, sikap ibu bapa yang kurang mengendahkan kepentingan peranan PIBG menyebabkan persatuan itu terpinggir.

    “Fenomena ini melanda kebanyakan sekolah. Meskipun pelbagai cara dilaksanakan, sikap ibu bapa menggagalkan usaha berkenaan.

    “Lebih mengecewakan ada ibu bapa membuat tuduhan liar PIBG hanya tahu meminta derma sehingga menjejaskan hubungan semua pihak,” katanya.

    Beliau yang juga pengetua SM Sains Rembau, Negeri Sembilan yakin masih ada solusi merapatkan hubungan sedia ada, antaranya sekolah perlu aktif menganjurkan pelbagai acara.

    “PIBG, sekolah dan ibu bapa perlu menyokong antara satu sama lain demi kebaikan pelajar. Mereka aset paling bernilai untuk negara,” katanya.

    Bagi kartunis, Anuar Hassan atau Sireh, dia menyokong sebarang usul dibentangkan PIBG di sekolah anaknya di SK USJ 21, Subang Jaya, asalkan membawa kebaikan.

    “Tidak benar ibu bapa kurang beri sokongan, mungkin mereka ada komitmen yang tidak dapat dielakkan. Apapun, kami tidak lepas tangan.

    “Sebagai ibu bapa di zaman moden ini, kami lebih terbuka dan sedia berkongsi mengenai perkembangan anak-anak di �sekolah asalkan waktunya sesuai dan mendapat informasi awal.

    “Jangan salahkan ibu bapa semata-mata kerana ia tidak menyelesaikan masalah sebaliknya membuatkan keadaan lebih kalut,” katanya.


    INFO

    Antara fungsi utama PIBG sekolah adalah:

  • Memastikan kemajuan dan perkembangan serta menjaga kebajikan murid terjaga dengan baik.

  • Membantu dalam meningkatkan komunikasi dan kemesraan antara sekolah dan masyarakat.

  • Membantu mencari dana atau menambah sumber kewangan sekolah.

  • Membantu mewujudkan suasana kondusif di sekolah serta murid.

  • Jawatankuasa PIBG menetapkan bilangan ibu bapa dan guru perlu seimbang manakala guru besar atau pengetua tidak boleh menganggotainya dan hanya bertindak sebagai penasihat persatuan.


  • myMetro

    Teruskan membaca..

    LinkWithin

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...