Terus berjuang mendidik anak bangsa tanpa mengira agama, bangsa, dan warna kulit. Semoga anak didik menjadi anak Malaysia. Berwawasan, berilmu, berdaya saing, majulah negaraku Malaysia.
Berkata Ibnu Abbas r.a. bahawa Rasulullah SAW
telah bersabda: " Ketika saya (Rasulullah SAW) israk ke langit, maka saya
telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak jauh antara satu
sendi ke satu sendi ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi
itu terdapat padang sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur hingga ke barat. Pada setiap
padang sahara itu terdapat 80,000 malaikat yang mana kesemuanya membaca
surah Al-Ikhlas. Setelah mereka selesai membaca surah tersebut maka
berkata mereka: Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala dari bacaan kami
ini kami berikan kepada orang yang membaca surah Al-Ikhlas baik ianya
lelaki mahupun perempuan. Sabda Rasulullah SAW lagi: Demi Allah yang
jiwaku ditanganNya, sesungguhnya Qul Huwallahu Ahadu itu tertulis di
sayap malaikat Jibrail a..s, Allahhus Somad itu tertulis di sayap
malaikat Mikail a.s, Lamyalid walam yuulad tertulis pada sayap malaikat
Izrail a.s, Walam yakullahu kufuwan ahadu tertulis pada sayap malaikat
Israfil a.s. "
Khatam al-Quran
Rasulullah
SAW pernah bertanya sebuah teka-teki kepada umatnya: Siapakah antara
kamu yang dapat khatam Qur'an dalam jangka masa dua-tiga minit? Tiada
seorang dari sahabatnya yang menjawab. Malah Saiyidina Ummar telah
mengatakan bahawa ianya mustahil untuk mengatam Qur'an dalam begitu
cepat. Kemudiannya Saiyyidina Ali mengangkat tangannya. Saiyidina
Ummar bersuara kepada Saiyidina Ali bahawa Saiyidina Ali (yang sedang
kecil pada waktu itu) tidak tahu apa yang dikatakannya itu. Lantas
Saiyidina Ali membaca surah Al-Ikhlas tiga kali. Rasulullah SAW menjawab
dengan mengatakan bahawa Saiyidina Ali betul. Membaca surah Al-Ikhlas sekali ganjarannya sama dengan membaca
10 jus kitab Al-Quran. Lalu dengan membaca surah Al-Ikhlas sebanyak
tiga kali qatamlah Quran kerana ianya sama dengan membaca 30 jus
Al-Quran.
Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:
" Barangsiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal
dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia
dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap
mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga. (Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby)
BAHASA Melayu sejak lebih daripada satu alaf telah memiliki
martabat sebagai bahasa besar. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah
menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua
franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman
kesultanan Melayu dari sekitar abad ke-13 hingga abad ke-19, bahasa Melayu
mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan
menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu
dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera
tinggi.
Sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan
bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:
``Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah
pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di
negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh
setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau
sebagai bahasa lingua franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya
bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita
kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih
jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan kepulauan Filipina.''
Kebitaraan bahasa Melayu pada abad 16 dan 17 dapat dirumuskan
dengan kenyataan bahawa bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa
antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua
franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan
bahasa sastera.
Kelunturan martabat bahasa Melayu
Martabat bahasa Melayu dilunturkan oleh penjajah (Belanda di
Indonesia dan Inggeris di Malaysia) dengan menurunkan darjat bahasa itu
daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas menjadi bahasa setempat atau
bahasa vernakular yang disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan
sehari-hari dan lebih untuk lingkungan masyarakat Melayu. Dalam zaman
penjajahan Inggeris, bahasa Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang
dibawa oleh Inggeris untuk kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan India
dengan menjadikannya bahasa penghantar di sekolah vernakular Melayu, sama
halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di
sekolah vernakular India.
Dalam bidang bahasa dan pendidikan, terang bahawa bahasa Melayu
hanya menjadi bahasa penghantar sekolah Melayu yang terbatas pula jangkauan
bidang ilmu dan kemahirannya. Hal ini direncanakan dengan cukup kemas oleh
penjajah Inggeris, semata-mata untuk menutup kemungkinan anak watan dapat
muncul sebagai bangsa berwibawa dan dengan demikian berupaya membebaskan negara
daripada cengkaman penjajahan.
Selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa
Melayu telah menjadi salah satu asas pembinaan negara yang penting melalui tiga
fungsi iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.
Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan
berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda
mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf
sosioekonomi dan pengasingan etnik serta keeksklusifan bahasa penghantar ilmu
yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris.
Namun, apabila ada tindakan berpatah kembali untuk menjadikan
bahasa lain sebagai wahana bidang-bidang utama kenegaraan itu, khususnya
melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat.
Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah
ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta
Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan menjejaskan
martabat bahasa Melayu sebagai salah satu tonggak pembinaan negara. Walau bagaimanapun dengan adanya tantangan-tantangan semasa,
bahasa Melayu mengalami kemerosotan dalam dua aspek, iaitu aspek taraf dan
mutunya.
Kemerosotan dalam aspek taraf bermaksud penyempitan penggunaan
bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan penggunaannya oleh
undang-undang.
Sebagai contoh, penggunaan bahasa Melayu dalam bidang
pentadbiran, undang-undang, penyiaran dan pendidikan.
Kemerosotan dalam aspek mutu bahasa pula berkaitan dengan kurang
pekanya sebilangan anggota masyarakat terhadap bentuk bahasa Melayu yang baku
dan ragam bahasa Melayu rasmi, khususnya dalam konteks bidang yang rasmi
seperti pentadbiran, penyiaran dan pendidikan. Percampuran ragam bahasa basahan
(yang ditandai oleh fenomena bahasa rojak atau istilah linguistiknya peralihan
kod, bahasa SMS, bahasa sembang di Internet dan sebagainya) dengan bahasa yang
baku dalam situasi rasmi menjadikan bahasa Melayu kehilangan darjat dan citra
sebagai bahasa budaya tinggi.
Demikian juga, semakin tidak nyata semangat cinta dan hormat
kepada bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan asas jati diri negara
apabila kian banyak terjadi fenomena penamaan tempat, bangunan dan jalan,
termasuk di kawasan yang menjadi pusat pentadbiran negara, yang mengutamakan
nama berdasarkan bahasa asing (misalnya precinct, parcel dan boulevard).
Senario kini tentang kedudukan bahasa Melayu menunjukkan kian
kurang terbudayanya bahasa Melayu dalam kalangan sejumlah anggota masyarakat,
khususnya dalam konteks yang fungsional, iaitu yang berkaitan dengan kedudukan
bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Senario
itu tergambar pada beberapa perkara berikut:
1. Penghayatan penjawat awam yang kurang memuaskan dalam
pelaksanaan peruntukan Perkara 152 tentang peranan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi sehingga masih banyak urusan rasmi tidak mengutamakan bahasa Melayu.
2. Tidak tegasnya dan tidak selarasnya penguatkuasaan penggunaan
bahasa dalam sektor tertentu seperti penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
kebangsaan di tempat awam dan penyiaran.
3. Pengurangan peranan bahasa Melayu dalam sistem pendidikan
sebagai kesan pelaksanaan beberapa keputusan dan pengecualian pengajaran bahasa
Melayu sebagai subjek wajib.
4. Globalisasi yang sebahagian besarnya melalui perantaraan
bahasa asing, khususnya bahasa Inggeris, sehingga timbul keghairahan yang
kadangkala berlebihan dalam kalangan pelbagai lapisan masyarakat (pemimpin,
profesional dan orang awam) untuk mengutamakan penguasaan bahasa Inggeris dan
mengurangkan perhatian kepada penggunaan bahasa Melayu.
5. Budaya berbahasa Melayu dalam pelbagai aspek kehidupan
masyarakat Malaysia, termasuk dalam kalangan orang Melayu sendiri tidak cukup
mantap kerana adanya anggapan bahawa bahasa Melayu tidak berkolerasi dengan
taraf sosial dan pendidikan serta tidak mempunyai nilai ekonomi yang tinggi.
Jika bahasa Melayu digunakan pula, masih besar jumlah anggota
masyarakat, termasuk golongan yang berpengaruh yang menggunakannya pada tahap
mutu bahasa yang tidak begitu mencerminkan budaya tinggi.
6. Kenyataan yang merendahkan taraf dan relevannya bahasa Melayu
turut mengurangkan perhatian dan keyakinan sebilangan anggota masyarakat kepada
bahasa Melayu. Sebagai contoh, dalam pada DBP mengusahakan penglibatan sektor
swasta menggunakan bahasa kebangsaan pada papan perniagaan dan iklan mereka, Menteri
Perumahan dan Kerajaan Tempatan (menurut laporan The Star pada 1 Januari 2004)
membuat kenyataan bahawa penggunaan bahasa kebangsaan tidak akan diwajibkan
lagi pada papan perniagaan dan iklan. Seorang menteri kanan pula, mengajak
masyarakat mengabaikan pejuang bahasa yang didakwanya berfikiran sempit.
Langkah meningkatkan martabat bahasa Melayu Peningkatan martabat bahasa Melayu sebagai teras pembinaan
bangsa Malaysia memerlukan perencanaan semula dalam beberapa aspek dan pada
waktu yang sama memerlukan peneguhan dasar-dasar yang berkaitan dengannya,
sebagai langkah membina ketahanan jati diri dan maruah bangsa dan negara.
Dalam bidang bahasa, antara langkah yang perlu diambil
termasuklah:
1. Penegasan dasar bahasa dan penguatkuasaan dasar bahasa secara
bersepadu - contohnya, pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa
rasmi hendaklah ditegaskan semula supaya semua urusan rasmi dan majlis rasmi di
peringkat negara mengutamakan penggunaan bahasa Melayu, selaras dengan Perkara
152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan. Semua peruntukan
tentang bahasa kebangsaan yang terdapat dalam undang-undang negara hendaklah
bukan sahaja dihormati malah dilaksanakan dengan ikhlas dan jujur oleh semua
lapisan, daripada pemimpin negara hingga penjawat awam dan masyarakat umum.
Usahlah ada sebarang tindakan yang melemahkan undang-undang tersebut, sama ada
melalui pengenalan dasar baru, pernyataan atau tindakan yang bercanggah dengan
undang-undang itu.
2. Pindaan dan perluasan peruntukan akta yang berkaitan -
pindaan Akta Bahasa Kebangsaan yang memberikan cakupan lebih luas penggunaan
bahasa Melayu, pindaan akta-akta yang sudah tidak kemas kini atau tidak jelas
tentang penggunaan bahasa Melayu seperti Akta Jalan, Parit dan Bangunan, Akta
Pertubuhan, Akta Pendaftaran Perniagaan, Akta Syarikat, Akta Cap Dagang, Akta
Industri Pelancongan dan beberapa yang lain perlu disegerakan. Selain itu, akta
yang sedia ada seperti Akta Komunikasi dan Penyiaran dan Undang-Undang Kecil
Pengiklanan mestilah dikuatkuasakan pelaksanaannya secara tegas.
3. Pengayaan khazanah ilmu dan persuratan dalam bahasa Melayu -
usaha ini perlu ditingkatkan supaya nilai bahasa Melayu menjadi lebih tinggi
sebagai bahasa budaya tinggi, melalui penerbitan bahan ilmiah dan rujukan umum
dalam pelbagai bidang untuk pelbagai peringkat dan dalam pelbagai media
(bercetak dan elektronik). Agenda pengayaan khazanah ilmu dan persuratan Melayu
mesti dimasukkan dalam agenda pembangunan negara melalui Belanjawan Negara.
4. Pembudayaan bahasa Melayu melalui sistem pendidikan - usaha
ini perlu dimantapkan semula, dari peringkat prasekolah hingga peringkat
pengajian tinggi. Kerajaan perlu memberikan penegasan yang lebih berat kepada
usaha pembudayaan bahasa Melayu sebagai asas peneguhan tamadun bangsa Malaysia
dalam dua aspek yang penting. Yang pertama ialah pelaksanaan penggunaan bahasa
Melayu sebagai bahasa utama dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu,
selaras dengan perancangan yang dilakukan oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak
1956 yang diperkukuh oleh Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Rahman Talib 1960 dan
dimaktubkan dalam Akta Pelajaran 1961 dan Akta Pendidikan 1996. Sebarang usaha
berundur daripada keputusan yang penting dan bijaksana serta telah membuktikan
kejayaan dalam proses pembinaan negara hendaklah dielakkan. Kejayaan Universiti
Kebangsaan Malaysia dan universiti-universiti lain dalam pelaksanaan bahasa
Melayu sebagai bahasa ilmu untuk pelbagai bidang ilmu tidak harus direncatkan.
Aspek yang kedua ialah pembudayaan bahasa yang baik, teratur, santun dan
mewakili budaya tinggi melalui kegiatan pengajaran dan pemelajaran, sukatan
pelajaran, buku teks dan bacaan tambahan serta melalui pelbagai kegiatan
kokurikulum. Dengan demikian diharapkan landaan pelbagai ragam bahasa tidak
rasmi, sama ada bahasa sembang Internet, bahasa SMS atau yang lain tidak akan
sampai menggugat bahasa yang mewakili budaya teras.
5. Komponen bahasa dan persuratan dalam pelbagai program negara
- semua program negara yang bersifat pembinaan sahsiah di pelbagai peringkat
mesti memasukkan program bahasa dan persuratan, misalnya dalam Program Khidmat
Negara, kursus Biro Tatanegara, KP3P dan sebagainya. Kursus atau apa-apa juga
program motivasi untuk kalangan ahli politik dan profesional perlu memasukkan
modul bahasa dan persuratan di dalamnya.
6. Modul bahasa dan persuratan dalam program latihan jabatan -
setiap jabatan dan agensi kerajaan perlu memasukkan modul bahasa, penulisan dan
persuratan dalam program ``kursus dalam perkhidmatan'' masing-masing.
7. Pemantauan berterusan terhadap bidang penyiaran dan media
massa - usaha ini perlu dilaksanakan untuk memastikan bahawa media massa
melaksanakan tanggungjawab sebagai ejen pemantapan bahasa yang baik dan santun
dalam penyiaran dan penerbitan program atau bahan. Tindakan perlu dilaksanakan
dalam bentuk tindakan pentadbiran dan juga tindakan undang-undang.
8. Program pemasyarakatan bahasa kebangsaan bertaraf kebangsaan
- kerajaan, melalui semua kementerian, jabatan dan agensi serta perbadanan dan
pihak swasta hendaklah secara aktif dan terancang menyertai program
pemasyarakatan bahasa kebangsaan di seluruh negara yang telah dirancang dan
dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, khususnya Bulan Bahasa dan Sastera
Negara yang dilaksanakan setiap tahun selama sebulan. Selain itu, setiap
jabatan kerajaan dan swasta hendaklah diminta merancang dan menganjurkan
kegiatan yang dapat menyemarakkan pembudayaan bahasa Melayu dari waktu ke waktu
dalam perancangan tahunan supaya bahasa dan persuratan Melayu tidak terpinggir
dalam sektor di luar lingkungan orang atau institusi khusus dalam bidang bahasa
dan sastera.
Pembangunan negara yang hakiki dan bersepadu hanya tercapai
apabila semua bidang yang penting diberi perhatian yang sama beratnya, termasuk
bidang bahasa dan budaya. Dalam konteks pembentukan jati diri dan citra negara
ini pula, dasar-dasar yang bersifat endoglosia, iaitu berasaskan keperibumian
yang disokong oleh hakikat sejarah kebudayaan dan tamadun di negara dan
dirantau ini perlu dipertahankan dan ditingkatkan.
Tidak seharusnya berlaku keadaan negara menuju kejayaan ekonomi dan
industri sementara mengalami kehancuran dari segi unsur dalaman bangsa,
terutama bahasa dan budaya. Oleh itu, kerjasama antara semua kementerian,
jabatan, agensi, pertubuhan, sektor swasta dan orang perseorangan perlu
digemblengkan secara bersepadu oleh pemerintah dalam bentuk rangkaian yang
berkesan untuk memastikan pencapaian yang seimbang.