Photobucket

Sahabat Maya :

Sunday, May 2, 2010

Kisahnya.......




Seorang guru wanita sedang bersemangat mengajarkan sesuatu kepada murid-muridnya. Ia duduk menghadap murid-muridnya.



Di tangan kirinya ada kapur, di tangan kanannya ada pemadam.Guru itu berkata, "Saya ada satu permainan... Caranya begini, di tangan kiri saya ada kapur, di tangan kanan ada pemadam. Jika saya angkat kapur ini, maka katalah "Kapur!", jika saya angkat pemadam ini, maka katalah
"Pemadam!" Murid-muridnya pun mengerti dan mengikuti. Guru berganti-gantian mengangkat antara kanan dan kiri tangannya, semakin lama semakin cepat.



Beberapa saat kemudian guru kembali berkata, "Baik, sekarang perhatikan.



Jika saya angkat kapur, maka sebutlah "Pemadam!", jika saya angkat pemadam,maka katakanlah "Kapur!". Dan diulangkan seperti tadi,tentu saja murid-murid tadi keliru dan kekok, dan sangat sukar untuk mengubahnya.



Namun lambat laun, mereka sudah biasa dan tidak lagi kekok. Selang beberapa saat, permainan berhenti. Guru tersenyum kepada murid-muridnya.



"Murid-murid, begitulah kita umat Islam. Mulanya yang haq itu haq,yang bathil itu bathil. Kita begitu jelas membezakannya. Namun kemudian, musuh-musuh kita memaksakan kepada kita dengan perbagai cara, untuk menukarkan sesuatu, dari yang haq menjadi bathil, dan sebaliknya. Pertama-tama mungkin akan sukar bagi kita menerima hal tersebut, tapi kerana terus disosialisasikan dengan cara-cara menarik oleh mereka, akhirnya lambat laun kamu akan terbiasa dengan hal itu. Dan anda mulai dapat mengikutinya.



Musuh-musuh kamu tidak pernah berhenti membalik dan menukar nilai dan ketika. "Keluar berduaan, berkasih-kasihan tidak lagi sesuatu yang pelik, Zina tidak lagi jadi persoalan, pakaian seksi menjadi hal yang lumrah,Sex sebelum nikah menjadi suatu hiburan dan trend, materialistik kini menjadi suatu gaya hidup dan lain lain." "Semuanya sudah terbalik. Dan tanpa disedari, anda sedikit demi sedikit menerimanya.Faham?" tanya guru kepada murid-muridnya. "Paham cikgu..."



"Baik permainan kedua..." begitu guru melanjutkan.
"Cikgu ada Qur'an,cikgu akan letakkannya di tengah karpet. Sekarang anda berdiri diluar karpet. Permainannya adalah, bagaimana caranya mengambil Qur'an yang ada ditengah tanpa memijak karpet?"



Murid-muridnya berfikir . Ada yang mencuba alternatif dengan tongkat,dan lain-lain. Akhirnya guru memberikan jalan keluar, digulungnya karpet, dan ia ambil Qur'an. Ia memenuhi syarat, tidak memijak karpet.



"Murid-murid, begitulah umat Islam dan musuh-musuhnya...Musuh-musuh Islam tidak akan memijak-mijak anda dengan terang-terang...Kerana tentu anda akan menolaknya mentah-mentah. Orang biasapun tak akan rela kalau Islam dihina dihadapan mereka. Tapi mereka akan menggulung anda perlahan-lahan dari pinggir, sehingga anda tidak sedar."



Jika seseorang ingin membuat rumah yang kuat, maka dibina tapak yang kuat. Begitulah Islam, jika ingin kuat, maka bangunlah aqidah yang kuat.
Sebaliknya, jika ingin membongkar rumah, tentu susah kalau dimulai dgn tapaknya dulu, tentu saja hiasan-hiasan dinding akan dikeluarkan dulu,kerusi dipindahkan dulu, Almari dibuang dulu satu persatu, baru rumah dihancurkan..." "Begitulah musuh-musuh Islam menghancurkan kita. Ia tidak akan menghentam terang-terangan, tapi ia akan perlahan-lahan meletihkan anda. Mulai dari perangai anda, cara hidup, pakaian dan lain-lain, sehingga meskipun anda muslim, tapi anda telah meninggalkan ajaran Islam dan mengikuti cara yang mereka... Dan itulah yang mereka inginkan."




"Ini semua adalah fenomena Ghazwul Fikri (Perang Pemikiran). Dan inilah yang dijalankan oleh musuh musuh kita... "Kenapa mereka tidak berani terang-terang memijak-mijak cikgu?" tanya mereka."Sesungguhnya dahulu mereka terang-terang menyerang, misalnya Perang Salib,Perang Tartar, dan
lain-lain. Tapi sekarang tidak lagi." "Begitulah Islam... Kalau diserang perlahan-lahan, mereka tidak akan sedar, akhirnya hancur. Tapi kalau diserang serentakterang-terangan, mereka akan bangkit serentak, baru mereka akan sedar."



"Kalau begitu, kita selesaikan pelajaran kita kali ini, dan mari kita berdoa dahulu sebelum pulang..." Matahari bersinar terik tatkala anak-anak itu keluar meninggalkan tempat belajar mereka dengan masing-masing di kepalanya berfikir tentang permainan dan nasihat yang guru berikan...









sumber : forum




Teruskan membaca..

Saturday, May 1, 2010

tanya sama pokok



Lagu : Tanya Sama Pokok
Penyanyi: P.Ramlee
Filem : Anakku Sazali


♫Tanya pada pokok apa sebab goyang,
Nanti jawab pokok angin yang goncang,
Tanya sama langit apa sebab hujan,
Nanti jawab langit tanyalah awan.♪


♪Awan nanti kata aku kandung air,
Sampai tempat sejuk aku pun cair,
Tengok dalam air nampak bayang-bayang,
Campak satu batu
bayang pun hilang.♫





Kisah ini adalah tentang Monty Roberts, penulis buku The Man Who Listen to The Horse. Sebuah kisah yang memberi inspirasi kepada orang. . Pemuda ini merupakan anak kepada seorang pelatih kuda. Kehidupan mereka adalah beralih dari satu kandang ke kandang kuda yang lain untuk melatih kuda. Wink





Kisah bermula apabila, pemuda ini berada si sekolah tinggi. Gurunya telah memintanya untuk menulis matlamat dan perkara yang akan dilakukannya apabila meningkat dewasa nanti. Malam itu dia telah membuat keputusan untuk mempunyai ladang penternakan yang luas suatu hari nanti. Pemuda ini mahu ladang itu seluas 200 ekar. Dia telah menulis sejelas-jelasnya tentang ciri-ciri keadaan ladang tersebut. Pemuda ini juga ingin mempunyai rumah berkeluasan 4000 kaki persegi.




Dia telah melukis dengan jelas tentang pelan rantai rumah tersebut. Pemuda ini juga telah memastikan di mana rumah tersebut itu berada di ladang perternakan kuda yang seluas 200 ekar itu. Dia telah menulis sebanyak tujuh muka surat untuk menjelaskan impiannya. Dia telah menulis dengan begitu jelas sekali.




Dua hari kemudian, pemuda ini mendapat hasil kerjanya semula.




Keputusan yang didapatinya agak meleset pemikiran kita. Kita mungkin akan berfikir pemuda tersebut mendapat keputusan yang baik berdasarkan apa yang diberikannya. Tetapi malangnya, huruf merah F dan “ jumpa saya selepas kelas ” tertera di hadapan kertasnya.





Pemuda ini kehairanan. Oleh itu selepas kelas pemuda ini pun pergi berjumpa dengan guru tersebut. Dia ingin bertanya kenapa dia mendapat F. Setahunya, dia telah membuat yang terbaik.





Jawab guru tersebut,
”Impian ini adalah mustahil untuk pemuda seperti awak.Awak tidak mempunyai duit. Awak datang daripada keluarga yang hidup tak tetap, suka bergerak dari satu tempat ke tempat yang lain.




Awak tidak mempunyai sumber.Untuk memiliki ladang perternakan awak perlu mempunyai duit yang banyak.Awak perlu membeli tanah. Awak perlu membayar sejumlah duit yang besar untuk mendapatkan baka yang asli. Dan awak juga perlu membayar tempat untuk menternaknya. Tiada jalan menunjukkan awak mampu melakukannya”





“Kalau awak menulis semula matlamat atau impian awak yang lebih realistik mungkin saya akan mempertimbangkan gred awak”





Pemuda tersebut pun balik ke rumah untuk memikirkannya. Dia mengambil masa yang lama untuk memikirkannya. Bagai ditelan mati emak diluah mati bapa. Dia tidak sanggup membuang impiannya. Tetapi jika dia tidak lakukan demikian keputusan peperiksaannya akan terjejas. Jadi dia pun merujuk kepada bapanya untuk mendapat pandangan.
Bapanya menyuruhnya membuat keputusan sendiri. Menurut bapanya, keputusan ini adalah perkara yang penting megenai kehidupannya. Oleh itu, dia sendiri yang perlu menentukannya.Selepas seminggu memikirkan perkara tersebut, dia pun mengambil keputusan.





Dia akan mengembali kertas kerja tersebut tanpa mengubah matlamatnya. Dia nekad.





“ Cikgu boleh simpan gred yang diberikan cikgu kepada saya tetapi saya tetap akan menyimpan impian saya.”





Beberapa tahun kemudian, apa yang yang digambarkan dalam kertas mula menjadi realiti. Budak tersebut kini memiliki rumah seluas 4000 kaki dan ladang kuda seluas 200 ekar. Kertas tersebut masih lagi disimpannya dan dibingkaikan.





Ketika guru tersebut berjumpa dengan Morty, guru tersebut hanya mampu bercakap,
“Lihat, Monty. Saya rasa saya boleh cakapkannya sekarang. Semasa saya menjadi cikgu awak, saya merupakan pencuri impian. Saya telah mencuri ramai impian budak-budak kecil. Awak sungguh bernasib baik kerana awak tidak pernah putus asa dengan impian awak .“ Cheesy



Teruskan membaca..

GURINDAM

GURINDAM : KALAU GURU....


Tolong baca gurindam kisah guru

Cerita yang baik bolehlah tiru



Gurindam ini bukan nak mengata

Hanya sekadar ingat-mengingat sesama kita



Kalau guru mengajar banyak alat

Murid belajar penuh minat



Kalau guru mengajar pelbagai kaedah

Tentu murid belajar dengan mudah



Kalau guru tak ambil kisah

Murid terbiar tak tentu arah



Kalau banyak masalah

Banyak pihak sekolah mendapat susah



Kalau guru kerap ambil mc

Guru lain akan merungut kena jadi guru ganti



Kalau guru datang lambat

Masuk kelas terhambat-hambat



Kalau guru dengan murid mesra

Tentu murid rasa selesa



Kalau guru suka nasihat

Murid juga dapat manfaat



Kalau guru lambat masuk darjah

Kelas menjadi riuh rendah



Kalau guru seorang penyayang

Semua murid akan sayang




Kalau guru beri tuisyen percuma

Itu tandanya guru berhati mulia



Kalau guru banyak membaca

Itu tandanya guru yang tinggi cita-cita



Kalau guru berbudi bahasa

Dikenang murid sepanjang masa



Kalau guru selalu sakit

Murid dapat ilmu tentu sikit



Kalau guru yang kerja culas

Itu tandanya guru pemalas



Kalau guru suka marah-marah

Perasaan murid akan gundah



Kalau guru terlampau garang

Murid takut bukan kepalang




Karya: Hj Rosly bin Hj Mohamad

(GURU CEMERLANG)



Teruskan membaca..

Tuesday, April 27, 2010

Pembestarian Sekolah Kebangsaan


“JIKA hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa

Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta

Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara

Jika hari ini seorang ulama yang mulia

Jika hari ini seorang peguam menang bicara

Jika hari ini seorang penulis terkemuka

Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa

Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.”

(Usman Awang, 1979)


Jeyarawara pembestarian

sekolah kebangsaan bermula



DR. ISMAIL Zain menyampaikan ceramah mengurus perubahan sempena Jeyarawara pembestarian sekolah di SMk Al-Irshad di Pulau Pinang baru-baru ini.


KEPALA BATAS 25 April - PENGURUS Kanan Jabatan Sekolah Bestari Pebadanan Kemajuan Multimedia (MDeC) Dr, Norrizan Razali pernah menekankan bahawa, pelajar bukanlah isu yang besar kepada pelaksanaan dasar pembestarian sekolah.

Isu yang perlu ditangani – yang akan menentukan berjaya atau gagalnya program pembestarian sekolah ialah penerimaan dan persepsi ibu bapa, pentadbir sekolah dan masyarakat setempat.

Bertitik tolak kepada kepercayaan itu. MDeC memulakan gerakan Jeyarawara Pembestarian Sekolah ke enam buah negeri mulai tahun ini. Jeyarawara merupakan istilah nusantara bagi perkataan bahasa Inggeris roadshow atau istilah umumnya, jelajah.

Bagi tujuan itu, Pulau Pinang menjadi negeri pertama, dengan tuan rumah dipilih ialah SMKA Al-Irshad, sebuah Sekolah Kluster Kecemerlangan, baru-baru ini. Tahniah kepada MDeC yang menjalankan inisiatif tersebut, yang berjaya menarik perhatian masyarakat setempat, melalui penyusunan pelbagai aktivti dan pameran oleh beberapa rakan kongsinya.

Isu seperti memupuk perasaan saling percaya mempercayai antara ibu bapa, guru dan pihak sekolah, menyemarakkan semangat perkongsian dan menambah pengetahuan, menjadi inti pati kepada program Jeyarawara.

Usaha MDeC itu sebenarnya merentas dasar kerajaan yang mahu melonjakkan kuasa guna perkakasan dan peralatan teknologi maklumat dan komunikasi di seluruh negara melalui pelbagai inisiatifnya seperti jalur lebar, gerbang maklumat, pelepasan cukai perkakasan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dan banyak lagi.

Usaha itu juga sejajar dengan usaha menyediakan subsidi komputer buku kepada para pelajar yang berpendapatan kurang daripada RM3,000, dengan hasrat untuk melihat 50 peratus rakyat di negara ini mempunyai akses kepada Internet.

Usaha oleh MDec tu juga diharapkan dapat memantapkan kitaran pengunaan ICT di sekolah melalui mekanisme SSQS, termasuk keperluan asas seperti emel, integrasi, pedagogi dan sebagainya.

Namun, ada kekangan di sana sini yang mungkin memperlahankan usaha murni tersebut.

Sebagai contoh, projek sekolah terbengkalai di Pulau Pinang membantutkan usaha Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) Pulau Pinang menggapai ranking lima bintang di bawah penarafan SSQS program Pembestarian Sekolah.

Kata Pengarah Pelajaran, Ibrahim Mohamad mengakui kekangan itu, sambil menambah bahawa kini penarafan program pembestarian sekolah di negeri itu menunjukkan pencapaian Pulau Pinang telah mencecah 97.7 peratus bestari , menghampiri 100 peratus daripada kriteria pelaksanaan program itu.

``Kita tidak mampu mencapai 100 peratus kerana terbantut oleh projek yang terbengkalai walau geran telah dilancarkan,’’ kata beliau.

Ujar beliau, beberapa data pula tidak boleh dikemaskinikan oleh guru besar kerana kekangan itu.

``Laluan Internet melalui SchooNet juga agak lembab ekoran laluan yang sempit digunakan oleh pengguna yang banyak,’’ katanya.

Selain pameran, program tersebut turut diisi dengan ceramah dan taklimat pembestarian sekolah oleh pakar motivasi dan penasihat Portal Pendidikan Utusuan Malaysia, Dr. Ismail Zain dan Pegawai Meja Program Sekolah Bestari Luar Bandar Jabatan Pelajaran Pulau Pinang, Saiful Nizam Ramlee.

Pogram taklimat diatur untuk pentadbir, guru serta wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam empat sesi sepanjang dua hari. Dr Ismail dalam sesinya menjelaskan tentang keperluan kepada perubahan paradigma minda ke arah pembestarian sekolah, selain amalan terbaik, dan sokongan pemimpin setempat untuk menjayakan program yang murni itu.

Sementara itu, antara pempamer rakan usaha Jeyarawara ialah Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Pulau Pinang, Multimedia Synergy Coorporation Bhd (MMSC) , Telekom Smart School (TSS), Portal Pendidikan Utusan Malaysia

Pengurus Jabatan Sekolah Bestari MDEC, Sofia Akmal Abu Bakar memberitahu, pengetua, guru besar dan guru dari 25 buah sekolah mengikuti taklimat dan ceramah motivasi mengrus perubahan itu.

Bagi sesi komuniti keesokannya, wakil PIBG dari sekitar Kepala Batas dan Tasik Gelugor serta kawasan lain sekitar Daerah Seberang Prai Utara mengikuti program berkenaan.

Menurut beliau, tiga buah skolah di ulau Pinang merupakan perinis bestari di negeri itu iaitu SMK Dato’ Onn (Butterworth), Sekolah Menengah Sains Tun Syed Sheikh Shahabuddin dan SMK Abdullah Munshi.

Kategori luar bandar untuk sekolah bestari di negeri itu yang dipilih ialah Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Cina Mah Hua dan SMK Agama (SMKA) Al Irshad.

Sebuah sekolah kategori bandar yang baru sahaja mendapat anugerah lima bintang ialah SMK St Mark di Butterworth.



Sumber : http://www.tutor.com.my/dunia.asp?y=2010&dt=0426&pub=DuniaPendidikan&sec=Berita&pg=be_01.htm



===============


Membestarikan Guru


DALAM proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) guru yang bestari mampu mempelbagaikan teknik, kaedah dan sumber agar proses tersebut memberi impak yang menarik kepada murid-murid. Ketiga-tiga aspek ini tidak sepatutnya dipisahkan malah memerlukan pengintergrasian secara bijak.


Mengikut Gardner, H. (1993) pada asasnya setiap manusia mempunyai lapan kepelbagaian kecerdasan. Kepelbagaian kecerdasan ini ada kaitannya dengan fungsi otak kiri dan kanan.


Ia mencakupi kecerdasan verbal-lingustik, kecerdasan matematik-logikal, kecerdasan kinestatik, kecerdasan visual-ruang, kecerdasan intrapersonal, kecerdasan interpersonal, kecerdasan muzik, dan kecerdasan naturalis.


Menurut beliau kecerdasan ialah ”... an intelligence as a set of skills that enables one to resolve genuine problems or difficulties or to create an effective product.”


Pernyataan ini memberi asas yang kukuh kepada kefahaman terhadap potensi sebenar otak atau fikiran manusia. Beliau juga mengatakan bahawa semua orang mempunyai kecerdasan tetapi tidak serupa.


Kecerdasan pelbagai ini boleh disuburkan dan diperkukuhkan, atau dibiarkan dan dilemahkan. Oleh itu dengan memahami kekuatan dan kelemahan pelajar dalam setiap kecerdasan, guru-guru boleh membantu murid dengan merancang pelbagai kaedah yang bersesuaian dengan ciri-ciri murid untuk menjadikan mereka lebih berjaya.


Dalam penggunaan media misalnya kajian yang dibuat oleh Ismail Zain & Suriati Abdul Aziz, 2008, terhadap murid-murid tahun lima tentang elemen multimedia yang terdapat dalam bahan CD-ROM mendapati terdapat pelbagai variasi respond tanpa mengira profil kecerdasan pelbagai masing-masing.


Sebagai contoh, murid-murid yang mempunyai profil yang lebih bercirikan muzik masih memberi respond yang tinggi terhadap elemen teks. Ini membawa pengertian bahawa walaupun elemen-elemen yang dianggap popular seperti video, audio, dan grafik diberi keutamaan tetapi penghasilannya perlulah relevan serta sesuai dengan prinsip-prinsipnya.


Perkara ini adalah penting kerana sekiranya elemen-elemen tadi tidak dirancang dan dihasilkan dengan rapi untuk memenuhi kehendak pembelajaran dan citarasa murid, maka sudah tentu elemen-elemen yang popular ini membosankan murid.


Guru bestari perlu mengenali profil kecerdasan murid-muridnya serta memahami kehendak murid dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Guru bestari juga berani meneroka kaedah dan teknik secara bijak dan membuat perancangan yang teratur untuk memaksimumkan hasil pembelajaran kepada murid-muridnya.


Setiap tahun guru bestari harus membuat transformasi diri dan pengajarannya dengan mengambil kira perkembangan semasa tanpa menjejaskan halatuju yang tersedia ada.


Sebagai contoh, pada masa kini sistem pendidikan memerlukan seorang murid yang mempunyai ketrampilan diri melalui kegiatan kokurikulum atau memerlukan seseorang murid ini mahir dalam bidang teknologi maklumat.


Justeru, guru bestari perlu menggunakan kreativitinya mencorakkan pengajaran yang mampu melahirkan generasi yang menjadi aspirasi negara.


Kegagalan seorang guru mencorakkan pengajarannya akan menggagalkan satu generasi yang boleh meruntuhkan sesebuah negara.



Sumber : http://www.tutor.com.my/tutor/dunia.asp?y=2010&dt=0128&pub=DuniaPendidikan&sec=Kaunseling&pg=ka_01.htm



Teruskan membaca..

Sunday, April 25, 2010

Gempita tsunami udara











Letusan gunung berapi yang dilitupi ais di Iceland telah menyebabkan negara-negara Eropah diselubungi debu hitam minggu ini.




“IA sangat aneh, hanya satu kejadian gunung berapi seluruh Eropah terjejas,” kata Claire Maertens, 49, seorang pelancong Belgium yang tersadai di Lapangan Terbang Antarabangsa Bangkok, Thailand kerana penerbangan ke kampung halamannya di barat laut Eropah dibatalkan ekoran fenomena letusan gunung berapi di bawah glasier di Iceland.

Hakikatnya memang begitu. Kepulan debu hitam daripada letusan Gunung Berapi Eyjafjallakokull, Iceland minggu lalu itu telah meliputi seluruh langit Eropah.

Ia menyebabkan 100,000 penerbangan yang merentasi ruang angkasa benua itu dibatalkan dan syarikat penerbangan kerugian sebanyak AS$1.7 bilion (RM5.44 bilion) iaitu yang terburuk dalam sejarah.

Seramai 1.2 juta penumpang terkandas setiap hari telah mencorakkan pelbagai ragam dan huru-hara. Tidak kurang yang naik angin apabila bercerita terlepas urusan perniagaan, temu janji dan majlis perkahwinan.

Anak Malaysia yang menetap di Dublin, Ireland, Hazman Abdul Hamid, 37, merasa tempiasnya akibat letusan itu.


KILAT terbentuk dalam asap letusan akibat geseran antara partikel di dalamnya.


Tertangguh

Sebagai Pengurus Sumber di sebuah syarikat rekaan dalaman, Brian S. Nolan resah kerana barang yang ditempah masih belum tiba biarpun pesanan dibuat sebelum beliau bercuti Spring Week lagi.

“Saya masih menunggu ketibaan barang-barang yang telah dipesan dari United Kingdom, Eropah dan beberapa bahagian dunia yang lain.


KIRA-KIRA 700 penduduk di sekitar Eyjafjallakokull diarah meninggalkan kediaman masing-masing.


“Sepatutnya semua barang itu tiba sebaik saya pulang daripada bercuti tetapi nampaknya kerja terpaksa ditangguhkan dan saya perlu terus menunggu sehingga laluan udara dibuka dan kesemua barang yang dipesan tiba,” kata Hazman.

Ketika dunia sedang panik berdepan dengan kesan letusan gunung berapi itu, chef tersohor negara dan diiktiraf dunia, Chef Wan atau Datuk Redzuawan Ismail, 52, sedang terkandas di London.

“Saya sedang bingung sekarang. Saya tidak tahu sampai bila saya akan terkandas di sini.

“Dua, tiga malam sejak kebelakangan ini memang saya tidak nyenyak tidur kerana saya sepatutnya sudah terbang pulang ke Malaysia pada 19 April lalu untuk memenuhi beberapa undangan,” ujarnya ketika dihubungi Rabu lalu.


TERKANDAS di lapangan terbang ialah antara kesan yang jelas kelihatan susulan dari musibah letusan Eyjafjallakokull.


Sepatutnya, jika merujuk jadual yang telah diatur, Chef Wan sedang berucap dalam sebuah seminar di Petronas Melaka pada hari itu.

Pada 25 April pula, beliau bertanggungjawab membuat demonstrasi pada Pesta Makanan Selangor yang dirasmikan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.




Terbang langsung ke London dari Pulau Mauritius lima hari sebelum itu, Chef Wan berada London bagi membuat rakaman televisyen sebagai tetamu siri The Market Kitchen untuk saluran UK Food Network.

“Pada masa yang sama saya memenuhi undangan untuk membuat persembahan masakan di World Gourmand Cookbook Celebrity Chef Performance Theater sempena Pesta Buku London,” kongsinya.

Pemandangan kelam-kabut di kaunter tiket kereta api dan feri di mana kesemua tiket untuk dua minggu habis ditempah juga tidak membantu mententeramkan perasaannya. Sedangkan cuaca di London pada ketika itu, kata Chef Wan, masih cerah.

“Orang ramai sudah mula bimbang kalau-kalau letusan gunung berapi itu bertambah serius. Kalau ia terjadi, bencana alam besar menanti.

“Terfikir juga, kalau ditakdirkan saya meninggal dunia kerana bencana itu, biarlah di tanah air sendiri, bukan di negara orang,” luahnya yang mendapat berita tentang letusan itu melalui jurukamera ketika membuat rakaman. Melihat paparan klip rakaman letusan itu di televisyen juga sudah menakutkannya.

“Suasana di sini menjadi kelam-kabut. Saya menjadi takut ketika melihat laporan berita bahawa orang ramai sehinggakan bertumbuk di lapangan terbang kerana hilang sabar berebut hendak menuju ke destinasi masing-masing.

“Dalam fikiran saya tanda-tanda kecil kiamat sudah bermula kerana mengenangkan ceramah ulama yang sempat saya dengar, manusia digambarkan menunjukkan perangai buruk mereka dalam keadaan seperti ini ketika menghampiri kiamat,” luah Chef Wan.

Rancang Chef Wan, beliau mahu cuba menaiki feri ke Perancis pada keesokan harinya.

Jalan pulang

“Mana tahu ada feri tambahan ke Perancis. Sampai di Perancis saya akan cuba dapatkan feri ke Sepanyol dan selepas itu ke Casablanca, Maghribi. Dari sana, saya akan naik kapal terbang ke Dubai dan balik ke Malaysia,” cerita bapa kepada aktres Serena Redzuawan itu.

Berita baiknya, Chef Wan dilaporkan berjaya pulang pada Jumaat lalu melalui penerbangan langsung dari London ke Malaysia.

Berbalik kepada kejadian gunung berapi di Iceland, panggilan telefon daripada seorang pegawai perlindungan sivil pada pukul 2 pagi 15 April 2010 menjadi amaran pertama buat penduduk ladang Thorvaldseyri bahawa gunung berapi yang dilitupi ais, Eyjafjallajokull, yang berada berdekatan kediaman mereka akan meletus dalam 20 minit.

Jika mereka terus tinggal di ladang tenusu itu mereka mungkin akan dihanyutkan cairan salji akibat pembebasan tenaga yang sudah bermula di dalam gunung berapi yang terletak enam kilometer dari situ.

Itulah letusan besar-besaran kali pertama gunung berapi itu sejak tahun 1821. Selama ini ia diam sahaja dan tidak dikenali dunia.

Namun, pada hari itu, nama gunung berapi yang sukar untuk disebut itu mengisi muka depan akhbar tempatan dan antarabangsa setelah menjadi penyebab ruang udara barat Eropah dan Scandinavia diselubungi debu.




Kira-kira 700 penduduk diarah meninggalkan kawasan itu. Sedangkan, lembu tenusu dan kesemua harta mereka masih di ladang itu.

Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Mohamad Ali Hassan berkata, berdasarkan abu hitam yang meletus keluar daripada gunung berapi itu, maka boleh disifatkan satu letupan yang amat dalam di dalam perut bumi telah berlaku.

Terburuk

“Ia memang suatu bencana yang dahsyat. Bahkan, ada pihak yang menyifatkan ia sebagai bencana terburuk sejak Perang Dunia Kedua. Ia seperti mencetuskan tsunami di udara.

“Debu kehitaman yang keluar menandakan telah berlaku letupan atau perlanggaran plat yang begitu dalam iaitu di teras bumi. Abu hitam mengandungi kandungan teras bumi seperti nikel dan besi.

“Berbanding gunung berapi yang biasa di Asia Tenggara mengeluarkan abu yang berwarna putih kerana letupan berlaku di kawasan kerak bumi,” katanya.


HASIL ternakan dan tanaman terpaksa ditinggalkan semasa kecemasan akibat bencana itu.


Jelas Mohamad Ali, keadaan gunung di Iceland yang dilitupi glasier (ais kekal) memungkinkan letusan yang datang jauh lebih dalam kerana apabila tekanan yang melibatkan permukaan berais akan menyebabkan kesan yang lebih kuat.

Letusan yang lebih kuat dan dalam menyebabkan abu naik menjulang tinggi ke langit berbanding letusan yang kurang kuat yang mengeluarkan lahar yang lebih banyak.

Mohamad Ali berkata, saintis kini percaya berdasarkan kajian dan sejarah bahawa satu lagi letusan gunung berapi akan berlaku pada kembar Eyjafjallakokull iaitu Katla dan ia 10 kali ganda lebih besar.


RISIKO pesawat yang terbang dalam kepulan asap letusan gunung berapi ialah kerosakan enjin yang membolehkannya terhempas.


Bukan itu sahaja, tidak mustahil bencana gunung berapi akan berlaku di benua-benua yang lain kerana perlanggaran plat telah berlaku. Debu hitam yang berterbangan ditiup angin juga boleh menuju ke atmosfera benua lain.

“Waktu berlaku letusan gunung berapi sukar untuk diramal. Kemungkinan juga terdapat implikasi-implikasi lain daripada letusan seperti kesihatan, perubahan iklim dan pemakanan dunia. Kalau masalah jerebu di negara kita, ia mungkin boleh terpadam dengan hujan.

“Tapi di kawasan benua yang kurang menerima hujan, ia mungkin lebih sukar untuk hilang. Saintis perlu melakukan sesuatu misalnya pembenihan hujan,” katanya.


Sumber : http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2010&dt=0425&pub=Kosmo&sec=Rencana_Utama&pg=ru_01.htm

Teruskan membaca..

Wednesday, April 21, 2010

Madah.........

ambition.jpg

“Ada orang datang ke pejabat dengan perasaan penuh gembira & ceria, ada datang dengan perasaan ‘biasa’ dan ada datang dengan perasaan serba tak kena..

Ingat lah, sesiapa yang datang hanya dengan perasaan ‘biasa’ saja, hasilnya adalah ‘biasa’ saja, sesiapa yang datang dengan ceria, hasilnya akan jadi lebih daripada biasa ataupun luar biasa. Bekerja lah dengan ceria agar menghasilkan produktiviti yang luar biasa yang akan menggembirakan orang di sekeliling kita.

Semoga hasil itu akan mendapat keberkatan insyallah…” — Datuk Dr. Fadilah Kamsah



Perjalanan hidup tak semudah

yang kita jangkakan

Kita sering mengatakan begitu dan begini

Kita menganggap ia semudah itu dan ini

Kita mengira keputusannya

semudah sifir matematik

sebagai mana kita pelajari

Kita mengharap segalanya berjalan

seperti yang dirancang

Namun hakikatnya….

Hanya DIA yang tahu jalan

yang bagaimana terbaik untuk kita

Hanya DIA yang tahu…

Kita merancang, Allah merancang

Namun hakikatnya

ALLAH lah sebaik-baik perancang

Teruskan membaca..

Monday, April 19, 2010

EduWebTV


TV Pendidikan akan disiarkan di Internet dan boleh ditonton di EduwebTV.



EduWebTV jadi penyalur maklumat pendidikan



EduwebTV yang dibangunkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) akan menyiarkan TV pendidikan melalui Internet selaras perkembangan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) masa kini.

Pengarah Bahagian Teknologi Pendidikan KPM, Datin Dr. Siti Zaleha Abdullah Sani berkata, siaran TV pendidikan akan mula disiarkan melalui Internet bagi memudahkan capaian pengguna terutamanya pelajar sekolah.

"Siaran yang sebelum ini menggunakan saluran televisyen terestrial itu akan mula disiarkan melalui Internet sejajar dengan usaha KPM bagi merapatkan jurang digital dalam bidang pendidikan," katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Menurutnya, web TV kementerian yang dikenali sebagai EduwebTV telah dimulakan pada 1 Mac 2008 dan boleh diakses melalui portal www.eduwebtv.com pada bila-bila masa di mana-mana sahaja.

TV Pendidikan akan disiarkan di Internet dan boleh ditonton di EduwebTV.

"Kandungan EduWebTV yang terkini mencakupi pelbagai bidang yang boleh diakses melalui lapan saluran termasuklah berita, akademik, wawancara, rencana, kurikulum, interaktif, siaran langsung dan panduan," jelasnya.

Katanya lagi, semua pihak amat digalakkan untuk mengguna dan memanfaatkan EduwebTV sebagai satu saluran pembelajaran dalam usaha meningkatkan kompetensi organisasi.

"Sumbangan kepada pembangunan bahan EduwebTV juga sangat dialu-alukan terutamanya dalam konteks peningkatan kompetensi, kemahiran dan perkongsian amalan terbaik," kata beliau.





Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...