Photobucket

Sahabat Maya :

Wednesday, January 27, 2010

Tip: 50 Rangsangan Anak Bijak




Pakar perkembangan bayi percaya bahawa tahun-tahun pertama kehidupan bayi merupakan tempoh utama pembelajaran berlaku. Anda tidak perlu muzik-muzik klasik, pita-pita belajar bahasa atau kad imbas untuk merangsang otak bayi atau kanak-kanak. Alat pembelajaran terbaik baginya ialah ANDA. Bercakap, menyanyi dan ketawa bersama-sama... jenis-jenis interaksi-interaksi harian begini adalah lebih penting. Namun, kadangkala memang sukar untuk memikirkan cara-cara baru untuk merangsang anak kecil anda (terutama sekali apabila anda tidak tidur malam meredakan tangisannya). 50 aktiviti menarik (dan berdasarkan sains) yg disyorkan ini pasti membuahkan hasil.


1-BERTENTANG MATA

Ambil peluang ketika mata si kecil terbuka luas dan lihat dalam-dalam anak matanya. Bayi kecil dapat mengenal wajah di awal usia dan wajah anda adalah yang paling penting. Setiap kali dia merenung anda, dia sedang membina memorinya.


2-BERCAKAP-CAKAP DENGANNYA

Walaupun reaksi yang akan anda dapat adalah rupa keliru dan hairan di wajahnya, cuba berhenti sebentar di antara ayat untuk menggalakkan bayi memberi reaksi. Lama-kelamaan, dia akan dapat menangkap ritma perbualan dan mengisi ruang kosong yang anda biarkan senyap tadi.


3-JIKA BOLEH, SUSUKAN DENGAN SUSU BADAN

Lakukan selama mana yang anda boleh. Tahukah anda bahawa kenyataannya adalah, kanak-kanak bersekolah yang disusukan badan semasa bayi tinggi IQnya. Tambahan pula, dengan menyusu badan anda dapat merapatkan hubungan dengan bayi sambil menyanyi, bercakap atau membelai rambutnya..


4-JELIRKAN LIDAH

Kajian menunjukkan bahawa bayi yang baru lahir semuda dua hari dapat meniru pergerakan wajah yang mudah - ia menandakan kaedah penyelesaian masalah di awal usia.


5-HASILKAN BUKU BINATANG
Sekali lagi anda melawat zoo, ambillah gambar-gambar haiwan kesukaannya untuk dialbumkan. Kemudian, 'bacalah' buku itu bersama-sama sambil menamakan haiwan yang dikenali atau membuat bunyi-bunyi binatang dan cerita haiwan.


6-GELETEKLAH BAYI ANDA

Geletek keseluruhan tubuhnya. Ketawa, merupakan langkah pertama dalam perkembangan humour bayi. Permainan seperti 'cak cekur' dan 'labah-labah panjat perigi' dapat mengajar anak bagaimana hendak menjangka apa yang bakal berlaku.


7-TUNJUKKAN PERBEZAAN

Pegang dua keping gambar lebih kurang 8-12 inci jaraknya dari muka bayi anda. Gambar-gambar tersebut seharusnya lebih kurang sama tetapi ada sedikit perbezaan (mungkin salah satunya ada pokok dan satu lagi tiada). Bayi yang masih kecil pun boleh melihat kedua-duanya dengan teliti dan mencari perbezaannya. Ini dapat membantu perkembangan dalam pengecaman huruf dan pembacaan apabila dia besar kelak.


8-BERKONGSI PANDANGAN

Bawalah bayi anda berjalan-jalan dalam pendukung bayi yang boleh diikat ke badan anda dan beritahu semua perkara yang anda nampak kepadanya. "Tengok anak kucing tu." atau "Besarkan pokok ni!" atau "Dengar tak bunyi bomba tu?" - untuk membekalkan bayi anda dengan sebanyak mungkin perbendaharaan kata.


9-NYANYIKAN LAGU UNTUKNYA

Belajarlah sebanyak mungkin lagu yang anda boleh atau rekalah lagu anda sendiri ("mari kita tukar lampin, tukar lampin, tukar lampin...."). Mainkan lagu Beethoven atau Beatles... Ada kajian yang mencadangkan bahawa mempelajari ritma muzik, ada kaitan dengan pembelajaran matematik.


10-GUNAKAN MASA MENUKAR LAMPIN SEPENUHNYA
Gunakan waktu menukar lampin untuk mengajar bahagian-bahagian badan atau pakaian. Ceritakan sambil menukar lampin untuk mengajar bayi menjangka rutin.


11-SENTUH DAN RASA

Simpan sekotak helaian kain dengan tekstur yang berbeza-beza; sutera, kain tuala, kain kapas dan linen. Perlahan-lahan sapukan kain-kain tersebut pada pipi, kaki dan perut bayi sambil bercerita bagaimana rasanya.


12-PERGI MEMBELI-BELAH
Bila anda perlukan rehat daripada menari dan menyanyi, lawatlah pasaraya. Wajah-wajah, bunyi-bunyian dan warna-warna yang ada di sana menghiburkan bayi.


13-BERI KATA KUNCI

Jika anda berkata, "Mak nak buka lampu ni," sebelum menekan suis, anda sedang mengajar sebab dan akibat.


14-BERI KEJUTAN

Kadangkala, gembirakan bayi dengan meniup muka, tangan atau perutnya perlahan-lahan. Cuba tiup sambil membuat corak dan lihat reaksinya.


15-SEDIAKAN BANYAK TISU

Jika bayi anda suka main tisu, biarkan sahaja. Dengan hanya beberapa sen, anda mendapat alat mainan deria yang boleh direnyuk dan digosok. Sorokkan mainan kecil di bawah tisu dan biarkan dia mencari.



16-BACA BUKU

Berulangkali. Saintis telah mendapati bahawa bayi semuda lapan bulan dapat belajar mengenali turutan dalam cerita jika dibaca dua atau tiga kali berturutan. Ia dipercayai membantunya belajar bahasa.



17-MAIN CAK-CAK

Menyorok-nyorok bukan sahaja dapat membuatkan dia ketawa. Bayi anda belajar bahawa objek boleh hilang dan muncul kembali.



18-JANGAN LUPA REHAT
Luangkan masa beberapa minit sehari dengan hanya duduk di atas lantai bersama bayi anda - tanpa muzik, tanpa cahaya terang, tanpa mainan. Hanya biarkan anak meneroka dan lihatlah ke mana dia membawa anda.



19-MAIN DENGAN WARNA

Pilih satu warna dan suruh anak anda cari objek lain yang sama warna sewaktu anda berdua berjalan atau menaiki kereta bersama. Kemudian, suruh pula anak memilih warna untuk anda pula mencarinya.



20-BIARKAN DIA BERMAIN DENGAN MAKANANNYA
Apabila anak sudah boleh makan, hidangkan makanan dengan tekstur yang berbeza - termasuklah kacang pea dimasak, bijirin, pasta atau cebisan daging dikisar. Dia dapat berlatih mencubit dan meneroka deria rasanya.



21-ANGKATKAN SAHAJA
Jika bayi anda asyik menjatuhkan barang mainannya dari kerusi makannya yang tinggi, angkatkan dan beri kembali kepadanya walau berapa kali pun dia melakukannya. Dia sebenarnya sedang belajar dan menguji hukum graviti. Berikan dia beberapa keping kertas atau bola tennis, letakkan besen besar di bawah kerusinya dan biarkan dia menjalankan eksperimennya sendiri.



22-BIAR DIA MEMBEBEL

Bayi anda memahami suara tinggi dan bunyian aneh yang anda buat.



23-LATIHAN MENEKA

Gunakan beberapa cawan plastic dan sorokkan satu permainan kecil di bawah salah satu cawan tersebut dan biarkan dia meneka sambil mencari mainannya.



24-BINA LALUAN HALANGAN

Tingkatkan kemahiran motor dengan meletakkan kusyen sofa, bantal, kotak atau permainan di atas lantai dan kemudian tunjukkan kepada bayi bgaimana hendak merangkak di bawah, di atas atau di sekeliling halangan tersebut.


25-IKUT RENTAKNYA

Semakin anak anda membesar, dia semakin suka mencuba kreativitinya untuk melihat jika anda benar-benar mengikut apa yang dia lakukan seperti membuat bunyi aneh, merangkak secara terbalik atau ketawa.


26-BUAT MUKA LAWAK

Kembungkan pipi dan suruh anak sentuh hidung anda. Bila dia sentuh sahaja, poof! Tiupkan ke mukanya. Suruh dia tarik telinga anda dan jelirkan lidah. Buat bunyi yang pelik ketika dia memegang kepala anda. Amalkan rutin yang sama tiga ke empat kali dan kemudian tukar caranya untuk membiarkan anak kembali meneka.


27-RASA SEKELILING ANDA

Berjalan-jalanlah di sekitar rumah dengan mendukung bayi. Letakkan tangannya pada tingkap, kain, daun dan objek-objek selamat yang lain sambil me'label' barangan tersebut.


28-CERITAKAN KISAH DONGENG

Pilih kisah dongeng kegemarannya dan tukarkan nama watak utama ke nama anak supaya dia seronok.


29-BAYANGAN WAJAH

Biarkan bayi anda merenung dirinya di dalam cermin. Dia mungkin menyangka yang dia sedang memerhatikan budak comel yang lain, tetapi dia akan menyukainya bila bayi "yang lagi satu" senyum dan melambai padanya.


30-(KADANGKALA) BIARKAN DIA JADI BOS

Bina keyakinannya dengan memberi peluang untuk dia memilih salah satu daripada dua pilihan: mangkuk berlainan warna ketika waktu makan, contohnya. Dia akan tahu bahawa keputusannya diambil kira - dan boleh berlatih menghafal nama warna.


31-GOYANGKAN BADAN

Ajar anak untuk menari twist dan menjerit, mengepak seperti ayam atau berpusing seperti ballerina.


32-JADILAH TAMAN PERMAINAN

Berbaring di atas lantai dan biarkan bayi anda memanjat dan merangkak di atas anda. Ia lebih murah daripada membeli gymnasium mainan dan lebih menyeronokkan. Anda dapat meningkatkan koordinasi dan kemahiran menyelesaikan masalahnya.


33-KIRA SEMUANYA

Kira berapa banyak blok kayu yang boleh anak anda susunkan. Atau jumlah anak tangga dalam rumah anda. Atau jari jemari tangan dan kakinya. Kira dengan kuat dan pasti dia akan mengikut anda.


34-GUNAKAN MASA BERCERITA SEPENUHNYA

Tunjukkan segala gambar dengan terperinci, dan tanya anak anda segala jenis soalan daripada soalan abstrak ("adik rasa kenapa Pekan nak makan telur tembakul ibunya?") sehinggalah ke soalan konkrit ("Pernah tak adik nampak kucing putih?")


35-TUTUP TV

Bayi anda memerlukan interaksi secara berdepan dengan seseorang yang tidak dapat diberikan oleh rancangan TV, walau sebaik manapun rancangan itu mengajarnya.


36-TUKAR PEMANDANGAN

Tukar kedudukan kerusi makannya di sebelah meja yan lain. Anda dapat mencabar memorinya untuk mengingat di mana hidangan diletakkan setiap kali waktu makan.


37-MAIN PERMAINAN MEMORI WAJAH KELUARGA

Ambil gambar wajah-wajah ahli keluarga yang penting dalam kehidupan bayi anda,buat dua salinan bagi setiap satu gambar - dan anda sudahpun ada satu set kad suai padan. Susunkan ia menghadap ke atas di atas lantai, dan bantu anak anda mencari dua kad yang serupa. Semakin bayi anda membesar, anda boleh mengubah cara bermain dengan menyusunnya menghadap ke bawah (menelangkupkannya).


38-RAKAM VIDEO UNTUKNYA

Tonton video bayi anda mandi buat kali pertama, belajar merangkak, main dengan nenek dan datuk bersama-sama dengannya. Ceritakan kisah video itu untuk mengasah kemahiran berbahas dan memorinya.


39-MAIN HUJAN

Lompat ke dalam lopak air yang besar. Duduk di atas rumput basah bersamanya. Walaupun kotor, ianya menyeronokkan dan merupakan salah satu cara belajar tentang basah dan kering.


40-MENANGKAP SERANGGA

Tunjukkan gambar serangga tidak berbahaya (kumbang ladybird, cengkerik, rama-rama) di dalam majalah atau buku, kemudian pergi ke taman bunga untuk mencarinya.


41-BERGURAU-SENDA

Tunjukkan gambar Pak Cik Mat dan katakan "Ini Ibu." Kemudian akui kebodohan anda dan ketawakan 'gurauan' anda itu untuk membina naluri humour dalam dirinya.


42-MAIN DENGAN PAKAIAN

Biarkan anak anda bermain dengan pakaian lama ayahnya. Cari kembali topi-topi, skarf atau sarung tangan lama. Main permainan olok-olok dan biarkan kreativiti dan imaginasinya membawa anda.


43-AJAR TENTANG ISIPADU
Kumpulkan cawan-cawan atau bekas plastik yang berbeza saiz, dan biarkan anak anda memenuhkan air ke dalamnya. Kadangkala, dia akan hanya menuangkan sehingga setengah penuh. Terangkan kepadanya cawan yang mana lebih besar dan yang mana lebih kecil.


44-HASILKAN ALBUM KELUARGA

Masukkan gambar saudara mara jauh dan dekat, selalulah melihatnya untuk membina memori anak anda.. Sewaktu neneknya menelefon, tunjukkan gambar nenek sewaktu anak bercakap dengannya di telefon.


45-SURUH ANAK MEMBUAT KERJA

Anak kecil boleh membantu mengasingkan pakaian yang ingin dicuci mengikut warna.
Dia juga boleh mengasingkan bajunya di antara baju-baju lain.


46-PERGI KE PERPUSTAKAAN

Ambil peluang bila perpustakaan anda menganjurkan sesi bercerita atau tayangan teater boneka. Selain itu, barisan buku-buku juga pasti tidak menjemukan.


47-CONTOHI CARA SESAME STREET

Khaskan satu minggu untuk satu abjad.. Contohnya, baca buku yang bermula dari A, makan makanan A, potong snek mengikut bentuk A, dan tulis huruf A di halaman luar rumah dengan kapur.


48-MAIN BERULANG-ULANG

Cari semula permainan lamanya sewaktu dia masih bayi. Anda pasti kagum dengan kebolehannya mencari cara baru untuk bermain dengan permainan lamanya itu.


49-MAIN "TIRU-MENIRU"

Merangkak dengan kelajuan yang berbeza-beza supaya anak boleh meniru anda. Berhenti sekali-sekala untuk bermain permainan lain.


50-BERCAKAP TENTANG PERASAAN

Peluklah dia waktu dia ingin tidur dan tanya apa yang membuatkan dia gembira atau sedih hari ini. Apa yang membuatnya marah atau bangga? Anda akan bantu dia memahami apa yang telah berlaku dan cara melabel emosi. Aktiviti ini harus dikekalkan sehinggalah dia masuk Universiti nanti.
Teruskan membaca..

Tuesday, January 26, 2010

MERENTAS DESA


 


MERENTAS DESA; DAYA TAHAN FIZIKAL DAN MENTAL PELAJAR.

 

By cikgu zaiful

 

Larian merentas desa adalah acara tahunan setiap sekolah. Larian merentas desa tidak sama dengan larian acara pecut 100m atau 200m. Jarak larian merentas desa hingga sejauh 5km. Maka strategi yang sesuai perlu digunakan oleh pelajar.


Acara larian merentas desa ini mengajar dan mendidik para pelajar nilai daya tahan fizikal dan mental. Hanya pelajar yang mempunyai daya tahan fizikal dan mental yang tinggi mampu mencapai kejayaan. Amatlah rugi jika ramai pelajar yang hanya menghabiskan 80% acara ini dengan berjalan saja.


Nilai daya tahan fizikal dan mental dari acara larian merentas desa ini boleh digunakan dalam kehidupan pelajar sekarang dan masa hadapan. Mengatasi cabaran dan persaingan melalui trek yang berliku adalah sama dengan perjalanan mencapai kejayaan dalam karier dan bidang keusahawanan.


Nilai daya tahan fizikal dan mental adalah penentu kejayaan seseorang dalam bidang pekerjaan dan keushawanan. Mereka yang mempunyai nilai ini pasti berusaha mengatasi setiap cabaran dan masalah hingga mencapai kejayaan. Mereka tidak mudah mengalah atau putus asa berusaha dan mempunyai keyakinan diri yang tinggi.

Sumber : http://motivasimodalinsanjuara.wordpress.com/2009/02/07/merentas-desa-daya-tahan-fizikal-dan-mental-pelajar/
Teruskan membaca..

Bekas guru besar disaman guru


Mohd. Afandi (kanan) bersama peguamnya memfailkan saman

di Mahkamah Tinggi Alor Setar semalam.



KERATAN muka depan Kosmo! 7 Oktober 2009.


ALOR SETAR – Pada Oktober tahun lalu, seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Mahkota, Jalan Gambang di Kuantan, Pahang menyaman pengetuanya dan menuntut ganti rugi sebanyak RM228,000 kerana mendakwa pengetuanya telah menjejaskan reputasinya.

Pada tahun ini, ketika sesi persekolahan baru bermula 20 hari, budaya menyaman membabitkan guru dilihat semakin menular dalam institusi pendidikan di negara ini.

Semalam di Mahkamah Tinggi di sini, sepasang guru memfailkan saman berjumlah RM1.5 juta terhadap dua bekas guru besar mereka yang telah bersara dan seorang pegawai di Jabatan Pelajaran Kedah kerana mendakwa dianiaya sehingga menyebabkan mereka mengalami masalah mental yang dahsyat.

Pasangan suami isteri itu ialah Mohd. Afandi Abd. Hamid, 39, plaintif pertama manakala isterinya Roziaini Mohd. Rozi, 38, plaintif kedua.

Kedua-dua plaintif menamakan Munajat Tamrin, pegawai di Jabatan Pelajaran sebagai defendan pertama.

Noriah Murad, bekas guru besar Sekolah Kebangsaan (SK) Alor Setar, Jalan Langgar tempat Roziaini mengajar pada tahun 2004, defendan kedua.

Defendan ketiga, Abdul Aziz Hanifa, bekas guru besar SK Iskandar, Alor Setar tempat Mohd. Afandi bertugas pada 2004.

Mohd. Afandi kini mengajar di SK Seri Perdana di sini manakala Roziaini mengajar di SK Tengku Raudzah di sini.

Mohd. Afandi memberitahu, dia dan isteri bertindak memfailkan saman terhadap ketiga-tiga defendan itu kerana mendakwa mereka telah mengakibatkan dia dan isterinya mengalami tekanan perasaan.

Mengikut writ saman, defendan pertama didakwa menghalang pertukaran plaintif kedua namun dengan bantuan kerajaan negeri pada masa itu, plaintif kedua berjaya dalam permohonan pertukarannya dan dipercayai menyebabkan defendan pertama tercabar.

Selepas bertukar ke SK Alor Setar, plaintif kedua mendakwa defendan pertama dan defendan kedua berkonspirasi untuk menganiaya dia sehingga menyebabkan pergerakan gajinya ditahan semasa dia mengajar di sekolah itu.

Defendan kedua juga didakwa menuduh plaintif kedua sebagai ‘gila’ hanya kerana dia pada masa itu mendapatkan rawatan pakar psikiatri.

Plaintif pertama pula mendakwa, defendan pertama berkonspirasi dengan defendan ketiga iaitu guru besar SK Iskandar dipercayai untuk meneruskan ‘serangan’ terhadap dia dan isterinya.




Selain itu, plaintif pertama mendakwa dia diarahkan oleh defendan ketiga mengajar mata pelajaran yang tiada kaitan dengan bidangnya dan pergerakan gajinya selama satu setengah tahun ditahan.

“Perbuatan ketiga-tiga defendan berpakat mewujudkan suasana tekanan terhadap kami dan keburukan kami disebar luas menyebabkan kami mengalami kemurungan dahsyat,” kata Mohd. Afandi.

Pasangan itu turut menuntut ganti rugi sebanyak RM500,000 daripada defendan pertama dan kedua, ganti rugi teladan RM500,000 daripada defendan pertama dan defendan ketiga, ganti rugi teladan RM500,000 daripada defendan pertama.

Turut dituntut permohonan maaf secara terbuka oleh defendan-defendan.


Kosmo!

Teruskan membaca..

Monday, January 25, 2010

SBT - SEKOLAH BERPRESTASI TINGGI 2010




20 sekolah hebat





Kumpulan pertama Sekolah Berprestasi Tinggi diberi autonomi

PUTRAJAYA: Misi mengangkat sekolah negara ini ke taraf dunia bermula semalam dengan pemilihan kumpulan pertama 20 Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang menyaksikan pengetua dan guru besar diberi autonomi tambahan dalam pengurusan kurikulum, kewangan dan kakitangan.

Autonomi itu antara lain memberi kelonggaran memanjangkan waktu persekolahan, menamatkan tempoh persekolahan pelajar cemerlang setahun lebih awal, mengagihkan kewangan mengikut keperluan serta mengambil kakitangan berdasarkan pencapaian dan bukan kekananan.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata SBT dibimbing dan dipantau secara khusus menjamin berlaku lonjakan prestasi secara berterusan.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata penilaian SBT akan dibuat berdasarkan laporan tahunan petunjuk keberhasilan dan pemeriksaan sekolah mengikut Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) yang diubah suai.

Beliau bagaimanapun menjelaskan SBT bukan sekolah elit untuk sebilangan kecil pelajar, sebaliknya semua sekolah mempunyai peluang sama dan boleh bersaing ‘di padang sama rata’ bagi mendapat pengiktirafan itu.


SEKOLAH Kebangsaan Bandar Uda 2, Johor Bahru antara yang terpilih Sekolah Berprestasi Tinggi.

“Tahun ini kita sasarkan 20 sekolah mengikut sub Bidang Keberhasilan Utama (NKRA) kementerian, manakala 30 pada tahun depan dan 50 lagi pada 2012,” katanya pada sidang media mengumumkan senarai kumpulan pertama SBT yang meliputi 14 sekolah menengah (SM) dan enam sekolah rendah.

SM yang terpilih termasuk empat sekolah harian, iaitu SM Kebangsaan (P) Sri Aman, Petaling Jaya; SMK Sultanah Asma, Alor Setar; SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur dan SMK (P) St George, Pulau Pinang.

Muhyiddin berkata, 20 sekolah berkenaan dipilih daripada 10,000 sekolah di seluruh negara berdasarkan kriteria tertentu termasuk menunjukkan pencapaian cemerlang dalam akademik dan kokurikulum.

Mengenai nasib sekolah pedalaman, Muhyiddin berkata, mungkin mereka akan menghadapi cabaran kerana kemudahan yang belum setara dengan sekolah bandar, tetapi tetap boleh diiktiraf sebagai SBT jika memenuhi kriteria.

"Ini bukan usaha jangka pendek dan tak mungkin semua 10,000 sekolah naik ke tahap begitu, di mana dunia pun tidak begitu, tetapi tak kira bandar, luar bandar atau pedalaman, kalau prestasi bagus dia akan diiktiraf SBT manakala kemudahan di pedalaman kita akan terus perbaiki," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kementerian belum ada mekanisme khusus mengenai langkah autonomi SBT yang membenarkan tempoh persekolahan ditamatkan setahun lebih awal bagi murid cemerlang.

"Panduan kasarnya ialah kerajaan berasakan pelajar cemerlang dibenarkan menamatkan persekolahan setahun lebih awal, tetapi ia akan bergantung kepada cadangan pengetua dan guru besar,” katanya.

SEKOLAH TERPILIH SBT

Sekolah Berasrama Penuh:

  • Sekolah Tun Fatimah (Johor Bahru)
  • Sekolah Dato’ Abdul Razak (Seremban)
  • Kolej Melayu Kuala Kangsar
  • Sekolah Seri Puteri (Cyberjaya)
  • Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim (Jitra)
  • Kolej Tunku Kurshiah (Seremban)
  • Kolej Islam Sultan Alam Shah (Klang)
  • Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra (Perlis)
  • Sekolah Sultan Alam Shah (Putrajaya)
  • SMS Muzaffar Syah (Melaka)


Sekolah Menengah Harian:
  • Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman (Petaling Jaya)
  • SMK Aminuddin Baki (Kuala Lumpur)
  • SMK Sultanah Asma (Alor Setar)
  • SMK (P) St George (Pulau Pinang)


Sekolah Rendah:
  • Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara (KL)
  • SK Taman Tun Dr Ismail 1 (Kuala Lumpur)
  • SK Bukit Damansara (KL)
  • SK Zainab (2) (Kota Bharu)
  • SK Convent Kota (Taiping)
  • SK Bandar Baru Uda 2 (Johor Bahru)


Sekolah diberi autonomi:
  • Fleksibel dalam pengajaran dan pembelajaran serta silibus bagi subjek wajib dan elektif
  • Boleh menggunakan bahasa pengantar bahasa kebangsaan atau pelbagai bahasa lain.
  • Kelonggaran menetapkan waktu pengajaran minimum sesuatu mata pelajaran.
  • Memanjangkan waktu persekolahan.
  • Membenarkan tempoh persekolahan bagi pelajar cemerlang ditamatkan setahun lebih awal (seperti kelas lompat).
  • Fleksibiliti untuk mengagihkan kewangan mengikut keperluan.
  • Pengecualian daripada perolehan secara berpusat.
  • Bajet tambahan antara RM500,000 hingga RM1 juta setahun.
  • Mengambil staf berdasarkan prestasi pencapaian dan bukan kekananan.
  • Boleh menyediakan bayaran kerja lebih masa dan ganjaran berdasarkan prestasi kepada semua staf.
  • Boleh memindahkan staf jika prestasi kurang memuaskan.
  • Pengagihan fungsi berdasarkan akademik dan bukan akademik.


Kriteria pemilihan SBT :
  • Pencapaian akademik yang cemerlang.
  • Melahirkan personaliti unggul.
  • Merangkul anugerah kebangsaan dan antarabangsa.
  • Mewujudkan jalinan dengan institusi pengajian tinggi.
  • Mempunyai permuafakatan jitu dengan masyarakat serta jaringan kukuh dengan sekolah tempatan dan antarabangsa.
  • Menjadi penanda aras kepada sekolah dalam dan luar negara.

Sumber : BERITA HARIAN

====================================================================



SBT bukan sekolah elit - Muhyiddin

PUTRAJAYA 25 Jan. - Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) yang diumumkan hari ini bukan sekolah elit yang akan memberi manfaat kepada hanya sebilangan kecil pelajar.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, setiap sekolah di negara ini mempunyai peluang yang sama dan boleh bersaing di padang sama rata untuk diiktiraf sebagai SBT.

Ini kerana, kata Menteri Pelajaran itu, mana-mana sekolah yang mencapai sasaran kecemerlangan dan memenuhi kriteria yang ditetapkan akan diiktiraf sebagai SBT serta mendapat kemudahan serta ganjaran yang sama.

"Peraturan kita tidak kira sama ada sekolah bandar atau luar bandar atau pedalaman, kalau boleh memenuhi kriteria yang ditetapkan, sekolah itu akan diiktiraf sebagai SBT.

"Bagi sekolah luar bandar atau pedalaman, mungkin mereka menghadapi cabaran kerana kemudahan yang ada belum setanding tetapi kita tidak melihat usaha sebegini dalam tempoh jangka pendek," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar sempena pengumuman 20 buah SBT tahun 2010 di sini hari ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, SBT perlu memberi sumbangan kepada sekolah lain melalui program mentor oleh guru SBT, perkongsian bahan dan pengetahuan, perkongsian amalan terbaik dan pertukaran pelajar.

"Selain itu, SBT juga perlu mengekalkan hubungan baik dengan sekolah dan universiti untuk mencapai persefahaman bersama," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, SBT perlu menekankan kepada ciri-ciri untuk pembangunan berterusan status mereka melalui peningkatan pelan strategik, pengurusan, program akademik dan kokurikulum sokongan.

Katanya, SBT perlu memastikan peningkatan tahap prestasi (akademik, kokurikulum dan sukan) serta program jalinan dengan universiti tempatan atau luar negara.

"Demikian juga SBT harus menjayakan lebih banyak program melibatkan komuniti sebagai penanda aras kepada sekolah lain, peningkatan jumlah guru dan murid cemerlang serta meningkatkan keberhasilan untuk semua pelajar," katanya.

UTUSAN MALAYSIA


====================================================================


PUTRAJAYA 25 Jan. - Berikut senarai 20 buah Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT), yang diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini, dalam usaha mengangkat kualiti sekolah-sekolah terbaik ke taraf dunia.

1. Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) (P) Sri Aman, Petaling Jaya, Selangor.

2. Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor.

3. Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban, Negeri Sembilan.

4. Kolej Melayu Kuala Kangsar, Perak.

5. Sekolah Seri Puteri, Cyberjaya, Selangor.

6. SMK Aminuddin Baki, Kuala Lumpur.

7. Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah.

8. Kolej Tunku Kurshiah, Seremban, Negeri Sembilan.

9. Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang.

10. SMK Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah.

11. SMK (P) St. George, Pulau Pinang.

12. Sekolah Menengah Sains (SMS) Tuanku Syed Putra, Perlis.

13. Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya.

14. SMS Muzaffar Syah, Melaka.

15. Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bintang Utara, Kuala Lumpur.

16. SK Zainab (2), Kota Bharu, Kelantan.

17. SK Taman Tun Dr. Ismail 1, Kuala Lumpur.

18. SK Convent Kota, Taiping, Perak.

19. SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur.

20. SK Bandar Baru Uda 2, Johor Bahru, Johor. - Utusan

Teruskan membaca..

Sunday, January 24, 2010

SULTAN JOHOR - Menyambung kedaulatan


Daulat Tuanku
























Dengan pemasyhuran Tunku Ibrahim Ismail sebagai Sultan Johor kelima dalam pemerintahan Kesultanan Johor, maka bermulalah era baru bagi negeri itu.

Secara tradisi dari zaman berzaman, era sesebuah negeri dikira mengikut pemerintahan rajanya, maka begitu juga dengan Johor Darul Takzim. Kemangkatan Almarhum Sultan Iskandar Ibni Sultan Ismail mengakhiri satu era pemerintahan panjang sejak tahun 1981.

Dalam pemerintahannya, Johor menikmati bukan saja keamanan dan kemakmuran bahkan pembangunan yang turut menyumbang kepada usaha Malaysia untuk menjadi negara maju.

Tentu pada tahun-tahun akhir pemerintahan baginda, pembangunan Johor paling besar iaitu Iskandar Malaysia, yang mengambil nama sempena baginda.

Namun begitu, pembangunan Iskandar Malaysia ini tidak boleh dikaitkan dengan negeri Johor semata- mata kerana ia perlu dilihat sebagai sebahagian daripada projek pembangunan Malaysia.

Ini kerana dalam sistem Persekutuan Malaysia, semua negeri di dalamnya berkait di antara satu sama lain dalam membentuk negara ini.

Lebih-lebih lagi apabila dilihat daripada perlembagaan negara bahawa kedaulatan asas dan asal sebenarnya berada di negeri-negeri. Hasil kesepakatan semua negeri-negeri inilah negara Malaysia terbentuk.

Sesungguhnya seperti mana cogan kata Persekutuan Malaysia yang berbunyi Bersekutu Bertambah Mutu menunjukkan bahawa sejak konsep persekutuan yang bermula dengan penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1951 di atas kegagalan Malayan Union membolehkan negeri-negeri anggotanya memperoleh mutu melalui usaha bersekutu ini.

Persekutuan Tanah Melayu itu kemudian mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan diperluaskan untuk menjadi Persekutuan Malaysia pada tahun 1963. Gagasan ini telah berjaya mewujudkan keamanan, kestabilan, pembangunan dan kemajuan bagi negeri-negeri anggotanya.

Kestabilan juga dapat dilihat bahawa setiap kali peralihan tampuk pemerintahan raja-raja Melayu di negara ini berjalan lancar sejak ditubuhkan Persekutuan Tanah Melayu.

Pada tahun lalu, peralihan pemerintahan raja di Negeri Sembilan telah berlangsung dengan licin. Maka begitu juga dengan peralihan pemerintahan raja di Johor semalam. Ini menunjukkan sistem raja berperlembagaan di negara ini berjalan dengan baik.

Tetapi kejayaan ini juga terletak pada sumbangan raja-raja Melayu di negara ini. Walaupun dengan hanya sembilan negeri yang mempunyai raja di Melaysia, tetapi mereka menjadi teras kepada kedaulatan Persekutuan Malaysia. Majlis Raja-Raja yang terdiri daripada raja-raja Melayu bersama dengan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Melaka, Sarawak dan Sabah telah berjaya memantapkan sistem memilih ketua negara dalam bentuk isntitusi Yang Dipertuan Agung.

Dalam sistem ini, ketua negara Malaysia mesti dari kalangan Raja-raja Melayu dan dipilih oleh Majlis Raja- raja. Seri Paduka Baginda pula merupakan wakil kepada Raja-raja Melayu untuk menjadi ketua negara Malaysia.

Maka Almarhum Sultan Iskandar telah ditabal sebagai Yang Dipertuan Agong dari tahun 1984 hingga 1989. Tempoh itu adalah bersejarah bagi Malaysia. Ketika itu yang menjadi Perdana Menteri kepada Seri Paduka Baginda ialah Tun Dr. Mahathir Mohamad. Maka pelbagai pembaharuan telah berlaku di negara ini yang memerlukan kesepakatan antara ketua negara dan ketua kerajaan selaras dengan peraturan perlembagaan negara.

Kedaulatan

Maka apabila Yang Dipertuan Agong baru ditabalkan, dapat dilihat hubung kait kedaulatan raja-raja di negeri masing-masing dengan malaysia sebagai sebuah negara.

Tetapi bagi Johor, ia mempunyai keistimewaan tersendiri. Terdapat dua perkara dalam hal ini.

Pertama, Kesultanan Johor sebagai pewaris kesinambungan Kesultanan Melayu Melaka. Kedua, Johor sebagai negeri yang mempelopori pemerintahan dan pentadbiran Melayu moden.

Kesultanan Johor yang bermula daripada tahun 1855 merupakan pewaris kepada Kesultanan Johor Riau yang runtuh ekoran penjajahan Inggeris dan Belanda. Inggeris menguasai Singapura sementara Belanda menjajah kepulauan Riau. Terdahulu, Pahang yang merupakan sebahagian daripada Johor Riau muncul sebagai negeri di bawah kesultanannya sendiri

Kesultanan Johor Riau pula adalah merupakan lanjutan langsung daripada Kesultanan Melaka.

Istilah Kesultanan Melaka hanya diberikan pada waktu orang mencatat sejarahnya kemudian bagi merujuk kepada kesultanan yang muncul di situ. Tentunya dahulu, ia hanya dirujuk sebagai kesultanan Melayu yang berpusat di Melaka.

Kesultanan Melayu Melaka itu pula merupakan lanjutan kepada kerajaan Melayu Seri Wijaya yang berpusat di Palembang, Sumatera.

Justeru Kesultanan Melayu berubah ciri apabila ia menjadi kerajaan Islam dengan kedaulatannya meliputi kepulauan Melayu termasuk Sumatera, semenanjung Melayu dan pulau Brunei yang disebut Inggeris sebagai Borneo.

Kerajaan Melayu hampir pupus dengan kejatuhan Sri Wijaya pada zaman silam. Tetapi bangsa Melayu dapat diselamatkan apabila kerajaannya memeluk agama Islam dan berjaya melahirkan sebuah pemerintahan yang kuat dengan berpusat di Melaka.

Walaupun kemudiannya Melaka dirampas oleh Portugis pada tahun 1511, tetapi kerajaan Melayu tidak berakhir. Ia hanya berpindah ke Johor. Maka pusat pemerintahan dipindahkan ke Kota Tinggi. Kesinambungan kerajaan Melayu ini tidak terputus atau tamat. Ia tetap kerajaan Melayu yang sama. Cuma pusat pemerintahannya dipindahkan. Bagi tujuan menamakannya, ia disebut sebagai Kesultanan Johor Riau sementara ketika di Melaka, disebut Kesultanan Melaka.

Dalam sistem Kesultanan Melayu, baik di Melaka mahupun Johor Riau, ia mempunyai jawatan-jawatan din istana, antaranya Bendahara, Temenggong dan Laksamana.

Maka pada abad ke-19, Kesultanan Johor Riau ini berada dalam keadaan lemah lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan kuasa canggih seperti Belanda dan Inggeris. Seperti mana kuasa-kuasa penjajah lain seperti Perancis dan Jerman, mereka berlumba- lumba menjarah dunia untuk dikuasai dan dieksploit. Merak merobek-robek benua Afrika dan Asia termasuk India, China dan alam Melayu.

Dalam keadaan lemah ini, akhirnya Kesultanan Johor-Riau terlepas Singapura dan Riau kepada penjajah hingga takhta kerajaan itu tumbang.

Dalam keadaan inilah, boleh dikatakan Temenggong Ibrahim menyelamatkan Johor daripada dijajah dan menyambung semula Kesultanan Melayu walaupun dalam bentuk berbeza.

Temenggong Ibrahim membuka bandar Tanjung Puteri sebagai pusat pentadbiran bagi Johor yang ia dapat kuasai daripada runtuhan Johor Riau.

Tetapi anakandanyalah iaitu Temenggong Abu Bakar yang berjaya menubuhkan sebuah negara baru Johor yang beraspirasikan moden.

Temenggong Abu Bakar diisytiharkan sebagai Sultan Johor pertama dan menjadikan Tanjung Puteri yang dinamakan Johor Bahru sebagai ibu negeri..

Maka bermulalah pemerintahan Kesultanan Johor pada tahun 1866. Tetapi apa yang penting ialah Sultan Abu Bakar yang dikenali sebagai Bapa Johor Moden telah menjadikan negerinya sebagai negara moden dan negeri Melayu pertama yang mempunyai perlembagaan.

Dengan berazam untuk mempertahankan kemerdekaan Johor daripada tekanan Inggeris, baginda mengambil contoh cara Britain sendiri untuk menjadikan Johor sebagai negeri moden. Hasilnya, Johor mempunyai simbol-simbol kenegaraan seperti bendera rasmi, jata negeri dan lagu negeri.

Bandar Johor Bahru pula dirancang supaya menjadi sebuah kota yang menunjukkan Johor mempunyai kerajaan berdaulat. Istana, bangunan pentadbiran negeri dan masjid negeri merupakan antara mercu tanda untuk menegaskan bahawa Johor adalah sebuah negara berdaulat dan merdeka. Turut diwujudkan ialah pasukan tentera negeri yang disusun secara moden.

Juga disedari bahawa kekuatan sesebuah kerajaan terletak pada ekonomi. Maka diadakan dasar-dasar ekonomi seperti merancang tanaman yang mendatangkan hasil kepada negeri iaitu lada putih dan kopi.

Sultan Abu Bakar adalah pembaharu yang berusaha menghalang negeri Melayu daripada dijajah. Baginda adalah antara raja pembaharu yang muncul di Asia seperti Maharaja Meiji di Jepun dan Raja Mongkut di Siam.

Kesultanan Johor tidak pernah berasa dijajah oleh Inggeris. Ia hanya dinaungi. Kesedaran inilah yang menjadi titik mula perjuangan menolak Malayan Union.

Selepas Perang Dunia Kedua, orang Melayu hilang kerajaan-kerajaan mereka apabila kesultanan dimansuhkan untuk digantikan dengan Malayan Union.

Tetapi usaha ini dapat dihalang, sekali lagi atas sumbangan Sultan Johor yang memberi sokongan dan ruang istana kepada pembesarnya Datuk Onn Jaafar untuk berjuang mempertahankan hak kedaulatan Melayu yang dirampas oleh gagasan Malayan Union.

Sesungguhnya Sultan Johor kelima yang dimasyhorkan semalam menandakan bermulanya era baru bukan saja bagi Johor tetapi Malaysia untuk terus menikmati kestabilan, perdamaian dan kemakmuran.
















Iskandar Malaysia adalah antara pembangunan yang dilakukan

ketika pemerintahan Almarhum Sultan Iskandar.


UTUSAN MALAYSIA

Teruskan membaca..

Album: ""Almarhum Sultan Iskandar dalam kenangan"




Raja yang unik

Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail, yang mangkat kelmarin, telah selamat dimakamkan, petang semalam.


Awang menyertai rakyat dan pelbagai pihak merakamkan ucapan takziah yang mendalam kepada waris dan kerabat Almarhum.


Bercakap tentang Sultan Iskandar ketika hayatnya, rumusan pasti sama - seorang raja yang unik.


Baginda akan dikenang sebagai raja berjiwa rakyat dan yang tidak menghiraukan protokol. Pada majlis yang tebal dengan protokol diraja sekalipun, Almarhum kerap melanggarnya kerana sifat baginda yang tidak mementingkan darjat selain tidak suka terlalu formal.


Almarhum terkenal dengan imej ketenteraan selain meminati aktiviti mencabar. Tidak hairan jika baginda boleh mengendalikan helikopter, pesawat, bot laju, luncur layar dan motor berkuasa besar.


Jika tidak berkenan atau murka, Sultan Iskandar tidak berselindung, menjadikan baginda digeruni termasuk di kalangan pemimpin.


Sahabat Awang, Rozaid Abdul Rahman pernah dipanggil ke istana berikutan satu laporan, tidak lama dahulu. Rozaid pergi dengan bimbang tetapi pulang dengan cerita gembira kerana baginda sekadar mahu penjelasan dan kemudian melayannya dengan amat baik.


Awang juga ada pengalaman kecil ditegur ketika membuat satu liputan acara ketenteraan kerana permukaan kasut yang dipakai kurang berkilat. Menteri dan beberapa pegawai awam lagi turut terkejut kerana ditegur. Mesejnya untuk hadir pada acara seperti itu, kasut mesti agak kilat walaupun tidak sekilat yang dipakai oleh anggota tentera perbarisan.


Di sebalik ketegasan dan tingkah laku baginda pada majlis awam yang sukar diduga, Almarhum adalah seorang yang ceria, baik hati dan suka bergurau.


Sesungguhnya untuk menilai baginda bukan setakat kisah-kisah seperti itu sahaja. Jasa Almarhum yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong cukup besar terutama dalam menjaga kepentingan Islam, keharmonian masyarakat pelbagai kaum dan kemakmuran terutama di Johor.


Baginda juga seorang yang realistik dan responsif kepada suara rakyat. Ini terbukti dalam krisis Perlembagaan (mengehadkan kuasa raja) lebih dua dekad lalu, yang menyaksikan Almarhum akhirnya memilih kepentingan rakyat berbanding kepentingan istana.


Kemangkatan Sultan Iskandar adalah kehilangan besar buat negara. Segala jasa malah keunikan baginda akan abadi dalam ingatan rakyat. Semoga roh Almarhum dicucuri rahmat. Al-fatihah.UTUSAN MALAYSIA


Sumber : BERITA HARIAN

SULTAN Johor, Sultan Iskandar berbual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sambil diperhatikan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail pada majlis perasmian Bangunan Sultan Iskandar, Bukit Chagar pada 2008. - Foto Amran Hamid sultan035 sultan034 sultan033
sultan032 sultan031 sultan030 sultan029
sultan028 sultan027 sultan026 sultan025
sultan024 SULTAN Johor, Sultan Iskandar memeriksa kereta nasional pertama Malaysia, Proton Saga bernombor pendaftaran 'Proton 1'. sultan022 SULTAN Johor, Sultan Iskandar berbual bersama Lee Kwan Yew.
sultan020 sultan019 sultan018 sultan017
sultan016 sultan015 sultan014 Foto 1984
Foto 1984 Foto 1956 Foto 1985 sultan009
sultan008 SULTAN Johor, Sultan Iskandar beraksi di padang golf pada 1988. SULTAN Johor, Sultan Iskandar mencuba motosikal berkuasa tinggi pada pameran motosikal Grand Prix 1986. sultan005
SULTAN Johor, Sultan Iskandar. - Foto 1984 SULTAN Johor, Sultan Iskandar menandatangani surat perisytiharan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8 disaksikan oleh Baginda Raja-Raja Melayu di Istana Negara -  Foto 1984





DARI (kiri); foto dirakam pada 1966, 1976 dan 1981.
Teruskan membaca..

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...